Warga Malaysia didakwa gagal isytihar RM36 juta di Woodlands – Luar Negara


SINGAPURA 24 Nov – Seorang ahli perniagaan Malaysia didakwa di mahkamah di sini semalam atas 100 pertuduhan gagal mengisytiharkan jumlah sebenar wang tunai bernilai S$12 juta (RM36.620 juta) yang dibawa masuk ke Singapura, menurut laporan akhbar The Straits Times.

Menurut laporan itu, Abdul Jalil Sulaiman, 47, didakwa membawa masuk wang berjumlah antara S$30,300 (RM92,467) hingga S$300,000 (RM915,518) setiap kali menggunakan Lorong Hijau di Pusat Pemeriksaan Woodlands antara 4 Sept 2013 dan 16 April 2014.

Jumlah wang tersebut adalah dalam matawang dolar Amerika dan Australia.

Akhbar itu melaporkan bahawa Abdul Jalil telah menyatakan hasrat untuk mengaku bersalah dan pihak pendakwaan akan meneruskan 30 pertuduhan terhadap tertuduh dan menawarkan jaminan S$100,000 (RM305,195).

Mengikut undang-undang negara itu, seseorang yang gagal mengisytiharkan untuk membawa masuk wang tunai melebihi S$30,000 (RM91,548) ke Singapura boleh didenda, penjara atau kedua-dua sekali.

Abdul Jalil didakwa mengikut Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Serius Lain (Perampasan Manfaat) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum S$50,000 (RM152,593) dan/atau hukuman penjara maksimum tiga tahun bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 21 Disember ini.

Merujuk kepada laman web Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), laporan akhbar itu menyebut Lorong Hijau adalah untuk mereka yang tiba di Singapura tanpa barang yang boleh dikenakan duti, dikawal atau dilarang untuk disytiharkan. – BERNAMA



Source link

read more

LHDN tambah baik sistem penyampaian perkhidmatan



KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sentiasa menambah baik sistem penyampaian perkhidmatannya melalui reformasi sistem percukaian daripada sistem taksiran formal kepada sistem taksir sendiri (STS) bermula tahun taksiran 2001 dan 2004 bagi pembayar cukai syarikat dan selain syarikat termasuk individu.

LHDN dalam kenyataan semalam berkata, selaras dengan pengenalan STS, pihaknya telah memperkenalkan sistem e-Filing dan ByrHasil bagi memudahkan urusan pembayar cukai untuk mengisytiharkan pendapatan dan membuat bayaran cukai.

“Menerusi e-Filing, pembayar cukai hanya perlu mengisytiharkan pendapatan mereka dan membuat pengiraan amaun cukai yang perlu dibayar kepada kerajaan tanpa perlu mengemukakan sebarang resit mahupun dokumen sokongan.

“Resit dan dokumen sokongan hanya dikemukakan kepada LHDN apabila diperlukan untuk melengkapkan proses audit cukai dengan mengemukakan secara dalam talian melalui e-mel,” menurut kenyataan LHDN.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan akhbar bertajuk ‘Inland Revenue Board (IRB) Needs Better System‘ (LHDN Memerlukan Sistem Yang Lebih Baik) baru-baru ini yang memetik Presiden Kesatuan Kongres Sekerja Malaysia (MTUC) Abdul Halim Mansor.

Menurut kenyataan LHDN lagi, sistem e-Filing juga telah ditambah baik menerusi pengenalan sistem e-Permohonan Pindaan BE yang membolehkan pembayar cukai individu membuat pindaan atas kesilapan pengisian Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP).

Portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my sentiasa dikemas kini dengan memuatkan maklumat bersesuaian seperti kaedah pengiraan cukai dan hak-hak pembayar cukai dan sehingga kini telah menyediakan akses kepada 15 jenis perkhidmatan dalam talian (ezHasil) bagi memudahkan urusan percukaian orang ramai.

— BERNAMA



Source link

read more

Bual Bola: Dengan Azteca, Argentina julang kejuaraan kedua pada 1986 (bahagian 5/12)



Azteca merupakan bola yang pertama menggunakan bahan sintetik sepenuhnya untuk digunakan pada Piala Dunia FIFA Mexico 1986. Dalam kejohanan itu, Argentina menjulang kejuaraan kedua selepas Argentina menewaskan Jerman Barat 3-2.

Menjelang pengundian Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia, ikuti bahagian pertama daripada 12 cerita dan sejarah disebalik bola-bola rasmi yang digunakan di Piala Dunia selain revolusi pembikinan bola sepak.



Source link

read more

‘Jangan salahkan Pas, kita sudah tidak ada kena mengena’ – Politik


KOTA BHARU 24 Nov. – Pakatan Harapan yang didalangi DAP tidak sepatutnya meletakkan kesalahan kepada Pas sebagai penyebab kerajaan menang tipis dalam sesi pengundian Bajet 2018 untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Sebaliknya, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mohd. Nassruddin Daud menegaskan, Pakatan Harapan perlu menyalahkan 26 wakil rakyatnya yang ponteng pada sesi pengundian tersebut.

Katanya, mereka tidak boleh mengharapkan kepada Pas kerana parti itu sudah tidak mempunyai hubungan dengan Pakatan Harapan.

“Saya pun pelik, kesalahan dia (Pakatan Harapan) buat namun dia letakkan kepada Pas. 26 orang wakil rakyat Pakatan Harapan tidak hadir tetapi kerana dua wakil Pas mengambil pendekatan berkecuali pada sesi pengundian itu, dia kata kita sebagai punca kekalahan.

“Wakil rakyat Pakatan Harapan yang ramai, kenapa tidak pergi Parlimen, hendak harap dekat orang (Pas) buat apa. Kita sudah tidak pakat, jangan mengharap lagi.

“Terpulanglah kepada Pas hendak kecuali atau apa kerana kita sudah tidak ada kena mengena. Pergi tanya 26 wakil rakyat yang tidak hadir itu,” katanya ketika berucap sempena Ceramah Perdana Pasca Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Perasmian Bilik Operasi Pilihan Raya Pas kawasan Kota Bharu, di sini malam tadi.

Yang turut hadir Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan.

Sementara itu, Nassruddin berkata, lawan Pas bukan hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) semata-mata tetapi juga melibatkan Pakatan Harapan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengingatkan PAN supaya tidak menjadi alat DAP dengan melawan ulama.

“DAP ini membenci ulama jadi kita (PAN) jadi alat DAP untuk turut sama melawan ulama. Kita juga hendak ingatkan PAN ini supaya tidak lagi menggunakan nama Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk kepentingan politik.

“Berhentilah jaja nama Tok Guru kalau mengkhianti perjuangan. Tok Guru tidak pernah khianati perjuangan Pas dan tetap istiqamah di dalam Pas sehingga nafas terakhirnya,” katanya.- UTUSAN ONLINE



Source link

read more

ICJ dan Batu Puteh Jangan buat kerbau tanduk panjang



KATA bidalan Melayu ada menyebut, ‘jangan buat kerbau tanduk panjang’ yang bermaksud jangan campuri urusan orang lain.

Pepatah ini bertepatan dengan apa yang berlaku sekarang ini berkaitan keputusan Malaysia untuk menyemak semula kes Batu Puteh, batuan di sudut timur Selat Singapura yang sekarang ini, berdasarkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008, menjadi milik Singapura.

Pada Februari 2017, Malaysia telah memfailkan permohonan semakan ke atas keputusan ICJ yang disampaikan pada tahun 2008 ke atas Batu Puteh atau nama Singapuranya, Pedra Branca.

Kemudian pada Julai 2017, Malaysia memohon interpretasi penghakiman ICJ ke atas keputusan yang dibuat pada tahun 2008.

Ini telah menyebabkan ramai pakar undang-undang antarabangsa di Singapura membuat pelbagai komen bukan-bukan ke atas hal ehwal dalaman politik Malaysia, seperti yang dilaporkan oleh sebuah artikel yang diterbitkan pada Julai 2017 bertajuk ‘Malaysia throwing ‘the kitchen sink’ with second Pedra Branca Challenge, say experts’.

Terkini, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pula membuat komen serupa yang menuduh tindakan Malaysia menyemak Batu Puteh bermotifkan politik.

Batu Puteh kini sebahagian dari Singapura, batuan yang terletak 7.7 batu nautika dari persisiran Johor dan 24 batu nautika dari persisiran Singapura. Batuan Tengah atau Middle Rocks, yang terletak 1km dari Batu Puteh ditetapkan sebahagian dari Malaysia. Pihak ICJ tidak menyatakan apa-apa terkait Tubir Selatan atau South Ledge.

Singapura membuat tuntutan, antara lain berdasarkan surat yang diisukan oleh M. Seth Bin Saaid, pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 menafikan kedaulatan Johor ke atas Batu Puteh. Surat ini merupakan salah satu bukti kukuh yang meyakinkan ICJ untuk menyerahkan Batu Puteh kepada Singapura pada tahun 2008.

Walaubagaimanapun, Putrajaya kini mengutarakan bahawa tiga dokumen baharu telah ditemukan yang menafikan Batu Puteh adalah sebahagian daripada Singapura. Oleh kerana itu, Malaysia memfailkan semakan di ICJ pada Februari lalu.

Kritikan-kritikan berkaitan urusan dalaman politik Malaysia telah dibuat oleh pelbagai pihak di Singapura – bermula daripada pakar-pakar undang-undang antarabangsa sehinggalah ke orang nombor satu republik tersebut.

Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Singapura, Profesor Simon Chesterman dilaporkan telah menyebut bahawa kerajaan Malaysia sekarang sangat terdesak dan perlu menunjukkan ‘mereka telah melakukan apa yang patut’ untuk mendapatkan sokongan politik daripada orang ramai.

Kritikan ini juga telah disokong oleh Dr Mustafa Izudin, seorang felo di Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS) di Institut Yusuf Ishak yang mengatakan bahawa permohonan kedua kepada ICJ yang dibuat pada Julai 2017 adalah ‘langkah strategik yang sengaja dilakukan untuk menghidupkan isu Batu Puteh bagi tujuan mendapatkan sokongan domestik’.

Beliau juga dilaporkan berkata bahawa semakan yang dibuat ini sebagai sebuah ‘pameran awam’ kepada para pengundi bahawa pihak kerajaan sebenarnya sedang melakukan sesuatu untuk mengambil semula Batu Puteh daripada Singapura agar mereka terlihat sebagai wira.

Terkini, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong juga dilaporkan berkata penyemakan ke atas kes Batu Puteh ini ada kaitannya dengan urusan dalaman politik Malaysia.

Kritikan-kritikan ini adalah tidak wajar, terutama sekali apabila ia diungkapkan oleh pakar undang-undang antarabangsa yang sememangnya jelas memahami konsep kedaulatan sesebuah negara.

Pertama, permohonan yang dilakukan oleh Malaysia tidak melanggar peruntukan Statut ICJ – Putrajaya hanya mengamalkan haknya sebagai negara anggota kepada prosiding tersebut tertakluk kepada Article 61(1) Statut ICJ.

Lagi pula, permohonan semakan ini dibuat sebelum berakhirnya tempoh 10 tahun setelah keputusan terdahulu dibuat.

Kedua, permohonan ni dilakukan adalah untuk menyelesaikan perkara ini secara aman, sebagaimana disyorkan oleh Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kritikan-kritikan ini, secara langsung atau tidak langsung mempamerkan keangkuhan terhadap hak Malaysia sebagai sebuah negara yang terlibat di dalam prosiding tersebut.

Kritikan-kritikan ini mungkin hanyalah pendapat peribadi ahli-ahli akademik Singapura. Tetapi sekarang ini kritikan tersebut juga disokong oleh sang Perdana Menteri Singapura.

Sekiranya benar ini sentimen kerajaan Singapura, ia sekali gus boleh menjejaskan semangat ASEAN yang berpegang teguh kepada prinsip tidak mencampuri urusan negara lain atau ‘non-interference’.

Malaysia menghormati undang-undang berkaitan urusan domestik Singapura, sebagai contoh polisi-polisi mengenai hak istimewa masyarakat Melayu minoriti di Republik tersebut yang dilindungi oleh Artikel 152 (1) Perlembagaan Singapura.

Artikel 152 (2) Perlembagaan Singapura memperuntukkan perlindungan terhadap bahasa Melayu, akan tetapi majoriti rakyat Singapura, seperti yang dilaporkan oleh Straits Times Singapore pada tahun 2014, tidak boleh bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu, bahasa kebangsaan Singapura.

Satu laporan akhbar memburuk-burukkan kakitangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru kerana tidak fasih berbahasa Inggeris, seperti yang pernah diterbitkan oleh The Independent.sg pada Ogos lalu, adalah contoh tegar bahawa Singapura tidak mengambil peduli kepentingan bahasa Melayu walaupun ia bertaraf bahasa kebangsaan.

Dalam kejadian tersebut, seorang warganegara Singapura, Justinian Tan, 25, meninggal dunia apabila HSA didakwa meminta pembayaran dahulu sebelum pembedahan dapat dilakukan.

Ternyata laporan ini adalah palsu dan portal The Independent.sg telah menarik balik artikel ini dan memohon maaf atas laporan tidak bertanggungjawab itu.

Apa yang penting, laporan portal The Independent.sg itu juga memetik bahawa terdapat salah komunikasi di antara rakan-rakan Tan dengan kakitangan hospital kerana mereka tidak fasih berbahasa Melayu.

Bagaimana mungkin rakyat sesebuah negara tidak fasih bertutur dalam bahasa kebangsaannya sendiri?

Malaysia, sebuah negara majoriti Melayu, senantiasa menahan diri daripada mengkritik Singapura dalam perkara ini kerana menyedari bahawa perkara ini adalah hal dalaman Singapura dan patut dihormati.

Untuk tempoh satu dekad, Malaysia dan Singapura telah gagal untuk melukis garis sempadan maritim yang disepakati di sekitar Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. Usaha ini telah menemui jalan buntu sejak 2013.

Sebagai negara jiran yang baik, Malaysia mengambil inisiatif untuk menyelesaikan kes ini di ICJ.

Tidak dapat difahami kenapa pernyataan-pernyataan tidak berasas ini dibuat ke atas Malaysia. Sekalipun kerajaan Malaysia menggunakan Batu Puteh untuk mendapatkan undi, ini adalah hal dalaman Malaysia dan tidak ada kaitan sama sekali dengan Singapura.

Terdapat asas perundangan kukuh untuk Malaysia membuat semakan kes tersebut di ICJ. Perlu diingat bahawa hubungan bilateral yang baik di antara Putrajaya dan Singapura dapat dijaga kerana kedua-dua negara saling menghormati dan bukannya dengan cara saling memburukkan.

Tidak usahlah untuk mereka mencampuri urusan dalaman politik Malaysia. Bak kata bidalan, jangan buat kerbau tanduk panjang.


* Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph. D) ialah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.

** Pendapat ini adalah pandangan peribadi penulis dan tiada kena-mengena dengan Astro AWANI



Source link

read more

‘Jangan salahkan ROS, selesaikan dahulu mesyuarat agung PPBM’ – Politik


KOTA BHARU 24 Nov. – Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak sepatunya menyalahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berikutan kegagalan pendaftaran gabungan yang diketuai DAP itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Dr. Mahathir  sepatutnya menyelesaikan masalah dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terlebih dahulu yang dilihat sebagai punca utama kegagalan pendaftaran tersebut.

“Hendak daftar (Pakatan Harapan) tidak lulus kemudian marah kepada ROS. Bagaimana hendak lulus mesyuarat agung PPBM pun hanya dihadiri 12 orang,” katanya ketika berucap sempena Ceramah Perdana Pasca Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Perasmian Bilik Operasi Pilihan Raya Pas kawasan Kota Bharu di sini malam tadi.

Yang turut hadir Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mohd. Nassruddin Daud.

Baru-baru ini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, ROS tidak boleh meluluskan permohonan pendaftaran Pakatan Harapan kerana masih terdapat beberapa perkara yang belum diselesaikan oleh dua parti dalam gabungan pembangkang tersebut.

Timbalan Perdana Menteri itu memberitahu, setakat ini, ROS masih belum menerima laporan akhir termasuk senarai terkini pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang dilaksanakan pada 12 November lalu.

Selain itu, kata Ahmad Zahid, Parti PPBM pula masih gagal mengadakan perhimpunan agung selepas parti itu ditubuhkan tahun lalu.

Sebelum ini, Pada 21 Oktober lalu, Dr. Mahathir mendakwa ROS belum menjawab permohonan Pakatan Harapan untuk mendaftarkan DAP, PKR, PPBM dan PAN sebagai satu gabungan rasmi.- UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Kakitangan SESB terkena renjatan elektrik



KOTA KINABALU: Tiga kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) cedera parah pada Rabu apabila terkena renjatan elektrik selepas pencawang terbakar di Kompleks Api-Api, di sini.

Dalam kejadian jam 10.40 malam itu, semua mangsa yang parah, lelaki berusia 25, 28 dan 52 tahun, dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.57 malam dan sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dikerah ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan oil Suiz Gear pada pencawang elektrik yang terbakar dan tiga mangsa parah akibat terkena renjatan elektrik.

“Api berjaya dikawal jam 11.23 malam dan semua dihantar menggunakan kenderaan ambulans ke HQE untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, semua mangsa dipercayai sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan elektrik di pencawang berkenaan.

“Pasukan bomba menggunakan tiga unit alat pemadam api dalam operasi itu,” tambahnya.



Source link

read more

Tiga anggota polis dan seorang Setiausaha Politik ditahan – Jenayah


KUALA LUMPUR 23 Nov. ― Seorang Inspektor, dua Korporal dan seorang setiausaha politik ditahan hari ini bagi membantu siasatan kes samun seorang ejen insurans di sebuah premis di Rawang, dekat sini Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, suspek lelaki berusia 30 hingga 34 tahun itu ditahan dalam operasi berasingan sejak hari kejadian sehingga semalam.

Menurut Fadzil, dua anggota yang ditahan berpangkat Konstabel dan seorang berpangkat Inspektor manakala seorang lagi dipercayai Setiausaha Politik seorang wakil rakyat yang dikenali.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan terhadap kesemua suspek yang ditahan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Fadzil berkata, kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Penduduk gusar kelibat Pak Belang di taman perumahan



DUNGUN: Kehadiran seekor harimau belang yang dipercayai berada berhampiran kawasan Perumahan Rimbunan Kasih, Rantau Abang, di sini menggusarkan penduduk tempatan.

Penduduk mendakwa kelibat Pak Belang berkenaan sering dilihat berhampiran kawasan semak tidak jauh dari kediaman mereka.

Seorang penduduk, Nor Ras Jariaziah Mohd Jamil berkata, haiwan berkenaan dilihat pada jarak yang dekat kira-kira jam 7.20 petang Ahad lalu.

Katanya, ketika keluar untuk menutup cermin keretanya, dia dikejutkan dengan bunyi ranting kayu yang patah seperti dipijak sesuatu.

“Setelah menoleh ke semak berhampiran, saya ternampak seekor harimau. Ketika itu, memang takut, sebelum haiwan berkenaan menghilang di kawasan semak,” katanya.

Nor Ras Jariaziah berkata, sejurus selepas itu dia terus melarikan diri masuk ke dalam rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengingatkan penduduk supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan mengelakkan dari menjalankan aktiviti di kawasan pinggir hutan Jambu Bongkok.

Jelasnya, pihaknya telah melaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya mengambil tindakan segera mengatasi isu berkenaan.



Source link

read more

51 nelayan warga Indonesia masih ditahan – APMM



KUALA LUMPUR: 51 nelayan warga Indonesia masih ditahan kerana menceroboh perairan negara setakat November 2017.

Manakala di pihak Indonesia pula 11 warga Malaysia masih ditahan di negara itu.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Mohd Taha Ibrahim, tempoh penahanan nelayan warga Indonesia di negara ini berbeza mengikut kesalahan yang dilakukan.

“Tempoh dipenjara maksimum hanya setahun, namun tempohnya berbeza mengikut hasil pemeriksaan. Contohnya, tekong akan dikenakan hukuman maksimum enam hingga 12 bulan jika disabit kesalahan,” katanya selepas dihubungi Astro AWANI.

Tambahnya lagi, sejak 2006, sejumlah 1,695 nelayan warga Indonesia ditahan oleh Maritim Malaysia. Bagi tempoh sama, 335 bot turut ditahan.

Semalam, Malaysia dan Indonesia capai kata sepakat untuk bebaskan semua nelayan yang ditahan di kedua-dua negara kerana ceroboh perairan.

BACA: Malaysia-Indonesia sepakat bebaskan tahanan nelayan

Keputusan itu dicapai antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam rundingan tahunan ke-12 Malaysia-Indonesia.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons