Wisma Putra sahkan wartawan Malaysia dipenjara dua bulan di Myanmar



PUTRAJAYA: Kementerian Luar hari ini mengesahkan laporan beberapa agensi berita antarabangsa bahawa wartawan Malaysia, Mok Choy Lin dijatuhi hukuman penjara dua bulan di Myanmar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata Mok yang ditahan pada 27 Okt lalu bersama-sama seorang warga Singapura dan seorang rakyat tempatan, dihukum atas kesalahan yang dilakukan menurut Akta Lapangan Terbang Myanmar 1934.

Menurut kenyataan itu wakil Kedutaan Malaysia di Yangon telah melawat Mok dan wanita tersebut dilaporkan berada dalam keadaan baik.

“Kedutaan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Myanmar serta Kedutaan Singapura dan Turki di Myanmar bagi memantau dan memberi segala bantuan yang diperlukan kepada rakyat masing-masing yang terlibat,” katanya.

Wisma Putra juga mengulangi ingatan akan keperluan rakyat Malaysia memahami sepenuhnya undang-undang dan peraturan negara tuan rumah sebelum melakukan lawatan selain berusaha mematuhinya.

Mok, wartawan stesen penyiaran Turkish Radio and Television, ditahan oleh pihak berkuasa Myanmar kerana didakwa merakam video bangunan Hluttaw (bangunan Parlimen) di Nay Pyi Taw, Myanmar menggunakan dron tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu.

— BERNAMA



Source link

read more

Adam tekad buru mata – Lumba Motosikal


KUALA LUMPUR 11 Nov. – Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin mengakui dirinya tidak rela untuk menamatkan perlumbaan terakhir pada musim ini tanpa sebarang pungutan mata di Grand Prix (GP) Valencia apabila bakal memulakan perlumbaan di petak ke-12 esok.

ADAM NORRODIN

Pelumba SIC Racing Team itu melakukan catatan masa satu minit 39.615 saat pada aksi kelayakan di Circuit Ricardo Tormo yang berlangsung sebentar tadi.

Adam yang kini sudah pun mengumpul 42 mata secara keseluruhan berkata dia berasa gembira dengan catatan masa yang dilakukannya dan berharap dapat meneruskan rentak kecemerlangannya itu dalam perlumbaan terakhir musim ini esok.

“Saya berasa sangat baik kerana dapat melakukan pusingan kelayakan dengan baik namun tetap sukar. Catatan masa yang bagus untuk hari ini.

“Tidak seperti sesi latihan bebas di mana saya bergelut dengan jentera namun untuk sesi kelayakan saya lebih tenang. Saya menjangkakan perlumbaan yang sukar esok namun saya cuba untuk kekalkan tempat dalam perlumbaan kerana saya mahu mengutip mata dalam perlumbaan terakhir pada musim ini,” kata Adam.

Tahun lalu, pelumba berusia 19 tahun itu menamatkan perlumbaan di GP Valencia di tempat ke-27 dan menamatkan musim di tangga ke-28. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Jakim sedia khidmat kaunseling kepada mangsa banjir



TASEK GELUGOR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memberikan khidmat kaunseling kepada mangsa banjir di negeri ini yang mengalami tekanan emosi ketika menghadapi musibah banjir.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jakim Datuk Zainal Abidin Jaafar berkata seramai 30 anggota Jakim yang bertauliah bersedia memberi khidmat nasihat rohani kepada mangsa yang tidak dapat menerima kenyataan akan situasi sukar yang mereka hadapi sejak banjir melanda di kediaman mereka Sabtu lepas.

“Jakim juga mempunyai 50 hingga 100 anggota yang turun padang sama ada di kawasan pulau atau seberang untuk membantu menyalurkan pelbagai bantuan sejak hari pertama musibah (banjir) di samping turut dibantu oleh beberapa agensi lain seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan juga Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada 206 guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) menerusi Program Misi Bantuan Musibah Banjir Zon Utara yang turut disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) Datuk Shahbudin Yahya, di sini hari ini.

Selain itu, Jakim juga turut menyampaikan bantuan kewangan termasuk barangan keperluan asas kepada wakil-wakil beberapa buah masjid dan juga sekolah KAFA yang terjejas di sekitar Pulau Pinang dan juga Kedah Selatan (Sungai Petani dan Kulim).

Dalam pada itu, Shahbudin menyifatkan program anjuran Jakim itu sebagai program mensejahterakan mangsa-mangsa banjir yang rata-ratanya berada dalam keadaan yang tertekan dan terdesak.

“Dengan cara ini (kaunseling) iaitu melalui bantuan Jakim, guru-guru KAFA mahupun penggiat masjid, kita dapat menaikkan semangat dengan menasihati penduduk yang kebanyakannya mangsa banjir yang berada dalam keadaan sukar untuk menerima situasi ini dengan sabar dan tenang.

“Jadi, ini merupakan satu bentuk pembangunan rohani,” kata Anggota Parlimen Tasek Gelugor itu.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini telah meragut tujuh nyawa.

— BERNAMA



Source link

read more

Yuna rancak buat persiapan kahwin peminat dah tidak sabar


PENYANYI terkenal Yuna kini sedang rancak membuat persiapan menjelang hari bahagianya bersama tunangan, Adam Sinclair.

Biarpun masih belum mengumumkan tarikh rasmi majlis pernikahan pasangan itu, Yuna semalam telah memuat naik status sedang membeli fabrik untuk busana perkahwinannya.

“Baru sahaja membeli fabrik untuk baju kahwin saya,” tulisnya di Twitter awal pagi semalam.
 

Status itu mengundang reaksi teruja peminat yang rata-ratanya mengucapkan tahniah dan sudah tidak sabar untuk menyaksikan bintang antarabangsa itu bersanding dengan pasangannya. “Alamak! Tak sabar pula rasanya,” tulis @mochvm.

“Semoga segala urusan dipermudahkan,” tulis @_juliyana.

“Semoga berbahagia hingga ke syurga,” ucap @ftinatiqah.


Yuna, 31, telah mengikat tali pertunangan dengan Adam Sinclair pada 5 Ogos lalu di kediaman lelaki itu di Shah Alam, Selangor selepas berkenalan sejak tahun 2013.

Keluarga Adam telah merisik Yuna pada 27 Mac lalu.

Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Twitter @yunazarai



Source link

read more

PM Najib tiba di Manila untuk sidang kemuncak ASEAN ke-31



MANILA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini pada Ahad untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan Sidang Kemuncak berkaitan yang bermula hari ini.

Pesawat membawa Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mendarat di Clark Airport pada 12.39 tengah hari waktu tempatan.

Pasangan itu, yang berlepas dari Da Nang, Vietnam, selepas menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), disambut oleh antara lain, bekas Presiden dan Wakil Pampanga Gloria Macapagal-Arroyo serta Duta Malaysia di Filipina, Datuk Raszlan Abdul Rashid.

Perdana menteri mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak peringkat pemimpin kali kedua dianjurkan Filipina tahun ini sebagai sebahagian daripada tugas selaku pengerusi ASEAN sebelum menyerahkannya kepada Singapura.

Anggota delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Najib dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe lewat hari ini, sebelum menghadiri majlis makan malam gala khas yang diadakan bersempena ulang tahun ke-50 ASEAN.

Presiden Rodrigo Duterte akan mempengerusikan Sidang Kemuncak itu, bertemakan ‘”Kerjasama bagi Perubahan, Melibatkan Dunia,” yang mencerminkan sokongan Manila untuk menggalakkan perpaduan dalam kalangan 10 negara anggota ASEAN dan rakan global perkumpulan serantau itu.

Para pemimpin akan membincangkan isu serantau dan antarabangsa membabitkan kepentingan bersama seperti Laut China Selatan, krisis pelarian Rohingya, ketegangan di Semenanjung Korea, memerangi keganasan dan keganasan melampau, serta ekonomi digital siber.

Pemimpin dunia yang akan menghadiri Sidang Kemuncak Manila termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Keqiang, Perdana Menteri India Narendra Modi, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern, Perdana Menteri Rusia Dmitry Medvedev, Presiden Korea Selatan Moon Jae-in dan Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull.

Presiden Majlis Eropah Donald Tusk daripada Kesatuan Eropah dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres juga dijadual menghadiri sidang kemuncak berkenaan.

Trump memberitahu sidang akhbar di Hanoi hari ini beliau berharap untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, dan sambil menyifatkannya sebagai bakal menjadi suatu perjumpaan yang amat istimewa, presiden Amerika Syarikat itu berkata ancaman serta provokasi Korea Utara akan menjadi satu daripada perkara utama yang akan dibincangkan semasa kunjungan beliau ke Manila.

Perhimpunan di Manila ini akan menyaksikan berlangsungnya 11 Sidang Kemuncak dan dijangka menerima pakai 56 dokumen hasil, termasuk Konsensus ASEAN yang tidak mengikat dari segi undang-undang, berhubung Perlindungan dan Penggalakan Hak Pekerja Migran.

— BERNAMA



Source link

read more

STEM Exploration Journey 2017 semarak minat pelajar – Gaya Hidup


KUALA TERENGGANU 11 Nov. -Tabung Haji bercadang meneruskan program Kelab TaHa-STEM Exploration Journey 2017 dengan sasaran penglibatan pelajar lebih meluas pada tahun depan.

Pengurus Besar TH (Pengurusan Khidmat Pelanggan) Mohd. Nasir Mohd. Yusoff membayangkan kemungkinan itu dengan sambutan yang diperlihatkan oleh para pelajar setelah melalui pengalaman yang mengujakan.

“Program di bawah tanggunjawab sosial korporat itu dirintis bagi menyahut seruan Kementerian Pendidikan bagi bersama mencetuskan percambahan minat para pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas menutup program peringkat negeri Terengganu itu di Hotel TH di sini petang ini.

Program dikendalikan oleh Berkat Minda Resources dengan kerjasma Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipenuhi aktiviti berasaskan amali, eksperimen dan demonstrasi.

Yang turut hadhir, Pengarah TH negeri, Datuk Mohyen Mosman; Prof. Dr. Ruhizan Mohd Yasin dari Fakulti Pendidikan UKM); Ketua Unit Bitara STEM UKM, Prof. Madya Dr.Mohd Sattar Rasul; Pengarah Urusan Berkat Minda, Mahmod Mat Ali dan Ketua Penolong Pengarah Unit Sains Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan negeri, Mohd Razali Ismail.

Program di sini merupakan siri keempat tahun ini yang dirangka mengikut zon bermula di Alor Setar, disusuli di UKM dan Jasin dengan penglibatan 100 pelajar tingkatan satu hingga tiga bagi setiap program.

Program sehari itu melibatkan empat modul iaitu tenaga, infrastruktur bandar, komunikasi tanpa wayar dan pengangkutan.

Pelajar daripada 25 buah sekolah menengah sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus itu dibimbing oleh 20 faisilitator terlatih dari UKM.

Mereka diberi peluang melahirkan idea dan kreativiti dalam gerak kerja berkumpulan yang menyeronokkan ke arah melahirkan perancagan sumber tenaga baharu dalam situasi krisis.

Di akhir program, para peserta dibimbing untuk mencipta bentuk model bandar raya pintar berasaskan empat modul asas itu.

Ali Daei dan Wan Muhammad Huzaifah Wan Ruslaidi menjuarai kategori pengangkutan manakala Muhammad Luqmanul Hakim, Nur Adilah Mat Jusoh (komunikasi tanpa wayar).

Nurin Aisyah Mohd Ghazali, Wan Ahmad Izzat Ali, Muhamad Danish Zhafran Mohd Zool Hilmi (tenaga) sementara Thurayya Dafinah, Nur Haziqah Amani Mohd dan Nurul Ainul Mardhiah Mazlan (infrastruktur bandar). -UTUSAN ONLINE



Source link

read more

GUAN ENG DAKWA DIANIAYA KERANA “JUJUR DAN IKHLAS”!!! ~ SEMUT HITAM


DAPigs terus mengitar dakwaan bahawa ia parti yang dianiayai pihak pemerintah selepas diminta membuat pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) buat kali ketiga pada hari ini.

Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 7 Julai lalu memberi notis kepada parti itu mengadakan pemilihan semula ekoran pelantikan ahli CEC dan pemegang utama jawatan DAPigs pada 29 September 2013 dianggap tidak sah di sisi undang-undang.

Setiausaha Agung DAPigs, Lim Guan Eng mendakwa hanya partinya sahaja yang dipaksa berbuat demikian sambil menyifatkan permintaan RoS itu sebagai pelik dan tidak masuk akal.

“Ia seperti menonton permainan bolasepak di dalam sebuah stadium tanpa penonton. Tidak ada parti-parti politik lain di Malaysia yang dipaksa mengadakan pemilihan CEC selama tiga kali iaitu pada 2012, 2013 dan 2017 dengan menggunakan senarai wakil yang sama.

“Ia seolah-olah kita berada dalam satu fiskyen sains di mana jam telah diputar ke belakang,” katanya ketika berucap di Kongres Khas DAP 2017 untuk pemilihan semula CEC yang diadakan di IDCC Shah Alam, hari ini.

Untuk rekod berlaku kesilapan dalam cetakan ‘spreadsheet’ dalam pemilihan CEC pada 15 Disember 2012 yang menyebabkan parti itu diancam untuk tidak dibenarkan menggunakan simbol roket dalam PRU ke-13.

RoS kemudiannya mengarahkan agar DAPigs mengadakan semula pemilihan CEC, dan parti itu akur dengan gesaan itu dengan mengadakan proses itu sekali lagi pada 29 September 2013.

Selepas empat tahun, RoS sekali lagi meminta DAPigs mengadakan pemilihan CEC atas alasan keputusan pemilihan ahli dan pemegang utama jawatan pada 29 September 2013 itu tidak sah.

“Sehingga hari ini, RoS tidak pernah memberitahu kita sama ada kita telah melakukan kesalahan. Kita tidak pernah dimaklumkan sama ada apa yang kita lakukan adalah betul atau salah apabila kita mengikut arahan RoS bagi pemilihan 2013.

“DAP telah dijadikan mangsa oleh ROS yang mempunyai motif politik. Kita telah dihukum kerana kita bersikap jujur dan ikhlas. Saya harap jangan ada sesiapa yang sengaja mahu menguji kesabaran kita. Saya juga berharap saingan-saingan politik kita supaya bersikap adil dan profesional,” ujarnya.

Guan Eng, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam pada itu berharap pemilihan yang berlangsung pada hari ini akan menamatkan konflik parti itu lebih-lebih lagi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.




Source link

read more

Lelaki berpakaian pengebom bunuh diri direman



KUALA LUMPUR : Seorang eksekutif IT direman empat hari bagi membantu siasatan selepas dia berpakaian ala pengebom bunuh diri ketika menghadiri parti Halloween di Damansara Perdana, pada 28 Oktober lalu.

Perintah reman itu dibuat bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata lelaki warga Yaman berusia 35 tahun itu menyerah diri pada Jumaat selepas fotonya berpakaian sedemikian tular di media sosial.

Menurut Mohd Zani, pihaknya menerima laporan daripada seorang penduduk di kondominium berkenaan memaklumkan kepada polis ada melihat lelaki memakai pakaian ala pengebom bunuh diri ketika menaiki lif pada 28 Oktober lalu.

Kostum lelaki tersebut menyerupai pakaian lelaki Asia Barat namun dilengkapi tali pinggang yang seolah-olah dilengkapi bahan letupan.

Gaya pakaian tersebut amat sensitif dalam pandangan umum lebih-lebih lagi dengan kejadian seumpamanya sering dilaporkan di media, serta berlaku di banyak negara yang berdepan ancaman Daish.



Source link

read more

Marquez hampiri gelaran juara dunia – Lumba Motosikal


SEPANYOL 11 Nov. – Harapan Marc Marquez untuk muncul juara keseluruhan Motogp pada musim ini hampir menjadi kenyataan apabila pelumba berusia 24 tahun itu memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Valencia di petak pertama esok.

Marquez yang sudah pun mengumpul 282 mata melakukan catatan masa satu minit 29.897 saat manakala pencabar terdekatnya, Andrea Dovzioso bakal memulakan perlumbaan di petak kesembilan selepas merakam 1’30.961s.

Selepas memiliki kelebihan 21 mata di depan Dovizioso, itu bermakna Marquez hanya perlu menamatkan perlumbaan sekurang-kurangnya kedudukan 11 terbaik untuk bergelar juara dunia. – AFP



Source link

read more

Tarik balik lesen hotel larang wanita bertudung bekerja di kaunter depan – Nurul Izzah



KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mendesak kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan agar menarik balik lesen hotel yang melaksanakan polisi melarang wanita bertudung bekerja di bahagian  perkhidmatan pelanggan (fontdesk), lapor The Malaysian Insight.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, kerajaan perlu bertegas dalam perkara ini bagi memastikan tiada syarikat yang mengenakan  polisi bersifat diskriminasi terhadap amalan agama.

“Jika sememangnya larangan pekerja bertudung merupakan polisi syarikat terutamanya hotel antarabangsa, kementerian pelacongan harus mempertimbangkan untuk menarik kembali lesen mereka untuk beroperasi.

“Kerajaan harus jawab bagaimana mereka membenarkan hotel antarabangsa untuk melakukan diskriminasi terhadap amalan agama,” Nurul Izzah dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insight.

Namun Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dilaporkan mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk),

MAH menafikan larangan yang dikenakan itu adalah satu bentuk diskriminasi sebaliknya berpendapat ia merupakan sebahagian daripada polisi antarabangsa.

Presiden MAH, Cheah Swee Hee menjelaskan setiap hotel terutamanya hotel antarabangsa di Malaysia mempunyai standard operasi (SOP) dan polisi syarikat yang ditetapkan.

“Kita tidak boleh gunakan ayat diskriminasi (isu larangan tudung). Ia kerana syarikat ada polisi masing-masing. Jadi, ada banyak hotel juga menerima mereka yang berhijab.

“Ia lebih kepada polisi dan SOP yang digunakan hotel di seluruh dunia. Ia bukan (Islamicphobia) kerana sudah dibuat sejak awal lagi. Jadi, mereka ada SOP,” katanya kepada The Malaysian Insigt. 

Sebelum ini, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan terdapat aduan daripada kakitangan hotel mengadu  mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarahkan menanggalkan tudung mereka.

Menurut Uni-MLC, larangan yang sama turut dikenakan pelajar yang menghadiri kursus perhotelan dan pelancongan apabila mereka cuba memohon latihan amali.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons