JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita selepas disyaki terlibat menyamun sebuah hotel bajet di Nusa Bestari, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Noor Hashim Mohamad berkata lelaki berumur 28 tahun manakala wanita berumur 20 tahun itu ditahan pada kira-kira 10 malam semalam di sebuah pusat hiburan di Bandar Seri Alam, Masai, di sini.

“Terdahulu, polis menerima laporan kes samun di hotel tersebut pada 3.50 petang semalam daripada seorang wanita berumur 63 tahun yang merupakan juruwang hotel terbabit.

Wanita (juruwang) berkenaan memaklumkan dia didatangi pelanggan hotel pada kira-kira 3 petang semalam, terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita yang hendak mendaftar keluar hotel,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Noor Hashim berkata juruwang berkenaan memaklumkan dia tiba-tiba diacu sebilah pisau di dada selain diminta mendiamkan diri.

Beliau berkata suspek kemudian menyelongkar kawasan kaunter, mengambil buku daftar masuk pelanggan serta memotong kabel kamera litar tertutup (cctv) lalu terus melarikan diri.

Katanya siasatan terhadap lelaki dan wanita yang ditahan itu mendapati mereka negatif dadah, namun, lelaki itu mempunyai satu rekod jenayah berkaitan curi kenderaan.

“Modus operandi kes ini adalah suspek berpura-pura sebagai pelanggan hotel dan melakukan jenayah samun ketika tiada pelanggan,” katanya dan menambah lelaki dan wanita itu direman sehingga 6 Nov ini bagi siasatan mengikut Seksyen 382 Kanun Keseksaan.

–BERNAMA



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: