Itali resah Zaza cedera – Bola Sepak


STOCKHOLM 10 Nov. – Itali tiba di Sweden untuk perlawanan pertama daripada dua bertemu pasukan itu dalam kelayakan Piala Dunia 2018, dengan keraguan tentang kecergasan penyerang Simone Zaza timbul ekoran mengalami kecederaan lutut.

Kecederaan tersebut sekali gus mencetuskan kebimbangan buat skuad Azzurri susulan dia mungkin bakal diketepikan dalam perlawanan hari ini.

Zaza mengalami kecederaan lama semasa latihan sebelum skuad Itali berlepas ke Stockholm lagi.

“Kita tunggu perkembangannya. Zaza ada sedikit masalah. Jika dia tidak dapat main esok, dia boleh bermain pada hari Isnin,” kata pengurus Itali Gian Piero Ventura pada sidang akhbar di Arena Friends hari ini.

Diapit oleh kapten pasukan dan penjaga gol berpengalaman Itali, Gianluigi Buffon, Ventura kelihatan tidak bimbang dengan kecederaan yang melanda penyerang itu.

“Pastinya ia perlawanan yang menarik dan salah satu aksi terpenting dalam karier saya kerana ia adalah dua perlawanan yang boleh membawa kami ke Piala Dunia,” katanya.- REUTERS



Source link

read more

Malaysia berusaha pastikan keamanan dan kestabilan Asia Pasifik – Najib



KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan sentiasa memperjuangkan bagi lebih banyak usaha untuk memastikan keamanan, kestabilan dan keselamatan di Asia Pasifik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata berdepan dengan pelbagai cabaran keselamatan, negara anggota ASEAN tidak boleh hanya berpeluk tubuh tanpa berbuat apa-apa.

“Kita semua perlu menyumbang bagi ‘pemupukan perkongsian masa depan’, dan saya berharap dan berdoa bahawa selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan kemudiannya sidang kemuncak ASEAN dan sidang kemuncak berkaitan, kita akan mencapaian kemajuan ketara dalam berbuat demikian.

“Perhimpunan pemimpin-pemimpin dunia, seperti yang ini, perlu memanfaatkan peluang berkumpul bersama-sama ini untuk menimbangkan apa yang mereka semua boleh lakukan untuk mengambil tindakan secara kolektif,” katanya dalam catatan di blog beliau www.najibrazak.com.my hari ini.

Najib, diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiba di Vietnam pada tengah hari Khamis untuk mesyuarat APEC dan sidang kemuncik pemimpin yang akan bermula pada Jumaat.

Najib dalam blognya itu turut menyebut bahawa Asia Pasifik berdepan pelbagai cabaran besar, daripada peningkatan ketegangan di Semenanjung Korea, masalah militan Daesh dan sekutunya di Asia Tenggara, sehinggalah isu penderitaan dan penganiayaan yang mengakibatkan penghijrahan besar-besaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Lautan Andaman dan di negara-negara jiran.

Beliau berkata bagi pihak Malaysia, Kuala Lumpur telah secara berterusan mengutuk sekeras-kerasnya siri ujian nuklear yang dijalankan oleh Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK).

“Siri ujian yang boleh membawa kepada musibah nuklear, yang boleh mengakibatkan kematian ratusan ribu orang, jikapun bukan jutaan; kesan radioaktif, penyakit kronik jangka panjang dan banyak orang akan kehilangan tempat tinggal – ini adalah sesuatu yang kita tidak boleh biarkan dalam abad ke-21 ini.

“Dalam mana-mana konflik, khususnya yang melibatkan senjata seumpama itu akan menimbulkan bencana bukan sahaja kepada Semenanjung Korea tetapi juga rantau ini dan melangkauinya.

“Senjata nuklear merupakan ancaman yang telah membawa terlalu banyak kerosakan pada separuh kedua alaf lepas, dan kita perlu mengambil semua langkah perlu untuk mengelakkan bahaya ini daripada menyelubungi separuh pertama abad ini,” katanya.

Berhubung  Daesh, perdana menteri menegaskan Malaysia turut tidak terlepas daripada tempias kekejaman kumpulan militan itu yang telah mencetuskan huru-hara di Iraq dan Syria, dengan serangan pertama dikaitkan dengan Daesh berjaya digagalkan Polis Diraja Malaysia pada Jun tahun lepas.

Najib berkata kerajaan Malaysia telah memperkenalkan beberapa undang-undang bagi menangani keganasan sejak beberapa tahun lepas untuk mengatasi masalah itu selain bekerjasama dengan banyak negara lain dalam Global Coalition Against Daesh di peringkat antarabangsa.

“Dari saat kita melihat apa yang berlaku di Marawi City di Filipina baru-baru ini, jelas bahawa ancaman ini adalah satu hakikat dan wujud di rantau kami. Tiada siapa patut meremehkannya, dan saya tidak akan meminta maaf kerana mendahulukan keselamatan rakyat Malaysia.

“Tetapi cabaran ini perlu didepani menerusi beberapa cara: bukan sekadar pencegahan, tetapi juga dengan memerangi radikalisasi dan berusaha memulihkan mereka yang telah diperdayakan oleh penjenayah yang berselindung atas nama Islam,” katanya.

Perdana menteri berkata usaha Malaysia untuk menggalakkan konsep wasatiyyah, dan contoh digariskan dalam inisiatif Pergerakan Kesederhanaan Global, telah diiktiraf secara meluas dan diambil sebagai model oleh negara lain dan disahkan awal tahun ini dengan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Malaysia, yang merupakan satu pengiktirafan penting oleh Penjaga Dua Masjid Suci itu.

Berhubung tindakan pembersihan etnik di negeri Rakhine, Myanmar, Najib berkata Malaysia merupakan negara pertama menggesa tindakan diambil dan berjaya mencadangkan diadakan mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Yangon pada Disember lepas.

“Kami menganjurkan mesyuarat tergempar Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan nasib Rohingya pada Januari tahun ini. Dan kami telah menerajui banyak inisiatif kemanusiaan, menghantar barang keperluan dan membina sebuah hospital lapangan untuk membantu pelarian Rohingya di Bangladesh,” katanya.

— BERNAMA



Source link

read more

Dihina asyik mengah dan gemuk ini transformasi Mariah Carey



PENYANYI terkenal Mariah Carey akhirnya memutuskan untuk menjalani pembedahan gastric sleeve untuk menurunkan berat badannya kerana sering dihina terlalu gemuk dan sukar menari.

Penyanyi lagu My All itu mendapat kecaman yang teruk daripada netizen apabila sering kelihatan termengah-mengah ketika membuat persembahan di pentas.

Pembedahan gastric sleeve akan mengurangkan kadar penyerapan makanan dalam usus dan membuatkan pesakit rasa cepat kenyang serta mengurangkan selera makan.

BACA: Mariah Carey diugut saman oleh bekas pengawal peribadi

“Mariah melakukan prosedur itu sebulan lalu dan kesannya sudah menampakkan hasil yang memberangsangkan.

“Ketika berat badannya meningkat secara mendadak, dia sering rasa terhina dan kecewa sampaikan dia sendiri memotong tanda saiz pada setiap helaian baju yang dipakainya,” kata sumber terdekat penyanyi itu.

Selepas menjalani pembedahan itu enam minggu lalu, Mariah muncul dengan bentuk badan yang lebih kurus dalam sebuah acara di TCL Chinese Theatre di Hollywood, Amerika Syarikat pada hari Rabu lalu.

Berat badan Mariah pernah mencecah 100 kilogram pada Julai lalu hingga menyukarkan dia untuk berjalan.

Baca: Berat Badan Lebih 100kg, Mariah Carey Susah Hendak Berjalan

Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: Page Six, AOL



Source link

read more

Sumbat gol bukan tugas saya seorang – Hazwan – Bola Sepak


BURIRAM 10 Nov.- Penyerang negara, Ahmad Hazwan Bakri tiada pilihan selain menjaringkan gol buat skuad Harimau Malaya seandainya mahu menyalakan semula peluang untuk mendapat tempat ke pusingan akhir Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Hazwan yang dijangka menjadi sandaran utama sebagai penyerang tunggal negara dalam aksi menentang Korea Utara, hari ini di Stadium I-Mobile, Buriram, mengakui tugas menjaringkan gol tidak hanya bergantung kepadanya sebaliknya sesiapa sahaja mampu untuk melakukannya.

“Tiada istilah yang hanya bergantung kepada saya kerana bola sepak adalah sukan berpasukan jadi semua pemain perlu memainkan peranan sebaik mungkin dan bermain sebagai satu pasukan.

“Ya…kali ini kita perlu mendapatkan keputusan lebih baik dan ini peluang terbaik untuk melakar kemenangan pertama diperingkat antarabangsa selepas gagal melakukannya dalam lima perlawanan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Skuad kebangsaan kini berdepan misi hidup mati, seandainya mereka tewas pada perlawanan pertama menentang Korea Utara maka impian untuk beraksi di Piala Asia mungkin boleh dilupakan dan aksi kedua pada Isnin ini boleh diibaratkan sekadar pelengkap jadual.

Anak didik Nelo Vingada sekurang-kurangnya perlu mengutip empat mata dalam dua pertemuan ini bagi bersaing di kedudukan kedua kumpulan B.

Dalam saingan kumpulan tersebut, Malaysia kini menduduki tangga tercorot selepas hanya mengumpul satu mata daripada tiga perlawanan.- UTUSAN ONLINE



Source link

read more

4 HARI KUTIP DERMA, TAPI KEBAJIKAN AHLI TETAP TERABAI!!! ~ SEMUT HITAM


Hebat! Kira bagus la bila DAPigs ni sanggup mengutip derma untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang. Itu menunjukkan Rejim DAPigs pimpinan Si Guan Eng tu GAGAL.

Gagal menguruskan bencana dengan baik. Gagal untuk menghalang kejadian banjir kilat itu berlaku akibat kerakusan dia nak mengejar pembangunan yang tidak terancang di Pulau Pinang.

Malah Si Guan Eng tu juga secara tidak lansung Gagal merancang perbelanjaan untuk mengatasi masalah banjir kilat yang kerap kali berlaku di negeri yang diperintah oleh DAPigs itu sendiri.

Kerana isunya bukan baru hari ini Pulau Pinang dilanda banjir kilat. Tapi dah banyak kali ianya berlaku dan telah dibangkitkan sebelum ini. Malangnya, Si Guan Eng tu yang buat pekak.

Namun yang lebih malang ialah apabila DAPigs sehingga ke hari ini masih GAGAL untuk menjaga kebajikan ahli partinya sendiri. Kutip derma 4 hari untuk mangsa banjir boleh pulak.

Tapi kenapa puak DAPigs tu tak nak kutip derma untuk membiayai perbelanjaan perubatan bagi Ahli Parlimen Raub yang juga merupakan wakil tunggal Melayu mereka di Parlimen?

Adakah tahap kesihatan Ahli Parlimen Raub itu tidak begitu penting buat DAPigs sehingga membuatkan mereka tidak mengambil berat dan lansung tidak mempedulikan dirinya?

Mungkin, tahap kesihatan Ahli Parlimen Raub itu tidak memberi sebarang manfaat kepada parti. Sebaliknya, pengundi di Pulau Pinang lebih penting memandangkan mereka akan memberikan undi kepada parti itu untuk kekal memerintah kelak!!!




Source link

read more

Insurans banjir Pilihan atau kemestian



INSIDEN taufan dan banjir kini bukan lagi fenomena luar biasa di negara kita. Kebelakangan ini kita dikejutkan dengan berita kejadian banjir dan bencana yang berkaitan, termasuklah tanah runtuh dan kerosakan harta benda.

Oleh yang demikian, pengguna sewajarnya mengambil langkah perlu untuk melindungi pelaburan harta benda daripada ditimpa malapetaka, khususnya akibat banjir.

Namun, kadar pengambilan insurans bagi melindungi harta benda peribadi seperti kenderaan dan kediaman di Malaysia dilaporkan masih rendah.

Menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), kadar pengambilan perlindungan banjir bagi insurans kenderaan hanya dua hingga empat peratus. 

Pengguna, dalam memastikan pelaburan mereka terjamin, diberi pilihan sama ada mahu melindungi harta benda itu di bawah skim insurans konvensional atau takaful.

Astro AWANI mendapatkan maklum balas daripada beberapa syarikat insurans berhubung perlindungan yang ditawarkan bagi tujuan tersebut.

Berikut maklumat mengenai kepentingan membeli insurans atau takaful perlindungan banjir untuk melindungi harta benda anda ketika bencana.

Jangkaan kerugian akibat banjir setiap tahun
AS$1.27 bilion atau RM5.33 bilion (jumlah ini dikira berdasarkan model matematik yang mengabungkan senario masa depan)

Kerugian ekonomi akibat bencana
62.5% banjir
12.5% ribut
8.5% tanah runtuh

Sumber: http://www.preventionweb.net/countries/mys/data/

Insurans / Takaful pemilik rumah
Memberi perlindungan kepada pemilik rumah, meliputi kerosakan kepada struktur bangunan rumah termasuk kerosakan akibat banjir.
*Anggaran premium: Kurang RM500 setahun untuk rumah bernilai RM200,000

Insurans / Takaful penduduk
Melindungi barangan di dalam kediaman daripada kerosakan, termasuk akibat banjir.
*Anggaran premium: Kurang RM300 setahun untuk perlindungan RM50,000

Insurans premis perniagaan
Ia dikategorikan sebagai insurans kebakaran. Premium tambahan perlu dibayar untuk mendapatkan perlindungan berkaitan banjir.
*Anggaran premium: Kurang RM1,000 setahun untuk perlindungan RM200,000

Insurans Kenderaan
Kebanyakan insurans kenderaan tidak melindungi kereta anda daripada banjir secara automatik. Anda perlu membayar premium tambahan (loading) untuk memastikan kenderaan anda dilindungi jika berlaku kerosakan akibat banjir.
*Anggaran tambahan premium: RM100-RM280 setahun

*Sumber dalaman industri



Source link

read more

PPIK tubuh skuad amal dekati masyarakat – Kelantan


KOTA BHARU 9 Nov. – Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) melancarkan Skuad Amal PPIK sebagai persediaan bagi menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini.

Presidennya, Walizah Amri Wahab berkata, skuad tersebut terdiri dari anggota PPIK di seluruh negeri dan berperanan sebagai sukarelawan.

“Skuad ini bukan hanya berfungsi untuk banjir sahaja, tetapi skopnya adalah lebih luas membabitkan komuniti, sebab itu kita namakannya sebagai skuad amal.

“Oleh kerana sekarang ini musim tengkujuh, maka kita bersedia menghadapi kemungkinan banjir.

“Jadi, pada musim begini kita akan fokuskan kerja-kerja amal untuk membantu mangsa yang terlibat banjir,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Walizah berkata, pejabat PPIK yang terletak di Jalan Pengkalan Chepa, dekat sini akan bertindak sebagai pusat pengumpulan barangan yang disumbangkan oleh orang ramai untuk diagihkan kepada mangsa sekiranya berlaku banjir.

Dalam pada itu, beliau menyeru kerjasama semua pihak sama ada agensi kerajaan, swasta dan orang ramai bersama dengan PPIK untuk membantu masyarakat yang memerlukan.

Tambah beliau, selepas berakhirnya musim tengkujuh nanti, PPIK akan memperluaskan skop pendekatannya bagi mendekatkan lagi pergerakan itu dengan masyarakat di peringkat akar umbi.

“Kita akan rancang pelbagai program dalam merealisasikan visi serta misi penubuhan skuad ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons