KOTA BHARU 6 Nov. – Seorang bekas inspektor polis dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menerima suapan bernilai RM2,000 daripada seorang lelaki, dua tahun lalu.

Hakim Adli Abd. Ghalib menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, P. Kavikumar, 27,  yang pernah bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan kes berkenaan.

Adli juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 12 bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.

P. Kavikumar didakwa menerima suapan berjumlah RM2,000 daripada Mohd Zulhafizi Wan Mohd Zulkefly, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan kononnya atas kesalahan merogol di Jalan Bukit Bakar, Machang pada pukul 6 petang, 13 Januari 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM negeri, Shahidah Muslimah Roslan mencadangkan supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya  memohon supaya hukuman dikurangkan atas alasan bekerja sebagai pemandu teksi dan perlu menyara keluarga termasuk tiga adiknya yang masih belajar.

Adli kemudiannya menetapkan hukuman penjara tiga tahun bermula hari ini. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: