KUALA LUMPUR 14 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia mampu menjadi peneraju dalam Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan dalam memperkukuhkan ekonomi digital termasuk penubuhan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

“Malaysia bukan sahaja sedang mempersiapkan dirinya, tetapi juga bersedia menjadi peneraju dalam IR4.0,” kata Perdana Menteri dalam buku bertajuk “Advancing ASEAN in the Digital Age” yang dilancarkan pada Sidang Kemuncak Pelaburan dan Perniagaan ASEAN 2017 sempena Ulang Tahun Ke-50 ASEAN di Manila, Filipina hari ini.

Buku tersebut diterbitkan CIMB ASEAN Research Institute (CARI) dengan kerjasama Kelab Perniagaan ASEAN (ABC).

Selain Perdana Menteri, buku tersebut turut menampilkan 37 artikel daripada ketua-ketua kerajaan antaranya, Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull; Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dan Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati.

Hun Sen dalam artikelnya optimis Kemboja akan meraih banyak manfaat dengan menerokai potensi dalam era digital dan turut menasihati negara-negara ASEAN supaya melengkapkan generasi mudanya dengan kemahiran teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta berdepan dengan pekerjaan yang mungkin tidak wujud lagi pada masa depan.

“Persediaan ini amat penting supaya kita dapat mengejar perkembangan yang pantas bergerak dan menggalakkan kemajuan teknologi menerusi galakan sains, teknologi dan projek berteraskan inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan tidak berlaku jurang ekonomi digital yang luas di rantau ini,” kata Hun Sen.

Sementara itu, Presiden ABC yang juga Pengerusi CARI, Tan Sri Dr. Mohd. Munir Abdul Majid dalam satu kenyataan berkata, dalam menghadapi era digital, cabaran utama perlu dilalui adalah dari segi menyediakan pendidikan dan latihan yang lebih baik supaya modal insan di rantau ASEAN lebih bersedia dan mampu menyesuaikan diri pada masa depan.

“Terdapat anggaran bahawa dengan revolusi digital akan menambah AS$1 trilion (RM4.19 trilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN menjelang 2025, dan ekonomi digital sahaja bernilai AS$200 bilion (RM838.6 bilion) sebelum berkembang dengan pesat.

“Bagaimanapun, di sebalik semua ini, terdapat cabaran yang perlu diatasi iaitu ASEAN harus berkembang lebih baik berbanding tipikal ‘ASEAN way’ dan modal insannya mestilah sesuai untuk memenuhi tujuan ini. Ini bermakna, pendidikan dan latihan perlu jauh lebih baik daripada yang ditawarkan pada masa ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: