KENINGAU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan pelindung dan benteng terakhir masyarakat dalam memastikan negara ini benar-benar bebas daripada cengkaman rasuah dan salah guna kuasa.

Justeru, katanya, masyarakat harus memberi sokongan padu kepada usaha SPRM memerangi gejala tidak bermoral itu serta bersedia menjadi mata dan telinga agensi itu dalam melaporkan kegiatan jenayah rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku di kawasan masing-masing.

“Sokongan anda adalah sangat penting,” katanya ketika berucap merasmikan Program Ziarah Kasih SPRM Siri 4/2017 di sini pada Ahad.

Sambil memuji program Ziarah Kasih cetusan idea Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad itu, Pairin berkata aktiviti kemasyarakatan itu merupakan satu inisiatif luar biasa yang perlu dicontohi ketua-ketua jabatan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri.

Katanya, pendekatan berbentuk program kemasyarakatan itu membuktikan bahawa pegawai-pegawai agensi itu begitu bersungguh-sungguh untuk mendekati rakyat dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

“SPRM sentiasa dilihat begitu dekat di hati masyarakat … melalui program yang dianjurkan membuktikan badan itu bukanlah sebuah agensi yang menakutkan,” katanya.

Pairin, Anggota Parlimen Keningau berkata, SPRM di bawah kepimpinan Dzulkifli dilihat sebagai sebuah agensi pencegahan yang proaktif dalam mengendalikan kes-kes berprofil tinggi sehingga digeruni serta menjadi igauan serta mimpi ngeri kepada kesemua perasuah di negara ini.

“… Saya mendoakan agar SPRM dan seluruh anggotanya diberikan kekuatan mental dan fizikal dalam mengharungi liku-liku cabaran dan dugaan sepanjang menjalankan tugas,” katanya.

Program siri keempat dan merupakan yang pertama dilaksanakan di Sabah itu menggamit kehadiran ramai pengunjung dan disifatkan Pairin sebagai manifestasi sokongan rakyat kawasan pedalaman kepada SPRM untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

— BERNAMA



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: