KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi akan menjalankan saringan ketat ke atas penuntut luar negara bagi memastikan mereka benar-benar layak diberikan visa sebelum ditempatkan di institusi pengajian tinggi tempatan (IPT).

Timbalan Menterinya, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata pihaknya juga menjalinkan kerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi proses saringan tersebut.

Malah, menurutnya kerajaan turut membangunkan sistem saringan yang mampu mengesan cubaan menipu daripada warga asing untuk mendapatkan kelulusan visa penuntut.

“Kementerian sentiasa bekerjasama dengan PDRM dan Jabatan Imigresen bagi memastikan hanya penuntut antarabangsa yang benar-benar layak dan mematuhi syarat sahaja yang boleh melanjutkan pengajian di IPT tempatan.

“Kementerian turut membangunkan sistem saringan yang dinamakan Student Application and Registration System dan Multinasional Academy Recomandation System sejak tahun 2013 bagi mengesan cubaan menipu daripada warga asing untuk mendapat kelulusan visa pelajar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) yang meminta kerajaan supaya memberikan jumlah pelajar antarabangsa yang sedang mengikuti pengajian di IPT di seluruh negara serta langkah mengawal selia penglibatan penuntut warga asing dalam aktiviti selain pendidikan.

Jelasnya, sehingga 30 Jun lalu, sejumlah 137,406 penuntut luar negara sedang menuntut di IPT tempatan seluruh negara yang melibatkan 29,134 penuntut menuntut di universiti awam manakala 108,272 penuntut pula menuntut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Katanya, kementerian juga membuat beberapa tindakan lain bagi mengekang kegiatan jenayah dalam kalangan penuntut luar negara seperti melakukan pemantauan di IPTS bersama agensi penguat kuasa lain.

Selain pemantauan, pihaknya sentiasa bertemu dengan pihak pengurusan IPTS di seluruh negara untuk mengetahui perkembangan semasa penuntut luar negara, walaupun mereka tinggal di luar kampus.



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: