Perbahasan DUN Selangor tegang | Astro Awani



SHAH ALAM: Sesi perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini tegang apabila seorang Exco kerajaan negeri mengeluarkan perkataan kurang menyenangkan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan dan Pengangkutan negeri, Datuk Teng Chang Khim melemparkan perkataan ‘bodoh’ buat kali kedua kepada ADUN BN selepas melakukan perkara yang sama pada persidangan DUN November tahun lalu, selepas berang dengan perbahasan berkaitan peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Kekecohan bermula apabila Teng (DAP-Sungai Pinang) mencelah sesi perbahasan Datuk Halimaton Saadiah Bohan (BN-Kota Damansara) dengan menyatakan isu yang dibangkitkan wakil rakyat itu tidak berkaitan dengan Usul Pembangunan Bajet Selangor 2018.

Halimaton Saadiah kemudiannya mempertahan isu yang dikemukakannya iaitu mengenai peruntukan untuk melupus kereta rosak di pangsapuri di Selangor sehingga mengehadkan lot meletak kenderaan dengan mengatakan ia juga termasuk dalam perbelanjaan pembangunan.

“Sepatutnya Sungai Pinang (Teng) biarkan saya habiskan ayat dahulu, jangan terus potong apa saya nak cakap, tiada adab dan tiada tatasusila,” katanya.

Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) kemudiannya bangun dan mempersoalkan tindakan Teng kerana tidak menghormati sesi perbahasan ADUN Kota Damansara itu.

Teng yang masih tidak berpuas hati bingkas bangun dan mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ dan mencetuskan kemarahan ADUN BN yang serentak bangun untuk menggesanya menarik balik perkataan berkenaan dan mempertikai sikap serta kredibilitinya sebagai Exco kerajaan negeri.

Situasi tegang itu menyebabkan Speaker DUN, Hannah Yeoh Tseow Suan terpaksa meredakan keadaan dan meminta semua pihak bertenang.

Sulaiman sekali lagi bangun dan meminta Teng menarik balik perkataan berkenaan selaras dengan Peraturan 36(6) Peraturan Tetap DUN yang menyebut seorang anggota dewan tidak boleh mengeluarkan kenyataan tidak elok kepada anggota dewan lain.

Bagaimanapun, Teng enggan menarik balik perkataan tersebut dengan menyatakan ia tidak dituju kepada sesiapa.

Datuk Abdul Shukor Idrus (BN-Kuang) kemudiannya bangun dan dengan sinis menyatakan sekiranya perkataan ‘bodoh’ itu boleh dilontarkan, semua pihak boleh menggunakannya di dalam DUN berkenaan.

Pertikaman lidah yang semakin tegang itu menyebabkan Yeoh segera menangguh persidangan dan bersambung pada sesi petang.

— BERNAMA



Source link

read more

600 peserta sertai pertandingan memancing UMP-Utusan – Terkini


PEKAN 11 Nov. – Hampir 600 orang menyertai Pertandingan Memancing Terbuka sempena Ekspokonvo Universiti Malaysia Pahang (UMP) di tasik universiti berkenaan di sini, hari ini.

Majlis perasmian pertandingan itu disempurnakan oleh Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Abd. Rahman Safie; Ketua Biro Utusan Malaysia Pahang, Mohd. Shariza Abdullah dan Pegawai Perhubungan Awam UMP, Mimi Rabita Abd. Wahit.

Pertandingan selama empat jam itu bermula pukul 8.35 pagi.

Pertandingan memancing berkenaan menawarkan pelbagai hadiah menarik iaitu wang tunai RM7,000 bagi pemenang pertama, RM2,500 (naib juara) dan RM1,000 (tempat ketiga) selain pelbagai hadiah sagu hati serta cabutan bertuah.

Dengan yuran penyertaan sebanyak RM40, peserta 400 terawal berpeluang mendapat sehelai baju T, air Oishi satu liter dan tambah nilai RM10 daripada Celcom. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Pesuruhjaya Pas Perak diarah bayar bekas MB RM200000



IPOH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria membayar RM200,000 kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkaitan saman fitnah yang difailkan dua tahun lalu.

Mohammad Nizar, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, memfailkan saman fitnah sebanyak RM3 juta ke atas Razman di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Ogos 2015, sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim D. Sunita Kaur Jessy membuat keputusan itu selepas mendapati Razman, selaku defendan, bertanggungjawab terhadap kenyataan yang disiarkan di akhbar Sinar Harian, 2 Jun 2015, berunsur fitnah terhadap Mohamad Nizar sebagai plaintif.

Mohammad Nizar, yang kini Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH), memfailkan saman itu terhadap dua perenggan dalam artikel berkenaan yang mengaitkannya ‘menyokong konsep negara sekular yang diperjuangkan DAP dan bahawa dia perlu menyertai DAP’.

Plaintif diwakil Asmuni Awi manakala Razman diwakili Mohd Zamri Ibrahim dan Ahmad Azhar Sharin.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Asmuni berkata plaintif berasa lega dengan keputusan tersebut dan memohon defendan membayar jumlah itu dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.

“Kami selalu mengatakan kos fitnah tidak murah. Walaupun keputusan itu, defendan terus memfitnahkan Nizar menerusi tulisannya, kami akan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guam kami jika beliau mahu meneruskan perkara itu,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Zamri berkata alasan penghakiman bahawa plaintif berjaya membuktikan artikel berkenaan ada unsur fitnah, penerbitan sudah berlaku dan tuntutan balas serta bukti dikemukakan defendan tidak cukup kuat untuk menolak saman plaintif.

“Saya akan cuba menasihatkan anak guam untuk memohon penangguhan keputusan itu atau membuat rayuan di Mahkamah Tinggi,” katanya.



Source link

read more

[VIDEO] TPP-11 belum terkubur – Najib – Terkini


DANANG, Vietnam 11 Nov. – Perkongsian Trans-Pasifik yang kini dianggotai 11 negara (TPP-11) belum terkubur, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun rundingan TPP-11 belum mencapai konsensus, malah mesyuarat peringkat ketua-ketua kerajaan yang dijadual berlangsung di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2017 di bandar peranginan ini petang semalam, terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir, Perdana Menteri berkata, kesimpulan yang dibuat adalah pakatan itu masih memerlukan masa untuk menandatangani perjanjian perdagangan berkenaan.

“Walaupun tidak ada konsensus lagi, tidak bermakna TPP-11 ini terkubur. Tidak. Apa yang kita simpulkan, masa masih diperlukan untuk kita mencapai kata sepakat,” katanya bercakap kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerjanya ke sidang kemuncak ini tengah malam tadi.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis makan malam rasmi ketua-ketua negara APEC yang dihoskan oleh Presiden Vietnam Tran Dai Quang di Sheraton Danang di sini. Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Duta Malaysia ke Vietnam, M. Zamruni Khalid.

TPP-11 yang diuar-uarkan akan ‘bangkit semula’ tanpa Amerika Syarikat pada mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pukul 3.30 petang semalam di sini, tidak menjadi kenyataan, apabila Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, tidak hadir ‘tanpa notis awal’ menyebabkan 10 anggota lain terpaksa menunggu selama sejam.

Najib berkata, keadaan itu memang tidak dijangka kerana tidak ada petunjuk bahawa akan berlaku masalah dalam jadual TPP-11 petang semalam. Tambahan pula ujarnya, tidak ada alasan spesifik yang diberikan oleh Kanada.

“Namun kebanyakan ketua TPP percaya masalahnya lebih kritikal daripada substantif dan ada kaitannya dengan masalah politik dalaman negara itu,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata, dalam hal ini, ketua-ketua pakatan perdagangan itu secara umumnya memahami bahawa ada dua elemen yang perlu diberi perhatian oleh anggota TPP iaitu pertama, aspek substantif dan satu lagi dari segi penerimaan politik.

“Ada pihak yang kata, mereka kena tunggu sebab mereka ada soal politik domestik yang perlu dihadapi dan tangani terlebih dahulu.

“Saya percaya keinginan mereka ialah untuk menyertai TPP tetapi mereka tidak dapat ambil risiko penentangan pengundi-pengundi tempatan dalam hal ini,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, seperti Kanada dan negara lain, Malaysia juga mempunyai tuntutan-tuntutan yang diperjuangkan mengikut keperluan dan kepentingan rakyat.

“Kita mahukan TPP tetapi mestilah yang mengikut terma kita. Itu yang kita katakan dari dulu lagi,” katanya.

Sementara itu, Mustapa yang mengulas ‘kegagalan’ TPP-11 mencapai konsensus di luar Sidang Kemuncak APEC 2017  di sini semalam, berkata, keadaan itu terlalu digembar-gemburkan oleh media yang meletakkan ‘harapan’ amat tinggi terhadap pakatan perdagangan itu.

“Mereka yang meletakkan jangkaan masa 3.30 petang waktu mesyuarat TPP-11 semalam sebagai detik perjanjian itu dimuktamadkan. Jadi apabila mesyuarat tidak berjalan mengikut jadual, mereka membuat anggapan yang ‘TPP-11 sudah gagal’ sedangkan bukan itu hakikat sebenarnya.

“TPP ada peringkat-peringkat mesyuarat daripada pegawai ke tahap menteri sebelum dibawa kepada ketua-ketua kerajaan, dan tidak bermakna apa yang dicadangkan oleh menteri akan diterima semuanya di peringkat ketua,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Lelaki berpakaian pengebom bunuh diri ditahan



KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dipercayai berpakaian ala pengebom bunuh diri pada 28 Okt lepas ditahan hari ini selepas dia tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dekat sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata suspek berusia 35 tahun yang berasal dari Sana’a, Yaman itu hadir menyerah diri kira-kira 6 petang ini.

“Suspek akan direman esok dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa lepas, Mohd Zani berkata pihak polis sedang menjejaki seorang lelaki yang berpakaian ala pengebom bunuh diri ketika menghadiri sebuah majlis sambutan Halloween di sebuah kondominium di Damansara di sini, pada 28 Okt lepas,

Menurut Mohd Zani seorang penduduk di kondominium berkenaan memaklumkan kepada polis ada melihat lelaki memakai pakaian sedemikian ketika menaiki lif.

Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA



Source link

read more

Satu minit yang bersejarah – Harith Iskander – Hiburan


KUALA LUMPUR 10 Nov.- Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaan pelawak, Harith Iskander apabila dapat bertemu dengan Prince of Wales bersama isterinya, Duchess of Cornwall baru-baru ini selain berbangga dan menakjubkan.

Jelas pelawak itu, dia tidak menyangka dapat bertemu dan berbual dengan Putera Charles dan isteri baginda, Camilla sewaktu lawatan putera tersebut ke Malaysia baru-baru ini.

“Sebenarnya saya dijemput untuk hadir ke Majlis Malam Gala Diraja di Kuala Lumpur tetapi disebabkan saya terikat dengan persembahan di Singapura, jemputan itu terpaksa ditolak.

“Tetapi mereka menjemput saya ke majlis yang sama di Pulau Pinang, pasti saya tidak akan melepaskan peluang itu. Pertemuan seminit itu bagaikan satu pengalaman yang cukup membanggakan dan bersejarah dalam hidup saya,” katanya ketika dihubungi UTUSAN ONLINE.

Tambah Harith, dia juga sempat berbual dengan Putera Charles berhubung beberapa topik termasuk kepelbagaian industri komedi merentasi pelbagai budaya dan sempat bertukar pandangan mengenai kumpulan komedi kegemaran mereka, Monty Python.

“Apa yang membuatkan saya sangat kagum dengan baginda adalah dia benar-benar bercakap dengan kita untuk seminit yang diberikan. Malah, baginda juga bersungguh-sungguh apabila berbual.

“Bayangkan, dalam majlis yang dihadiri hampir 80 orang itu, baginda meluangkan masa sekurang-kurangnya seminit seorang untuk beramah mesra. Itulah aura putera sebenar,” katanya.- UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Hujan lebat sebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di Gombak



KUALA LUMPUR: Hujan lebat lebih dua jam di ibu negara petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di Gombak dekat sini dilanda banjir kilat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata beberapa kawasan termasuk Batu 7 1/2 Hulu Kelang dan Kampung Sungai Pusu dinaiki air di antara 0.2 hingga 0.5 meter selepas hujan kira-kira 4 petang tadi.

“Hujan lebat di kawasan terbabit menyebabkan air Sungai Klang melimpah ke kawasan rumah berhadapan dengan sungai.

“Kira-kira empat rumah terjejas kerana air naik di perkarangan rumah namun tiada mangsa yang dipindahkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Sani berkata hujan lebat itu turut mengakibatkan tebing di sebatang jalan di Taman Mulia Jaya, Ampang dekat sini, runtuh.

“Kejadian kira-kira 5.30 petang itu mengakibatkan sebuah kereta Proton Wira rosak akibat dihempap tanah. Tiada mangsa dilaporkan cedera,” katanya.

— BERNAMA



Source link

read more

Lima lagu berhantu di Raku



KUALA LUMPUR: Lagu ciptaan oleh penyanyi itu sendiri mendominasi lima lagu teratas yang paling didengari di Raku.my.

Menduduki carta teratas Top Top 50 ialah hasil ciptaan penuh, ditulis dan digubal oleh Siti Nordiana atau Nana iaitu Terus Mencintai.

Selain itu, lagu Biar Cinta yang dinyanyikan oleh Syamel menjadi lagu tumpuan di Raku.my sepanjang minggu ini.

Lagu yang pertama kali dipersembahkan ketika konsert final AF Megastar itu merupakan ciptaan Syamel.

Berikut senarai lima lagu paling top di Raku.my:

  1. Terus Mencintai – Siti Nordiana
  2. Biar Cinta – Syamel
  3. Sandiwara – Xpose Band
  4. Jatuh Bangun – Haqiem Rusli
  5. Luluh – Khai Bahar

Layari Raku.my atau muat turun secara percuma aplikasi Raku di App Store dan Playstore untuk menikmati lagu pilihan anda secara online.

http://raku.my/landing/



Source link

read more

Polis buru dua individu – Jenayah


PASIR PUTEH 10 Nov. – Polis giat memburu seorang lelaki dan wanita bagi membantu siasatan kes tetak di Kampung Cherang Ruku, dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Suprintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki tersebut ialah Mohd. Kupuan Zahari, 30, beralamat di Kampung Pacakan, Semerak manakala wanita itu, Nurul Asdayanti Mohamad, 26, beralamat di Kampung Pantai Baru, Bachok.

Menurutnya, Mohd. Kupuan dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Manakala Nurul Asdayanti disiasat di bawah seksyen yang sama dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata.

“Polis percaya kedua-dua individu ini bersembunyi di lokasi tertentu dan berharap agar mereka menyerah diri di mana-mana balai polis yang berdekatan seberapa segera,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, dekat sini hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua individu ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh di talian 09-7867222 atau mana-mana balai polis berdekatan. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons