KKM miliki 4898 doktor pakar setakat September ini



KUALA LUMPUR: Terdapat 4,898 doktor pakar sedang berkhidmat di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) setakat 30 September tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kementerian itu sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi bilangan doktor pakar di negara ini.

“Antara langkah yang diambil kementerian adalah dengan meningkatkan pengambilan pegawai perubatan menjalani program sarjana kepakaran. Kementerian juga menggalakkan pegawai perubatan yang berminat untuk menjadi pakar menjalani latihan kepakaran melalui program laluan paralel bersama universiti luar negara,” katanya.

Beliau menjawab soalan Dr Izani Husin (PAS-Pengkalan Chepa) yang ingin tahu jumlah terkini doktor pakar di hospital kerajaan dan apakah langkah bagi menangani masalah kekurangan jawatan berkenaan.

Dr Hilmi berkata antara langkah lain yang diambil KKM adalah dengan melantik semula secara kontrak pegawai perubatan pakar yang telah bersara wajib untuk berkhidmat dengan kementerian itu mengikut keperluan.

Selain itu, katanya kerajaan turut mendapatkan perkhidmatan kepakaran daripada pihak swasta untuk berkhidmat secara ‘sesi’ serta menggalakkan pegawai perubatan pakar warganegara Malaysia yang berkhidmat di luar negara untuk pulang ke tanah air dan berkhidmat di dalam negara.

— BERNAMA



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons