JOHOR BAHRU 14 Nov. – Pihak pengurusan Sekolah Rendah Islam (SRI) Johor Bahru akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat bagi menyelesai kemelut sekolah itu dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Pengerusi Lembaga Pengelola SRi Johor Bahru, Prof. Dr. Mohamad Roji Sarmidi berkata, pertemuan itu bagi merungkai masalah mereka dengan MAINJ yang mahukan tapak tanah sekolah tersebut dikosongkan sebelum 31 Disember ini.

“Kita akan usahakan satu pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim.

“Pertemuan ini bagi mencari jalan penyelesaian dan menyampaikan suara hati seluruh warga kompleks pendidikan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Utusan Malaysia hari ini menerusi edisi selatan dalam ruangan Suara Rakyat Johor, menyiarkan rencana supaya tempoh yang diberikan MAINJ untuk sekolah tersebut dilanjutkan supaya mereka dapat mencari tapak dan premis baharu.

Sebelum ini MAINJ memberikan notis 60 hari pada 2016 mengarahkan sekolah itu berpindah, namun selepas rundingan kedua-dua pihak, MAINJ hanya setuju meluluskan sambungan selama setahun dan sebelum 31 Disember ini harus berpindah.

Bagaimanapun, pihak pengurusan SRI memohon tempoh berkenaan dipanjangkan tiga hingga lima tahun lagi untuk mencari lokasi baharu tetapi hasrat tersebut ditolak MAINJ.

Mohamad Roji berkata, pihaknya yakin pertemuan itu nanti akan membuahkan hasil positif berdasarkan semangat Muafakat Johor sekali gus dapat menjaga nama baik Islam sekali gus memelihara nama baik dan kesucian agama tersebut.

“Kami berkeyakinan penuh bahawa insya-Allah satu jalan keluar yang sangat berhikmah dan murni serta menggembirakan semua pihak akan dapat dicapai bagi menjaga nama baik institusi-institusi Islam dan kepentingan pembangunan negeri Johor.

“Begitu juga kebajikan semua kakitangan, seluruh warga ibu bapa, alumni serta masyarakat umum yang sedang menerima manfaat dari kewujudan institusi ini di tengah-tengah pembangunan Bandaraya Johor Bahru,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: