Pengamal media sosial perlu adil – PM – Nasional


KUALA LUMPUR 8 Nov. – Pengamal media sosial di negara ini diminta berlaku adil dan bertanggungjawab terhadap setiap perkara yang ditulis dan dimuat naik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengamal media sosial juga tidak perlu terlalu mempercayai setiap status yang dimuat naik.

Katanya, hal ini kerana terdapat banyak berita palsu bersebaran di ruang maya tanpa fakta yang sah dan benar.

“Majalah Economist minggu ini turut mempersoalkan sama ada media sosial adalah ancaman kepada demokrasi negara, ” katanya sewaktu berucap pada majlis perasmian Malaysia Social Media Week (MSMW) 2017 di Hotel Berjaya Times Square di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Irwan Serigar Abdullah dan Presiden Dewan Media Sosial Malaysia, Shahul Hameed Dawood.

MSMW yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini disertai lebih 1,000 penuntut universiti awam dan swasta seluruh negara.  -UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Isu murid lemah KBAT selesai tahun depan – NUTP



KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem ‘Pembelajaran Abad ke-21’ yang bermula tahun depan akan membolehkan guru lebih fokus kepada usaha meningkatkan daya berfikir murid-murid dan bukannya kepada teknik menjawab soalan peperiksaan semata-mata.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Kamarozaman Abd. Razak berkata ketika ini para guru masih perlu memberi fokus kepada peperiksaan murid menyebabkan proses pembelajaran lebih bersifat ‘content oriented’.

“Bermula tahun depan kita akan memberi fokus kepada sistem Pembelajaran Abad ke-21 yang membolehkan guru memberi tumpuan untuk mengasah pemikiran murid-murid.

“Jadi amalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) tidak lagi perlu dinilai melalui peperiksaan semata-mata,” katanya dalam satu temu ramah bersama Astro AWANI di sini, hari ini.

Tambahnya, ‘Pembelajaran Abad ke-21’ juga akan membantu guru membina perwatakan murid yang lebih berketrampilan.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata 60 peratus sekolah yang dinilai Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti mempunyai masalah dalam penilaian KBAT.

Ia mewakili 169 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.



Source link

read more

Penyerang galas tugas tambahan – Bola Sepak


BURIRAM 8 Nov. – Dengan hanya membawa dua penyerang ke Thailand, Mohd. Syafiq Ahmad mengakui, dia dan Ahmad Hazwan Bakri menggalas tugas tambahan apabila skuad Harimau Malaya menentang Korea Utara dalam dua aksi kelayakan Piala Asia 2019 pada Jumaat dan Isnin ini.

Menurut Syafiq mereka menjadi harapan untuk meledak gol bagi memastikan kemenangan skuad negara di Stadium I-Mobile, Buriram, Thailand.

“Kami sedar hanya dua penyerang berada dalam skuad kali ini dan jika salah seorang daripada kami diturunkan, ia pasti satu tugas berat.

“Kami perlukan jaringan kerana hanya dengan jaringan kami boleh menang. Jadi, saya dan Hazwan boleh dikatakan menggalas tugas tambahan berbanding pemain lain,” katanya kepada pemberita.

Diminta mengulas mengenai kekuatan dan kelemahan Korea Utara, Syafiq mengakui dia tidak mengetahui corak permainan pasukan lawan.

“Saya tidak tahu apa yang ada dengan pasukan Korea Utara, saya tidak kisah kerana apa yang lebih penting adalah memberi fokus kepada membentuk kekuatan dalam pasukan sendiri,” katanya penyerang muda Kedah itu yang kali pertama dipanggil beraksi buat skuad senior.

Selepas tamat tiga perlawanan Kumpulan B, Malaysia sekadar mengutip satu mata. Pasukan negara seri sekali dan kalah dua kali, sekali gus menduduki tangga tercorot.

Aksi Malaysia dan Korea Utara terpaksa diadakan di venue berkecuali ekoran beberapa kali tertangguh gara-gara ketegangan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara selepas pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, di Klia2 pada 13 Februari lalu. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

RM 2.9 BILLION DUIT RAKYAT HILANG???


Tindakan Rejim Pakatan Selangor tidak mengisytiharkan peruntukan kira-kira RM2.9 bilion peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) dari Kerajaan Pusat menimbulkan tanda tanya.

Persoalan tersebut ditimbulkan ADUN Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang menuntut penjelasan berhubung peruntukan sejak enam tahun lalu untuk menyelenggara 16,679 kilometer jalan negeri Selangor.

“Kegagalan kerajaan negeri mengisytiharkan penerimaan serta mengemukakan anggaran perbelanjaan peruntukan Marris dalam belanjawan negeri mengundang banyak kekeliruan.

“Apakah kerajaan negeri secara sengaja tidak merekodkan maklumat mengenai peruntukan Marris kerana membelanjakannya untuk tujuan lain?

“Jika demikian, kerajaan negeri jelas melanggar Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan membabitkan bidang kuasa serta tanggungjawab di bawah Kumpulan Wang Disatukan,” ujarnya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Ujarnya, semua perbelanjaan peruntukan Marris itu perlu dibentangkan dalam sidang DUN, namun junlah perbelanjaan peruntukan Marris dari 2012 hingga 2017 tidak direkodkan.

“Saya gesa Menteri Besar untuk menjelaskan samaada peruntukan Marris telah disalahgunakan. Kami bimbang jika ada penyalahgunaan, ianya akan semakin berleluasa sekiranya tidak ditangani,” katanya lagi.

Mat Nadzari yang juga Penyelaras ADUN-ADUN BN Selangor menambah, berdasarkan rekod daripada Kementerian Kewangan, kerajaan negeri menerima RM416,971,395 peruntukan Marris daripada Kerajaan Persekutuan pada 2012 diikuti RM498,033,994 (2013), RM523,486,773 (2014), RM468,774,527 (2015), RM496,900,998 (2016) dan RM546,591,098 (2017).

Untuk rekod, dana yang sepatutnya digunakan untuk menyelenggara jalan raya pernah digunakan untuk memperbaiki kemudahan pangsapuri kos rendah di Selangor. Perkara tersebut pernah diakui oleh Exco sebelum ini.



Source link

read more

Awas warga KL Si penendang wanita sudah kembali



KUALA LUMPUR : Lelaki yang pernah dipenjarakan kerana menendang seorang wanita dari belakang hingga mengakibatkan wanita berkenaan tersungkur kembali melakukan aktiviti ‘gila’ tersebut.

Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar media sosial, lelaki yang sama dilihat menendang seorang wanita ketika hingga wanita berkenaan jatuh terduduk.

Dalam kejadian terbaru Isnin lalu kira-kira 1.30 petang, lelaki berkenaan dilihat menendang belakang badan mangsa mengakibatkannya jatuh terduduk di tangga jejantas sebelum lelaki berkenaan berlalu pergi.

Kejadian terbaru Isnin lalu berhampiran jejantas dari BNM ke Jalan Raja Laut

 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan lelaki berkenaan adalah individu yang sama pernah ditahan dahulu.

“Siasatan awal kami mendapati lelaki berkenaan telah dibebaskan daripada penjara Julai lalu akibat kesalahan yang sama sebelum ini,

“Berdasarkan kes terdahulu, kami mengesyaki suspek mengalami kecelaruan mental, namun kami masih menungu laporan perubatan mental suspek,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Lelaki yang menendang wanita dari belakang pada Julai 2016 dihukum penjara tiga bulan.

Mahkamah sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas Marmi Zabrin Mian, 33, atas kesalahan menendang belakang Shakira Mohd Khalid, 28, setiausaha di Bukit Aman, tanpa sebab.

Tambah Shaharuddin Abdullah, pihaknya masih berusaha mengesan suspek dan akan mempertimbangkan untuk mahkamah mengenakan bon berkelakuan baik terhadap suspek bagi mengelakkan suspek mengulangi perbuatannya.



Source link

read more

Baru seminggu di YouTube video Yang Terindah cecah 1 juta tontonan



BARU seminggu dimuat naik ke laman YouTube, video lirik lagu ciptaan dan nyanyian pelawak terkenal, Achey berjudul Yang Terindah sudah mencecah sejuta tontonan.

Selain ditonton sejuta kali, video lirik tersebut turut menjadi trending di YouTube dan berada di tangga ke-11.

Achey ketika dihubungi Astro Gempak berkata dia tidak menyangka lagu ciptaannya untuk isteri, Nur Hasanah Yahaya mendapat tempat di hati peminat.

“Ini percubaan pertama saya dalam bidang nyanyian, saya sendiri tidak menjangkakan akan mendapat maklum balas positif daripada pendengar dan peminat.

“Terima kasih kepada yang telah menyokong saya selama ini dan sambutan terhadap lagu Yang Terindah ini akan menjadi pembakar semangat buat diri saya untuk menghasilkan karya-karya yang lebih baik selepas ini,” katanya.

Lagu Yang Terindah merupakan ciptaan Achey sepenuhnya dan disempurnakan oleh Zimi Sofazr.

Video lirik “Yang Terindah” diterbitkan Sarah Shaber Production dan diedarkan Seventeen Eleven Music Sdn. Bhd.
 
 



Source link

read more

Maritim Malaysia kaji pinda undang-undang – Nasional


KUALA LUMPUR 8 Nov. — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sedang mengkaji untuk memindakan undang-undang berkaitan pencerobohan nelayan asing ke perairan negara memandangkan undang-undang sedia ada belum cukup menggerunkan mereka.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, pindaan tersebut termasuk cadangan memasukkan hukuman penjara sebagai hukuman kepada mereka yang ditangkap melakukan jenayah itu.

“Hukuman sedia ada hanyalah berbentuk denda iaitu maksimum RM1 juta dan sekiranya gagal membayar, mereka akan dipenjarakan tidak melebihi enam bulan. Dalam pindaan baharu ini, kita mengkaji untuk mengenakan hukuman penjara terhadap mereka yang didapati bersalah,” katanya kepada Utusan Online selepas mengadakan kunjungan hormat bersama 18 lagi pegawai Maritim Malaysia ke Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Hassan Mohd. Noor; Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkifli Hamzah; Penolong Pengarang Utusan Malaysia/Berita, Zulkiflee Bakar; Pengurus Jabatan Pengarang, Ainol Amriz Ismail dan Ketua Meja Jenayah, Azian Aziz.

Akhbar sebelum ini melaporkan Malaysia mengalami kerugian antara RM3 bilion dan RM6 bilion setahun akibat hasil lautnya dirompak nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

Zulkifli menjelaskan, hukuman dan undang-undang negara yang tidak seketat negara-negara jiran seperti Indonesia menyebabkan perairan Malaysia terutamanya Laut China Selatan sentiasa diceroboh nelayan warga asing terutamanya dari Vietnam.

Bagaimanapun katanya, pindaan undang-undang itu perlu berlandaskan kepada garis panduan Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa.

Katanya, pencerobohan nelayan asing itu bukan sahaja menjejaskan hasil perikanan negara malah turut merosakkan kekayaan ekosistem lautan di Malaysia.

Selain itu kata beliau, Maritim Malaysia juga mengesan aktiviti kolaborasi antara nelayan tempatan dan nelayan antarabangsa menerusi pemalsuan dokumen dan bot.

“Ini bermakna, bot asing beroperasi di perairan negara dengan menggunakan dokumen dan nombor pendaftaran tempatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Mangsa banjir di pusat pemindahan Pulau Pinang meningkat


BUKIT MERTAJAM: Jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan di Pulau Pinang meningkat kepada 4,454 orang daripada 1,115 keluarga, berbanding 3,482 orang daripada 914 keluarga yang dicatatkan pagi tadi.

Menurut jurucakap polis bilik gerakan banjir sehingga jam 2.30 petang ini, semua mangsa banjir ditempatkan di 30 pusat pemindahan di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT).

Tambahnya lagi, 2,766 mangsa banjir daripada 650 keluarga masih berada di pusat pemindahan di SPU, manakala 1,598 mangsa membabitkan 465 keluarga ditempatkan di SPT.

Mangsa banjir di pusat pemindahan di Bukit Mertajam. -BERNAMA

Walaupun beberapa jalan utama telah dibuka, beberapa jalan termasuk di Lahar Yooi, Padang Menora, di Tasek Gelugor masih ditutup kepada lalu lintas kerana masih dinaiki air.

 

Sementara itu, tinjuan mendapati pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dan sukarelawan membantu menghulurkan bantuan dan membersihkan rumah di kawasan yang menyaksikan air mula surut.

Sehingga kini, banjir terburuk yang melanda Pulau Pinang sudah meragut tujuh nyawa.



Source link

read more

Penumpang terima layanan buruk India arah siasatan dijalankan



NEW DELHI: Susulan video rakaman yang memaparkan seorang penumpang diberi layanan buruk oleh kakitangan sebuah syarikat penerbangan tambang murah, kerajaan India mengarahkan siasatan dilakukan berhubung insiden berkenaan, lapor agensi berita Xinhua.

“Kami sedang menunggu laporan daripada Direktorat Penerbangan Awam berhubung kejadian itu,” kata Menteri Penerbangan Awam India, Ashok Gajapathi Raju kepada media pada Selasa.

Insiden berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di Delhi bulan lalu, namun kejadian mula mendapat perhatian selepas rakaman video tular di media sosial.

Rakaman video memaparkan, seorang penumpang dihalang secara fizikal daripada menaiki pesawat oleh seorang kakitangan Indigo Airline selepas berlaku perbalahan. 

Penumpang, dikenali sebagai Rajeev Katiyal, dan mereka kemudian dilihat saling melepas tumbukan antara satu sama lain. 

Syarikat penerbangan itu, telah mengemukakan permohonan maaf.

“Saya mengakui kejadian itu sepatutnya tidak terjadi terhadap penumpang. Saya memohon maaf kerana keadaan itu tidak mencerminkan budaya kami,” kata Presiden Indigo, Aditya Ghosh dalam satu kenyataan.

Sementara itu, seorang pegawai kanan polis berkata, tiada pihak membuat sebarang laporan berhubung kejadian tersebut dan buat masa ini kes berkenaan tidak didaftarkan.

— BERNAMA



Source link

read more

233 graduan cemerlang N. Sembilan terima RM5,000 – Pendidikan


SEREMBAN 8 Nov. – Seramai 233 graduan cemerlang kelahiran Negeri Sembilan hari ini menerima imbuhan sebanyak RM5,000 kerana memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dari institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara bagi tahun 2017.

Penyampaian cek tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Majlis Penyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama di Klana Resort di sini.

Menurut Mohamad, pada tahun ini seramai 37 graduan cemerlang telah dikecualikan daripada membayar balik pinjaman pendidikan kepada Yayasan Negeri Sembilan yang melibatkan jumlah keseluruhan RM507,330.

“Dari tahun 2010 hingga 2016, seramai 182 peminjam telah mendapat pengecualian tersebut dengan jumlah pinjaman lebih RM2 juta,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Shamsulkahar Mohd. Deli; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia Dan Sukan negeri, Datuk Zaifulbahri Idris dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan.

Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama diperkenalkan oleh kerajaan negeri pada tahun 2006 bagi memberi pengiktirafan serta penghargaan kepada graduan cemerlang pada setiap tahun. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons