Rantai leher dengan batu berlian putih terbesar dijual pada harga rekod dunia – Nasional


GENEVA 15 Nov. – Seutas rantai leher zamrud dan berlian yang didatangkan dengan berlian putih terbesar berjaya dijual pada harga rekod dunia iaitu AS$34 juta (RM142 juta) dalam satu lelongan di sini, semalam.

Rantai leher yang dikenali sebagai `Art of de GRISOGONO, Creation 1’ mempunyai berlian segi empat tepat dengan berat 163.41 karat.

Berlian putih itu ditemukan di Angola pada 2016.

Pusat lelongan Christie dalam satu kenyataan berkata, pembeli yang namanya tidak didedahkan membuat bidaan itu menerusi panggilan telefon, malam tadi. – REUTERS



Source link

read more

Yakinlah negara berada dalam tangan pimpinan yang tepat – PM Najib



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat Malaysia seluruhnya tetap yakin dengan kerajaan sedia ada.

Tegasnya, dengan segala pembangunan infrastruktur yang telah dibina dan setiap perancangan yang sedang diusahakan, rakyat boleh optimis bahawa negara berada dalam tangan pimpinan yang tepat untuk terus mencipta kemajuan dan kesejahteraan.

Ujar beliau, ia bukan sekadar omong kosong, malah kerajaan berpijak pada bumi yang nyata dan manfaat daripada setiap usaha kerajaan yang telah terlaksana boleh dilihat serta dirasai sendiri seluruh rakyat

“Dulu masa kita nak buat MRT, ramai yang bantah dan protes projek tersebut. Hari ini ramai yang akui dan berpuas hati dengan kemudahan itu, malah ada yang sesal kerana berhampiran kediaman atau premis perniagaan mereka tiada laluan MRT.

“Malah saya difahamkan peniaga sate di Kajang juga, perniagaan mereka melonjak semenjak beroperasinya MRT,” katanya ketika berucap merasmikan Expo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Oleh itu beliau mahu rakyat sedar bahawa kerajaan mempunyai perancangan, ia kemudian dilaksanakan dengan baik dan akan terus merancang lebih banyak perkara demi rakyat.

Menurut Najib, itulah matlamat penganjuran ekspo tersebut di mana rakyat boleh melihat dan merasai sendiri dengan lebih dekat kemampuan kerajaan untuk terus memacu negara di landasan yang tepat.

“Pendek kata, your future is in good hands (masa depan anda terjamin). Ini yang saya nak beritahu. Tak payah pandang kiri, tak payah pandang kanan, tak payah termakan janji apatah lagi hasutan kebencian yang ditabur pihak berkenaan.

“Berpegang paut pada apa yang ada hari ini, insya-Allah kita akan bawa kepada masa depan untuk Malaysia harum di persada antarabangsa,” ujarnya.

Ekspo yang berlangsung selama sebulan hingga 15 Disember itu mengetengahkan setiap pembangunan yang telah dibina serta perancangan negara untuk masa hadapan menerusi pameran interaktif.



Source link

read more

Kutipan Tombiruo: Penunggu Rimba meningkat lagi – Hiburan


KUALA LUMPUR 15 Nov. – Selepas empat minggu ditayangkan di pawagam, jumlah kutipan tiket untuk filem Tombiruo: Penunggu Rimba berjaya memperoleh RM8 juta.

Filem arahan Seth Larney bersama pengarah bersekutu Nasir Jani, mula ditayangkan sejak 12 Oktober lalu di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

Peningkatan kutipan itu sekali gus meletakkan filem terbitan Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan di kedudukan kedua dalam mengaut kutipan tiket paling tinggi bagi tahun 2017 selepas filem Abang Long Fadil 2 terbitan Astro Shaw dan Skop Productions yang memperoleh RM18 juta.

Tombiruo: Penunggu Rimba merupakan filem aksi yang diadaptasi daripada novel karya Ramlee Awang Murshid itu masih ditayangkan di 68 pawagam untuk minggu kelima. Pihak penerbit juga berharap filem ini masih mampu menarik penonton untuk menyaksikannya di pawagam.

Filem yang menggandingkan pelakon Zul Ariffin dan Farid Kamil buat kali kedua di layar perak ini turut membariskan pelakon hebat seperti Nabila Huda, Faizal Hussein, Farah Ahmad, Artu, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Datuk M. Nasir, Datin Marlia Musa, Faye Khusyairi, Dynas Mokhtar dan adik Muhammad Al Rayyan.

Tombiruo: Penunggu Rimba memaparkan kisah Ejim digelar sebagai Tombiruo kerana dianggap sebagai penunggu rimba. Lelaki yang sentiasa bertopeng ini disisihkan oleh penduduk kerana memiliki wajah bukan manusia. Apabila satu insiden yang tragis berlaku pada Tombiruo, ia telah menimbulkan kemarahannya dan dendam.

Sementara itu, Amiruddin menganggap Tombiruo sebagai punca keperitan hidup keluarganya dan mula menjejaknya. Pergelutan di antara mereka berlaku demi menegakkan kebenaran masing-masing. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Rakyat Malaysia di Harare yang dilanda krisis selamat – Kementerian Luar



KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan bahawa semua rakyat Malaysia di Harare, Zimbabwe adalah dalam keadaan selamat di tengah-tengah keadaan politik yang semakin tegang di ibu negara tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian berkata ia sedang memantau secara dekat perkembangan politik dan ketenteraan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Harare.

“Rakyat Malaysia yang berhasrat untuk ke Zimbabwe dalam masa terdekat dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan yang kurang penting sehingga dimaklumkan kelak,” kata kenyataan itu.

Warganegara Malaysia yang telah berada di Zimbabwe diminta untuk menghubungi pihak kedutaan di talian +263 433 4413 / 4414, +263 77 500 1441 atau melalui e-mel [email protected] atau Kementerian Luar di Putrajaya di talian 03-8887 4587 (semasa waktu pejabat) dan 03-8887 4570 (selepas waktu pejabat) untuk memaklumkan lokasi terkini mereka.

Mereka juga boleh berbuat demikian di [email protected]

”Mereka dinasihatkan untuk kekal berada dalam bangunan dan mengelakkan tempat-tempat sesak serta membuat perjalanan pada waktu malam,”kata kementerian.

Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Luar berkata laporan awal dari Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam insiden tembakan di Rancho Tehama, di California Utara pada 14 Nov.

Lima orang dilaporkan maut dalam insiden tersebut dan 10 orang masih menerima rawatan di hospital.

‘”Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan ini dan merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada kerajaan dan rakyat Amerika Syarikat, terutama kepada keluarga mangsa,” kata kenyataan itu.

— BERNAMA



Source link

read more

Dua beradik lemas dalam kolam tadahan air – Terkini


JEMPOL 15 Nov. – Dua beradik lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah kolam tadahan air di Kampung Padang Lalang dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian pukul 6 petang itu, mangsa Ainnur Batrisyah Md. Nasir, 10, dan adiknya, Mohammad Solehudin, 6, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kejadian berlaku ketika dua beradik itu dikatakan pergi memancing di kolam yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, kolam tadahan tersebut dianggarkan sedalam 1.8 meter.

“Seramai 10 anggota serta pegawai bergegas dengan sebuah jentera ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 6.03 petang.

“Mangsa pertama seorang kanak-kanak perempuan dibawa naik oleh anggota bomba pada pukul 6.20 petang manakala seorang budak lelaki dibawa naik lima minit kemudian.

“Kedua-keduanya disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada pukul 7.10 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norazam berkata, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Isu rasuah Jabatan Perikanan sedia beri kerjasama sepenuhnya



PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan (DOF) sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam melaksanakan penguatkuasaan susulan siasatan terhadap dua agensi berkaitan industri perikanan yang disyaki terbabit dengan sindiket merompak hasil laut negara.

Merujuk kepada laporan muka depan sebuah akhbar tempatan mengenai isu itu, Ketua Pengarah DOF Datuk Munir Mohd Nawi berkata sebagai jabatan yang bertanggungjawab dalam pengurusan perikanan negara, DOF sedia bekerjasama walaupun SPRM tidak menamakan mana-mana agensi dalam laporan tersebut.

“DOF komited melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh integriti maka dengan itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak di dalam atau di luarjabatan yang terlibat dengan salah laku dan perbuatan rasuah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Berhubung cadangan SPRM supaya kerajaan mengkaji semula Akta Perikanan 1985 terutama Seksyen 19 berkaitan kelulusan permit kepada nelayan, Munir berkata DOF tidak pernah melulusan permit menangkap ikan kepada vesel penangkapan ikan asing di bawah seksyen itu.

“Ini kerana, selama ini tiada sebarang perjanjian antara Malaysia dengan negara asing untuk tujuan tersebut seperti mana keperluan dalam Seksyen 15 (1) yang perlu dipenuhi terlebih dahulu.

“Dengan itu sebarang komen tentang denda dalam seksyen tersebut juga adalah tidak relevan,” katanya.

Bagaimanapun, Munir berkata melalui perbincangan lepas terutama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut, tidak dapat dinafikan terdapat seksyen-seksyen tertentu akta tersebut yang perlu dipinda atau ditambah baik.

“Ia sedang dalam proses pengemaskinian maklumat untuk dimuktamadkan dalam tempoh terdekat, termasuklah cadangan susulan lawatan audit ‘Illegal, Unreported and Unregulated (IUU) Fishing’ pihak Kesatuan Eropah (EU) pada Julai lepas,” katanya.

Tambahnya isu utama yang dihadapi ketika ini adalah kelemahan dari segi penguatkuasaan membanteras pencerobohan vesel nelayan asing yang datang dari negara seperti Vietnam yang menjadi antara punca ketirisan ikan negara.

Katanya usul yang diluluskan oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) pada tahun 2014 juga telah meminta DOF meningkatkan penguatkuasaan.

Justeru, Munir berkata DOF mengalu-alukan cadangan SPRM supaya undang-undang berkaitan DOF perlu dilihat semula seperti kawasan penguatkuasaan yang kini terhad kepada 12 batu nautika dari kawasan pantai.

Katanya ia selaras dengan sokongan bersurat Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) semenjak tahun 2016 supaya DOF diperkasakan dalam aspekpenguatkuasaan perikanan melalui program teras perkhidmatan teknikal iaitu pemantauan, kawalan dan pengawasan (MCS).

Munir berkata dengan pemerkasaan semula DOF, penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 akan menjadi lebih efektif termasuklah membanteras pencerobohan vesel dan penggunaan pukat tunda di pesisiran pantai yang menjejaskan pendapatan nelayan dan ekosistem laut.

— BERNAMA



Source link

read more

[VIDEO] MACCOPS 2017 dijangka jana RM200 juta – Nasional


PETALING JAYA 15 Nov. – Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad (Angkasa) menjangkakan dagangan bernilai lebih RM200 juta akan berjaya dicatat sepanjang lima hari berlangsungnya Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (MACCOPS 2017).



Video oleh AZRUL NAIMI ABDUL JALIL

Menurut Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah jumlah dagangan tersebut merangkumi kesemua pempamer yang terlibat termasuk pempamer antarabangsa.

Untuk rekod, terdapat 160 gerai pameran dibuka pada edisi tahun ini, dengan 20 daripadanya melibatkan koperasi antarabangsa dari Iran, India, Fiji dan beberapa negara lain lagi.

“Namun kami jangka nilai (dagangan) sebenarnya mungkin lebih,” kata Abdul Fattah sejurus majlis perasmian MACCOPS hari ini.

Karnival yang masuk tahun ketiga penganjurannya itu dirasmikan oleh Presiden Gabungan Koperasi Antarabangsa (ICA), Monique F. Leroux di sebuah hotel, di sini hari ini.

Karnival ini merupakan satu bentuk promosi anjuran Angkasa yang secara khusus mempromosikan perkhidmatan dan produk keluaran koperasi tempatan di peringkat nasional dan antarabangsa. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Dua kanak-kanak lemas di Jempol



JEMPOL: Dua beradik berusia enam dan 10 tahun ditemukan lemas dipercayai tergelincir dalam kolam tadahan di Kampung Padang Lalang, Juaseh, Jempol di sini, 6 petang tadi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata kedua-dua kanak-kanak malang itu ialah Muhammad Solehudin Mohd Nasir, 6, dan kakaknya Ainul Batrisyah Mohd Nasir, 10 tahun.

“Mangsa dikatakan keluar memancing di sebelah rumah mereka. Jarak antara lokasi dengan rumah mereka kira-kira 200 meter. Kedua-dua mereka berkemungkinan tergelincir jatuh ke dalam kolam tadahan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata Ainul Batrisyah ditemui pada pukul 6.20 petang manakala Muhammad Solehudin, lima minit kemudian.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Jempol untuk proses bedah siasat,” katanya.

Norazam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.03 petang dan tiba ke lokasi kejadian bersama 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bahau, 16 minit kemudian.

— BERNAMA



Source link

read more

Jangan sabotaj parti jika tidak terpilih calon PRU-14 – Terkini


IPOH 15 Nov. – Pemimpin MIC di negeri ini diingatkan supaya tidak mensabotaj parti itu jika tidak terpilih sebagai calon Plihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, ini kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya akan menyebabkan tiada wakil kaum India dalam kerajaan negeri bagi menyampaikan hasrat dan keperluan mereka.

Menurut Subramaniam, mereka yang tidak terpilih sebagai calon perlu meneruskan perjuangan serta memberi sokongan penuh kepada calon yang dipilih demi memastikan kelangsungan parti itu pada masa depan.

“Sekarang boleh lobi, tidak salah buat.Tapi apabila sudah buat keputusan nanti, kita perlu bersatu hati, jangan sabotaj dan ganggu satu sama lain.

“Kalau sabotaj kita juga yang akan jadi mangsa. Kalau tiada wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiada exco, siapa yang akan mewakili hasrat dan keperluan masyakakat India di Perak. Jadi siapa yang akan rugi? MIC dan masyarakat Indialah yang akan rugi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Deepavali MIC Negeri Perak yang dirasmikan Menteri Besar yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Dewan Sebaguna, RPT Seri Desa Rishah, Buntong di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Empat individu ditahan miliki hidupan liar dilindungi



KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar Sabah menahan empat individu kerana didakwa memiliki haiwan dan daging hidupan liar yang dilindungi.

Pengarah jabatan berkenaan, Augustine Tuuga berkata individu pertama, pemilik restoran tempatan ditahan selepas pegawai jabatan penguatkuasaan menemui daging spesies yang dilindungi, dipercayai babi berjanggut, keluang, musang dan tenggiling dalam peti sejuk restoran.

“Pemeriksaan di sekitar premis juga menemui dua ekor biawak benggala dan dua ekor ular sawa, disimpan dalam sangkar,” kata Augustine dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata individu kedua dan ketiga, masing-masing berusia 60 dan 61 tahun ditahan di Sungai Udin semasa sekatan jalan di Jalan Kalabakan-Tawau pada 13 Nov.

Beliau berkata pemandu lori dan penumpangnya ditahan selepas pegawai penguatkuasa menemuI daging rusa dalam kenderaan mereka.

Individu keempat berusia 34 tahun ditahan di sekatan jalan yang sama selepas pegawai penguatkuasa menemukan daging, dipercayai daging rusa dalam kenderaan pacuan empat rodanya ketika dalam perjalanan dari Tawau ke Kalabakan.

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 41(2) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

— BERNAMA



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons