Izara Aishah cantik macam mannequin di malam berinai



UMUM mengetahui pelakon popular Izara Aishah dan pasangannya Adib Khalid bakal melangsungkan pernikahan mereka pada hari ini.

Malam tadi (Khamis), telah berlangsungnya malam berinai bakal raja sehari tersebut yang diadakan di Damansara.

Menariknya, Izara kelihatan sangat cantik dan berseri-seri sehinggakan dia kelihatan seperti ‘mannequin’ yang dipakaikan sari.

Izara kelihatan anggun dalam persalinan rekaan Shanel Harun dan disempurnakan lagi dengan solekan Syed Faizal Noh.

Majlis tersebut yang diadakan secara tertutup dihadiri oleh keluarga dan sahabat terdekat kedua-dua pasangan.

Datuk Seri Siti Nurhaliza turut hadir memeriahkan majlis.

Jom kita tengok beberapa foto yang dikongsi di laman sosial Instagram ini. Serius Izara sangat cantik macam heroin Hindustan!

 

 

 



Source link

read more

Ternakan lembu tenusu guna kepakaran Korea Selatan – Angkasa – Nasional


KUALA LUMPUR 16 Nov. – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bakal menggunakan kepakaran Persekutuan Koperasi Pertanian Kebangsaan (NACF) Korea Selatan bagi membangunkan program ternakan lembu tenusu koperasi di negara ini.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama tersebut diharapkan berjaya meningkatkan pengeluaran susu lembu keluaran koperasi kerana Korea Selatan adalah pengeluar susu lembu ketiga terbesar dunia pada 2016.

Katanya, kerjasama itu melibatkan pembelian sperma untuk membantu melahirkan baka lembu tenusu yang boleh mengeluarkan hasil susu yang lebih tinggi berbanding jumlah pengeluaran semasa.

“Koperasi harus merebut peluang seperti yang dihasratkan kerajaaan menjelang 2020 dengan sasaran pengeluaran meningkat daripada 67 juta liter kepada 118 juta liter setahun, berbanding pengeluaran semasa sebanyak 26 juta liter pada 2016 yang masih jauh daripada mencukupi.

“Kejayaan NACF menghasilkan lembu tenusu yang menghasilkan susu melebihi 20 liter sehari bagi seekor lembu di Uganda harus menjadi pemangkin kepada Angkasa dan koperasi bagi memastikan projek ini berjaya dan akhirnya memberi manfaat kepada negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Angkasa dan NACF, dekat sini hari ini.

Memorandum tersebut ditandatangani antara Abdul Fattah dan Pengerusi NACF, Kim Byeong Won.

Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata, sebanyak 220 lembu dijangka dibawa masuk dari Australia dan New Zealand pada Januari tahun depan yang akan disuntik sperma lembu yang diimpot dari Korea Selatan.

“Pada Disember ini, kita akan menerima sebanyak 1,500 straw yang dianggarkan mengandungi kira-kira 500,000 sperma.

“Kita menjangkakan menyuntik setiap seekor lembu betina dengan dua straw tersebut bagi membantu membiakkan baka baharu yang lebih produktif dalam penghasilan susu,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Tertuduh warga Vietnam ditahan dalam kereta Uber – polis



SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa tertuduh warga Vietnam Doan Thi Huong yang didakwa membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam, ditahan polis ketika berada di dalam kereta Uber, dua hari selepas kematian Kim Chol.

Pegawai Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang Inspektor Husny Hussein berkata perkara itu dimaklumkan oleh anggota Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang kemudiannya membawa Doan ke balai polis itu.

“Pada 15 Februari 2017, saya menerima maklumat bahawa seorang wanita warga Vietnam, Doan yang ketika itu dipercayai terbabit dengan kes pembunuhan dibawa ke balai polis klia2.

“Selepas menerima maklumat itu, saya bersama empat anggota lagi pergi ke klia2 untuk membuat tangkapan terhadap wanita itu.

“Saya diberitahu bahawa wanita itu sedang berada di dalam kereta Uber yang tidak mempunyai pemandu ketika diambil oleh anggota polis di sana. Mereka (anggota polis balai polis KLIA 2)  membawa dia ke balai untuk siasatan lanjut.

“Saya dan anggota menahan wanita itu dan membawanya ke IPD Sepang,” katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad.

Saksi ke-17 itu berkata, sebaik sahaja melihat wanita itu, beliau mendapati dia (Doan) sama dengan imej wanita yang melakukan serangan terhadap Kim Chol seperti terpapar dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV). 

“Saya melihat wanita itu dan membuat perbandingan dan dia sama dengan rupa paras dan bentuk badan wanita yang berada di dalam CCTV itu.

“Seterusnya saya dan anggota menangkap wanita itu dan merampas beg berwarna biru dan putih berjenama Dior serta kasutnya.

“Selepas membuat laporan polis saya menyerahkannya  kepada pegawai penyiasat ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz pada jam 6 petang,” katanya.

Beliau memberi keterangan dalam perbicaraan kes warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan Doan, 28, yang didakwa bersama empat lagi masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas klia2, pada 9 pagi, 13 Feb lepas.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan, menyatakan anak guamnya (Doan) tidak menyerang Kim Chol sehingga meninggal dunia, saksi itu menjawab “tidak pasti”.

Hisyam: Apa yang dibuat oleh Doan adalah satu ‘prank’ (aksi gurauan)?.

Husny: Saya tak tahu.

Hisyam: Saya mengatakan Doan pergi ke klia2 pada 15 Feb 2017 adalah untuk berjumpa Mr Y bagi tujuan membuat video prank?  

Husny: Tak tahu. 

Saksi ke- 18, Sarjan Shamsul Bahrin Abdullah, 42, yang bertugas di Balai Polis klia2 pula  memberitahu bahawa Kim Chol membawa sejumlah wang yang banyak dalam pelbagai mata wang asing termasuk 1,240 keping mata wang US$1,000.

Beliau berkata, pada 13 Feb 2017pada 12.30 tengah hari, beliau yang berada di pejabat pentadbiran Balai Polis klia2 menerima maklumat daripada kaunter aduan berhubung satu kematian di Hospital Putrajaya.

“Saya dimaklumkan bahawa mangsa yang merupakan seorang lelaki sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari klia2 ke Hospital Putrajaya. Saya kemudian terus pergi ke Jabatan Kecemasan hospital itu.

“Setibanya di sana saya ditunjukkan mayat si mati yang berada di atas pengusung beroda dan ditutup dengan kain putih. Saya membuat pemeriksaan secara rambang terhadap si mati yang badannya gempal atau berisi,” katanya.

Shamsul Bahrin berkata, dia ditunjukkan pasport atas nama Kim Chol serta barangan peribadi lain milik si mati oleh kakitangan  hospital itu.

“Saya melihat kakitangan hospital itu sedang memeriksa barangan si mati. Saya lihat ada cermin mata, beberapa mata wang asing, pakaian, dua telefon bimbit jenama Nokia dan Iphone, komputer riba jenama Dell, cincin dan rantai leher berwarna kuning, ubat-ubatan, seluar pendek, seluar denim, kemeja T, topi, seluar dalam, stokin, dompet, pencukur, pengecas telefon bimbit dan minyak wangi.

“Semua barangan itu diserahkan kepada saya dan kemudiannya disimpan di dalam peti besi milik Ketua Balai Polis Daerah (IPD) Sepang. Terdahulu, saya juga memaklumkan perkara itu kepada Ketua Balai Polis klia2, ASP Awang Adnan dan Timbalan Ketua Polis klia2, Superintendan Zulkifli Adam Shah,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung 27 Nov.

— BERNAMA

 



Source link

read more

Suarez bangga promosi Malaysia – Bola Sepak


KUALA LUMPUR 16 Nov. – Penyerang sensasi Barcelona, Luis Suarez menyuarakan rasa bangga dapat membantu mempromosikan Malaysia menerusi satu video ringkas yang dimuat naik di media sosial, hari ini.



Video ihsan twitter/luissuarez9

Biarpun hanya berdurasi 17 saat, namun video tersebut berjaya menarik tumpuan jutaan peminat bintang bola sepak Uruguay itu dan secara tidak langsung turut memperkenalkan Malaysia di mata dunia.

“Saya sangat bangga dapat bekerjasama dengan Tourism Malaysia. Saya begitu teruja untuk melihat keindahan negara ini.

“Ia cukup menyeronokkan dapat bekerja bersama, jumpa anda tidak lama lagi. Malaysia truly Asia,” kata pemain berusia 30 tahun itu dalam video yang dimuat naik di akaun Instagram, Facebook dan Twitter miliknya.

Menurut Suarez lagi, dia bangga untuk memberitahu peminatnya bahawa dia bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk mempromosikan negara ini di mata dunia.

Pada 9 November lalu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengumumkan jalinan kerjasama dengan bekas penyerang Liverpool itu dalam usaha menaikkan populariti Malaysia sebagai destinasi pelancongan di Asia, sekali gus merancakkan industri pelancongan Malaysia.

Keputusan memilih penyerang yang pernah terpalit dengan kontroversi menggigit pemain lawan itu dilihat langkah yang tepat kerana Suarez mempunyai pengikut yang ramai di media sosial.

Dia mempunyai 25.2 juta pengikut di Instagram, 18 juta di Facebook dan 12.3 juta di Twitter.

Suarez pernah memenangi dua kejuaraan La Liga dan Liga Juara-Juara bersama Barcelona, malah bakal mengetuai negaranya, Uruguay dalam Piala Dunia di Rusia, tahun depan. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Perkhidmatan kesihatan swasta jadi pemangkin perpaduan nasional – PM Najib



KUALA LUMPUR: Hospital swasta di negara ini mempunyai peranan sebagai pemangkin kepada usaha perpaduan nasional, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, perkara ini dapat dilihat melalui kepelbagaian kaum warga kerja hospital serta pesakit-pesakit yang menerima rawatan.

“Selain dalam memberi sokongan kepada bidang kesihatan, what you are doing, you are promoting and strengthening national unity (apa yang anda lakukan, ialah memupuk dan memperkukuh perpaduan nasional) ,” katanya semasa melawat Hospital Tung Shin (TSH) dan Chinese Maternity Hospital (CMH) di sini, hari ini.

Najib merupakan perdana menteri yang pertama melawat THS sejak ia ditubuhkan.

Beliau berkata kewujudan hospital swasta seperti TSH juga telah banyak membantu kerajaan dalam mengurangkan beban kewangan yang diperuntukkan untuk sektor kesihatan.

Katanya, tahun ini sahaja, kerajaan telah membelanjakan RM24 bilion untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan awam kepada rakyat, berbanding hanya RM600 juta yang telah dikutip.

“Bila ada pihak yang mempunyai sikap tanggungjawab sosial yang tinggi seperti TSH dan CMH, maka sudah tentu ia akan membantu meringankan beban kewangan kerajaan,” katanya.

Najib berkata beliau juga difahamkan bahawa kedua-dua hospital itu turut memberi subsidi perkhidmatan rawatan perubatan yang tinggi kepada pesakitnya manakala pesakit yang tidak berkemampuan juga dikecualikan bayaran.

“Peranan TSH dan CMH secara langsung telah membantu kerajaan. Ini yang kita nak.

“Dalam bidang kesihatan, bila kita memberi sumbangan, that is also an act of unity sebab we are promoting national unity (itu juga usaha perpaduan sebab kita memupuk perpaduan nasional),” kata.

Semasa lawatan itu, Perdana Menteri juga mengumumkan sumbangan kerajaan Persekutuan sebanyak RM3 juta untuk pembinaan Pusat Rawatan Jantung di Hospital Tung Shin.

Sumbangan itu sekaligus membantu TSH mencapai kutipan kos yang dianggarkan bernilai RM10 juta untuk pembinaan pusat tersebut.

TSH yang ditubuhkan pada 1881 manakala CMH pada 1913, merupakan hospital yang tidak bermatlamat keuntungan.

Menurut Presiden TSH dan Pengarah CMH Tan Sri Khoo Chai Kaa, rawatan perubatan bersubsidi diberikan oleh hospital itu pada 2016 berjumlah RM2.15 juta.

Hospital itu merawat 11,000 pesakit dalam, dan 113,000 pesakit luar pada tahun berkenaan.

— BERNAMA



Source link

read more

PPM tahan 16 PATI – Jenayah


KOTA TINGGI 16 Nov. – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Pengerang menahan 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tiga kanak-kanak ketika cuba keluar dari negara ini secara haram di Bandar Penawar di sini, awal pagi ini.

Komander PPM Wilayah Dua, Assisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, kesemua PATI terdiri daripada enam lelaki berusia antara 20 hingga 50-an, tujuh wanita berusia antara 30 hingga 40-an, dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 hingga 12 tahun itu ditahan antara pukul 11 malam hingga 2 pagi ini.

“Kesemua warga asing yang ditahan dalam tiga serbuan berasingan itu cuba bersembunyi dalam hutan berhampiran pantai Pulau Hijau, Bandar Penawar dipercayai sedang menunggu bot pancung untuk diseludup keluar ke negara jiran.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah tinggal lebih masa, tiada sebarang dokumen dan cuba keluar dari negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Khiu Khon Chiang berkata, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan pihaknya akan meneruskan risikan dan operasi untuk mengekang aktiviti penyeludupan migran serta mengesan sindiket yang terlibat. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Nahas SMRT Penumpang cedera bertambah kepada 36 orang



SINGAPURA: Jumlah penumpang yang cedera dalam insiden perlanggaran dua tren SMRT semalam bertambah kepada 36 orang selepas tujuh orang lagi mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Nasional (NUH) dan Hospital Besar Ng Teng Fong, lapor Channel News Asia hari ini.

Laporan itu menyatakan NUH menerima seorang pesakit manakala Hospital Besar Ng Teng Fong menerima lima pesakit, yang kesemuanya datang sendiri ke hospital berkenaan.

Seorang lagi pesakit dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong dengan ambulans.

Setakat 6 petang tadi, empat daripada pesakit itu telah dibenarkan keluar hospital manakala tiga lagi masih dirawat, menurut laporan itu yang memetik kenyataan bersama oleh Lembaga Pengangkutan Darat dan SMRT Corporation.

“Kementerian Pengangkutan, Lembaga Pengangkutan Darat dan SMRT sentiasa berhubung dengan penumpang yang cedera itu.

“Penumpang lain yang terjejas berikutan insiden pelanggaran semalam boleh berhubung dengan para pegawai bertugas di mana-mana stesen SMRT (di sepanjang Laluan Utara-Selatan, Laluan Timur-Barat dan Laluan Lingkaran) bagi mendapatkan bantuan pada bila-bila masa,” kata kenyataan itu.

Nahas itu berlaku ketika waktu puncak semasa sebuah tren yang membawa 517 penumpang pada kelajuan 16 kilometer sejam berlanggar dengan sebuah tren tidak bergerak di stesen Joo Koon di Jajaran Timur-Barat.

Dalam kejadian itu, enam rakyat Malaysia turut cedera dengan lima daripada mereka telah dibenarkan keluar dari hospital semalam dan seorang lagi masih dirawat di NUH.

— BERNAMA



Source link

read more

[VIDEO] Wisma Tok Guru: Penyokong Pas raikan kemenangan, seru tolak PAN – Politik


KOTA BHARU 16 Nov. – Lebih 2,000 penyokong Pas menyertai Himpunan Kesyukuran dan Solat Hajat Perdana di pekarangan Wisma Tok Guru di Kampung Pendek, Salor di sini malam ini.



Video oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

Orang ramai mula berkumpul bagi meraikan kejayaan Pas mendapatkan kembali tanah di kawasan berkenaan sejak pukul 6 petang tadi sebelum mereka bersama menunaikan solat Margrib, Isyak dan hajat yang diimamkan oleh adik Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Razi Nik Mat.

Yang turut hadir dalam himpunan tersebut, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah; Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Ahmad Fadhli Shaari; Ketua Penerangan Pas negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan seluruh barisan kepimpinan Pas negeri ini.

Serentak dengan itu, bendera besar Pas turut dinaikkan sebagai simbolik lokasi yang digunakan oleh Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa dan menjadi pertikaian antara kedua-dua parti tersebut sejak lebih dua tahun lalu kembali menjadi milik Pas.

Dalam pada itu, Nik Razi selepas mengimamkan solat tersebut sempat menyeru kepada seluruh rakyat negeri ini agar menolak PAN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Mereka (PAN) anak murid Tok Guru derhaka. Jangan bagi undi kepada mereka. Saya juga ingatkan jangan sesekali gunakan nama Tok Guru Nik Abdul Aziz untuk kepentingan politik,” katanya.

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan injunksi yang dikemukakan Husam terhadap pemilik baharu tanah di Wisma Tok Guru Mohd. Yasin Yusoff.

Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor dalam injunksinya memohon perintah mahkamah agar Wisma Tok Guru tidak diganggu sehingga

status quo pemilikan bangunan berkenaan diputuskan mahkamah hasil perbicaraan bermula 4 Disember ini.

Sebelum ini, Pas menegaskan notis supaya Husam keluar daripada premis berkenaan sudah tamat pada 12 November lalu dan parti itu akan mengadakan satu majlis kesyukuran serta solat hajat malam ini sebagai meraikan kejayaan mendapatkan semula tanah terbabit.

Isu perebutan itu bermula susulan tanah yang asalnya milik bekas ADUN Salor, Allahryarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim yang dinamakan atas isterinya sebagai pemilik dijual kepada Mohd. Yasin yang juga Setiausaha Kerja Pas Kelantan dengan harga RM700,000. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Bantuan pasca banjir ringan beban mangsa di P.Pinang – Jeff



KUALA LUMPUR: Bantuan pasca banjir di Pulau Pinang disifatkan penting untuk memastikan fasa pemulihan kehidupan masyarakat tidak terjejas kerana kekurangan keperluan asas.

Pengerusi Eksekutif JL 99 Group, Datuk Seri Jeff B.K Lee berkata, ia program tanggungjawab sosial korporat (CSR) selain tanda prihatin rakyat negara ini sendiri kepada mereka yang memerlukan.

“Pada kali ini kita telah mengambil satu inisiatif iaitu melakukan Program Khidmat Sosial Bantuan Pasca Banjir Pulau Pinang.

“Program kali ini adalah menjurus kepada membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan Dato Keramat, Jelutong dan Bukit Bendera.

“Sumbangan berupa beras 10 kilogram sebanyak 1,000 kampit, 600 unit periuk nasi 600 buah, 700 unit kipas angin, 700 cerek disalurkan kepada hampir 1,000 mangsa banjir mengikut kawasan yang ditetapkan,” katanya kepada Astro AWANI di sini pada Rabu.

BACA: Taburan hujan ekstrem punca banjir di Pulau Pinang – Wan Junaidi

BACA: Jangan guna peralatan elektrik yang terkena air banjir – Suruhanjaya Tenaga

Sebelum ini, angin kencang dan hujan lebat melanda Pulau Pinang menyebabkan banjir yang tidak pernah berlaku di beberapa kawasan mengakibatkan lima kematian dan lebih 2,000 orang dipindahkan.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak 2 petang Sabtu, yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Dalam pada itu katanya, misi kali ini melibatkan seramai 40 orang sukarelawan.

“Kita akan menggunakan empat buah lori 3 tan, dua kenderaan pacuan empat roda selain sebuah bas untuk membawa sukarelawan serta peralatan bantuan.

“Penyampaian sumbangan ini juga mendapat kerjasama daripada Barisan Nasional (BN) yang melibatkan Parti Gerakan Pulau Pinang, UMNO Bahagian Jelutong dan UMNO Bahagian Bukit Bendera,” ujarnya.

Sebelum ini, pihaknya banyak melakukan program kemasyarakatan dalam membantu golongan susah termasuk Program Bazar Ramadhan, sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim serta sumbangan kepada aktiviti keagamaan bagi selain bantuan baik pulih rumah ibadah.



Source link

read more

Perasmian Ekspokonvo’17 UMP meriah – Nasional


KUANTAN 16 Nov. – Perasmian Ekspokonvo ’17 sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-12 disambut meriah oleh warga universiti itu dan orang ramai yang membanjiri Dataran Canseleri UMP Kampus Gambang di sini, malam ini.

Bertemakan ‘We Come, We Celebrate’, Ekspokonvo ’17 melengkapkan majlis konvokesyen UMP yang merupakan satu temasya tahunan bagi meraikan kejayaan para graduan dan keluarga mereka dengan pelbagai acara menarik.

Perasmian Ekspokonvo’17 disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Petronas ICT Sdn. Bhd., Izwan Hasil Ibrahim yang juga Pemegang Amanah MyGift UMP dan Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Prof. Datuk Ts. Dr. Rosli Mohd. Yunus; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin; Pendaftar universiti berkenaan, Abd. Hamid Majid; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP, Muhammad Amrun Aniq Mohamed Saidi dan Pengarah Eksekutif Expoconvo 2017, Nur Syafirah Roslee.

Lebih 1,000 pengunjung terdiri daripada warga UMP dan masyarakat sekitar hadir menyaksikan pelbagai persembahan yang mewarnai majlis antaranya pancaragam oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), persembahan pentas oleh Kelab Pencak Silat, Melayu Modern, Twistet Tornadoes dan Chinese Diobolo.

Daing Nasir dalam ucapannya berkata, UMP terus memberi kepercayaan kepada warga mahasiswanya untuk mengelolakan pelaksanaan Ekspokonvo’17 secara menyeluruh dengan diterajui oleh MPP universiti tersebut.

“Kepercayaan ini adalah manifestasi komitmen berterusan pengurusan bagi memastikan para mahasiswa UMP menerima pengalaman kampus yang terbaik sepanjang pengajian mereka di universiti ini.

“Kebanyakan aktiviti sepanjang Ekspokonvo’17 tidak hanya menyasarkan warga UMP semata-mata, tetapi turut menggalakkan penyertaan awam dalam pelbagai aktiviti dan acaranya,” katanya.

Ekspokonvo’17 dan Majlis Konvokesyen UMP Ke-12 turut membolehkan para pengunjung dalam kalangan keluarga graduan dan orang awam mengenali UMP dengan lebih dekat, khususnya keunikan universiti tersebut dalam konteks program akademik dan pencapaian penyelidikan saintifiknya.

Kemuncak acara adalah gimik perasmian yang menampilkan robot gajah ELGiSteel yang dihasilkan daripada barangan terpakai ciptaan enam mahasiswa UMP iaitu Chin Khai Ven selaku ketua, V. Keshendran, Nor Atikah Mat Jusoh, Nurul Murniyati Mat Isa, Mohd. Hazim Mohd. Razali, Nur Farah Hanim Ahmad dan Wan Nur Izzati Suhaaniz Wan Jusoh.

Dalam pada itu, seramai 2,845 graduan UMP bakal dirai dalam Majlis Konvokesyen Ke-12 yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 18 November ini di Dewan Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons