Sabah minta bantuan NIOSH wujudkan industri pelancongan selamat



KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah meminta Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) untuk membantu mewujudkan protokol keselamatan bersesuaian dengan keperluan peserta industri pelancongan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah berkata prosedur keselamatan tidak sekadar hanya meliputi mereka yang terlibat dalam pengoperasian aktiviti berkaitan pelancongan tetapi harus diperluaskan kepada pelanggan mereka, iaitu pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

“Kemalangan pernah berlaku. Di Sabah, kami membawa pengunjung ke gunung, ke pulau, sebab ini adalah tarikan di tempat kami.

“Bagaimanapun, tidak akan ada sebarang komporomi dari segi protokol keselamatan yang perlu diambil oleh pengusaha pelancongan ini sebelum kami membawa tetamu kami (pelancong) ke mana-mana tempat di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran mengenai Keselamatan Pekerjaan Borneo kali kelima di sini hari ini.

Tan, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, berkata langkah itu yang bertujuan memastikan agar industri pelancongan yang selamat juga perlu dipatuhi dalam sektor perniagaan lain seperti penginapan dan kedai makan.

Pengurus Serantau NIOSH Sabah Mohd Hussain Abd Salam berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (Motac), dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah untuk menambah baik langkah berkaitan keselamatan serta kesihatan dalam industri pelancongan negeri ini.

Beliau berkata NIOSH Sabah akan menganjurkan lebih banyak bengkel untuk melibatkan pengusaha pelancongan dalam menyediakan persekitaran yang selamat bukan sahaja bagi mereka sendiri, tetapi juga kepada pelancong.

Pengarah NIOSH Certification Sdn Bhd Nik Hasbi Fathi Nik Husain Fathi menggesa lebih banyak peserta industri pelancongan di Sabah dan Sarawak untuk menimbangkan bagi mendapatkan pensijilan pengurusan keselamatan daripada anak syarikat NIOSH itu.

“NIOSH Certification Sdn Bhd telah mengendalikan 18 program sejak kira-kira dua tahun lepas di Sabah dan Sarawak, tetapi tidak banyak yang mendapatkan pensijilan kami,” katanya.

— BERNAMA



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons