KUALA LUMPUR 30 Nov. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan kadar potongan khas bagi memungut 3.2 juta notis kompaun yang masih tertunggak bermula 15 Disember ini sehingga akhir Februari tahun hadapan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan berkata, tawaran istimewa tersebut adalah peluang buat warga kota melangsaikan tunggakan sebelum tindakan senarai hitam diambil terhadap mereka.

Katanya, potongan diskaun sebanyak RM20 diberikan bagi setiap notis kesalahan pemilik motosikal, RM30 bagi pemilik kereta dan RM50 bagi kenderaan berat termasuk bas, lori dan lain-lain.

“Bayaran kompaun pada kadar istimewa tersebut boleh dilakukan orang ramai di semua kaunter-kaunter bayaran seperti sedia ada termasuk di Pejabat Pos dalam tempoh tawaran berjalan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penghargaan Bersama Agensi sempena Hari Penguatkuasa ke-48 DBKL bagi mengiktiraf sumbangan agensi penguatkuasa lain dalam operasi bersepadu yang digerakkan bersama pihak berkuasa tempatan itu sepanjang tahun ini. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: