NILAI: Seorang pensyarah mencadangkan agar kerajaan mempertimbang untuk memansuhkan kutipan tol yang sekali gus mampu mengurangkan kos harga barangan.

Prof Datuk Dr Mustafa Mohd Hanefah daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata ini kerana selain faktor inflasi, kenaikan harga barangan juga turut didorong oleh kos tol yang perlu ditanggung peniaga.

“Dengan pemansuhan tol, kos melakukan bisnes mesti menjadi rendah. Kalau tol serta minyak naik, sudah tentu peniaga akan menaikan harga barangan.

“Kalau kita mansuhkan tol, kos perniagaan, pengangkutan, logistik, bas sekolah, pelancongan boleh dikurangkan.

“Namun ini adalah cadangan sahaja,” katanya pada forum ‘Selepas Bajet 2018’ di USIM hari ini.

Mustafa berkata beliau menjangkakan dengan penghapusan tol, ia mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat dan meningkatkan kecekapan dan produktiviti sesuatu perniagaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2018 pada 27 Okt lepas mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memansuhkan kutipan tol di Batu Tiga, Shah Alam dan Sungai Rasau di Selangor, Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Eastern Dispersal Link, Johor, mulai 1 Jan tahun depan.

Dalam pada itu, beliau berkata keputusan negara melaksanakan GST adalah tepat memandangkan ia lebih telus berbanding cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dalam menyumbang kepada pendapatan negara.

“Dahulu SST ada lima peratus, enam, tujuh, lapan, 12 peratus, memang tak telus. Kutipan SST cuma dalam RM17 bilion atau kurang dan sekarang kita bercakap kira-kira RM41 bilion kutipan GST.

“Orang ramai hanya tidak setuju dengan kadar pengecualian GST yang mengelirukan termasuk peniaga dan pihak industri. Bagi kita kadarnya perlu dikeluarkan kerana ia tidak telus. Ia juga boleh menjurus kepada manipulasi,” katanya.

— BERNAMA



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: