Britain mahu yakinkan Arab Saudi buka laluan ke pelabuhan Hodeida



RIYADH: Britain optimis mampu meyakinkan Arab Saudi untuk membuka laluan ke pelabuhan Hodeida di Yaman bagi membolehkan kemasukan kapal bantuan kemanusiaan ke negara itu.

Selain berkaitan konflik di Yaman, Perdana Menteri Britain, Theresa May dijangka turut membincangkan bersama krisis diplomatik Qatar dalam pertemuan empat mata beliau dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman di Riyadh hari ini.

May merupakan pemimpin Eropah kedua yang mengadakan pertemuan rasmi dengan Putera Mahkota Arab Saudi itu khususnya bagi membincangkan isu rumit di Yaman dan Qatar.

Kedatangan May ke Riyadh adalah susulan kegagalan kapal Pertubuhan Bangsa Bersatu (PB)B berlabuh di Hodeida pada Selasa minggu lalu.

Britain merupakan penyumbang ketiga terbesar bantuan kemanusiaan ke Yaman.

Selain itu Britain adalah negara yang memiliki lesen menjual senjata api kepada Arab Saudi yang bernilai AS$6.1 bilion sejak  krisis di Yaman bermula.

Dianggarkan hampir 7 juta penduduk Yaman kini berdepan kebuluran dan masalah kesihatan sejak perang tersebut tercetus pada 2015.

Perang itu juga menyaksikan lebih 10,000 ribu orang awam terkorban dan jutaan lainnya menjadi pelarian.



Source link

read more

Lelaki Bangladesh ditahan bersama syabu RM1.2 juta


IPOH: Syabu bernilai RM1.2 juta disorokkan dalam bungkusan teh cina jadi taktik seorang lelaki Bangladesh untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Taktiknya terbongkas hasil serbuan ke atas sebuah bilik hotel di Sungai Siput itu dijalankan oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak sekitar jam 11.30 malam Selasa selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Asisten Komisioner R. Ravi Chandran berkata, polis menemui 17 paket plastik pembungkus teh cina seberat 17.2 kilogram dipercayai mengandungi dadah jenis syabu tersimpan dalam sebuah kotak.

”Suspek yang ditahan berusia 32 tahun dan rampasan ini menjadi yang terbesar bagi dadah jenis syabu oleh polis Perak tahun ini,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, polis percaya hotel yang diserbu dijadikan sebagai transit sebelum diedarkan ke negeri lain.

Dadah Teh

BACA: Sindiket dadah didalangi warga Indonesia, Malaysia tumpas

”Siasatan awal mendapati suspek sudah berada di negara ini sejak 10 tahun lalu.

”Pasport suspek juga tamat tempoh tahun lalu dan dia dipercayai berada di Sungai Siput sejak tinggu minggu lepas,” ujarnya.

Bagaimanapun, ujian air kencing suspek menunjukkan dia bebas dari sebarang bentuk dadah.

Suspek kini direman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

BACA: Sindiket dadah NPS tumpas, 10 individu ditahan



Source link

read more

Duta AS ke PBB gesa anggota badan dunia itu putuskan hubungan dengan Korea Utara



NEW YORK: Duta Amerika Syarikat (AS) ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Nikki Haley pada Rabu menggesa negara-negara di seluruh dunia memutuskan hubungan mereka dengan Korea Utara semasa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bermesyuarat bagi membincangkan respons badan dunia itu terhadap tindakan negara tersebut melancarkan peluru berpandu jarak jauh baru-baru ini, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Beliau berkata Presiden AS Donald Trump telah meminta Presiden China Xi Jinping menghentikan pembekalan minyak ke Korea Utara.

Haley membuat gesaan itu ketika UNSC mengadakan mesyuarat tergempar berhubung tindakan Korea Utara melancarkan peluru berpandu tersebut pada Rabu (waktu Korea), yang dikatakan mampu sampai di mana-mana tempat di AS.

Beliau turut menggesa Majlis Keselamatan membatalkan hak mengundi Korea Utara dalam PBB.

Meskipun AS tidak mahu berperang dengan Korea Utara, duta itu memberi amaran bahawa “diktator Korea Utara semalam telah membuat keputusan yang membawa dunia lebih dekat dengan peperangan, bukan lebih jauh daripadanya.”

— BERNAMA



Source link

read more

Agensi kerajaan diminta jadi pemudah cara bantu wanita – Terengganu


KUALA TERENGGANU 30 Nov. – Semua agensi di negeri ini diminta sentiasa memudah cara di samping memberi kerjasama di antara satu sama lain bagi memastikan setiap inisiatif kerajaan dalam membantu memartabatkan golongan wanita dapat dilaksanakan tanpa sebarang karenah birokrasi.

Isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Halina Zakaria berkata, pelbagai inisiatif telah diwujudkan yang memberi penekanan kepada peningkatan peluang pekerjaan dan ekonomi keluarga termasuk latihan kemahiran kepada suri rumah, peluang keusahawanan kepada ibu tunggal dan program-program latihan di peringkat pengurusan tertinggi.

“Sebagai contoh, kajian telah membuktikan antara perkara utama yang membebani fikiran  wanita apabila bekerja adalah perihal penjagaan anak, jadi sekiranya kemudahan taska  dapat disediakan sudah pasti mereka dapat bekerja dengan fikiran tenteram dan tanpa tekanan.

“Kita harus membantu menyediakan suasana kerja dan khidmat lebih  ‘mesra wanita’  kerjasama dari semua pihak adalah perlu agar perkara ini dapat direalisasikan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud.

Hampir 1,000 orang menghadiri majlis bertemakan Wanita Perlu Berani Berubah itu dengan hadirin turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi, Wany Hasrita. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

UMNO tetap benteng terakhir Islam dan Melayu – TPM



KUALA LUMPUR: UMNO tetap menjadi benteng terakhir mempertahankan Islam dan Melayu di negara ini walaupun dihimpit dan diuji dengan persepsi kebencian dan negatif oleh sesetengah masyarakat umum, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden UMNO itu berkata masyarakat khasnya mahasiswa perlu lebih bijak dan tidak terperangkap dalam permainan “court of public opinion” dan sebaliknya perlu cenderung melihat kepada rekod pencapaian dan kejayaan UMNO selama ini.

“Hodoh sangat ke UMNO? Kotor sangat ke UMNO? UMNO dihukum oleh ‘court of public opinion’. Apabila kebatilan, pembohongan diulang-ulang, ianya menjadi satu stigma kepada pola pemikiran yang akhirnya UMNO yang dikotorkan itu dianggap kotor. Kebenaran lazimnya datang kemudian.

“UMNO adalah ‘last bastion of the Muslim and Malay in this country’. Rekod kita memperlihatkan pencapaian dan kejayaan tanpa kita berniat untuk riak mahupun takbur. Kita hidangkan rekod ini ke khalayak untuk dinilai,” kata Ahmad Zahid yang turut menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas) yang turut dihadiri Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah dan Ketua Pemuda UMNO Pahang merangkap Pengarah Pemanas Shahar Abdullah.

Pemanas merupakan program anjuran Biro Pendidikan UMNO yang dihadiri 350 peserta terdiri daripada mahasiswa di dalam dan luar negara bagi membincangkan pelbagai isu anak muda khususnya berkaitan mahasiswa selaras dengan program menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2017 bertemakan ‘Mahasiswa Arkitek Malaysia Alaf Baru’.

Ahmad Zahid berkata justeru menjadi tugas dan tanggungjawab mahasiswa selaku pemimpin masa depan untuk menjernihkan keadaan dan mempertahankan parti keramat Melayu itu.

“Tugas dan tanggungjawab saudara semua adalah melontarkan fakta mengenai indahnya UMNO sebagai sebuah organisasi politik serta sebagai sebuah institusi sosial orang Melayu yang tidak ketepikan bangsa lain.

“Anda tidak salah pilih untuk jadi ahli UMNO. Malah anda paling bertuah sebab memilih UMNO. Amat rugi jika ada anak-anak muda yang ketepikan UMNO,” katanya yang berharap kecemerlangan UMNO diteruskan oleh generasi muda selaku arkitek masa depan negara.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan mahasiswa agar menjadikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin yang paling berjiwa besar dan relevan dalam merealisasikan aspirasi golongan muda.

Beliau berkata ini kerana pemimpin-pemimpin UMNO sentiasa berada di belakang belia dalam melaksanakan agenda transformasi negara.

“Belajarlah daripada beliau dan inisiatif dalam NBOS (Strategi Lautan Biru Nasional) dan transformasi yang dilakukan beliau. Walaupun beliau diterajang dengan pelbagai isu, disimbah pelbagai fitnah, dihujani pelbagai peluru kebencian, namun daya tahan beliau luar biasa.

“Pemimpin seperti ini harus kita dukung. Ini bukan hanya soal wala, bukan hanya soal ‘loyalty’, bukan soal kesetiaan sahaja kita tidak mahu kesetiaan membabi buta,” katanya.

Menurutnya kesetiaan beliau dan pemimpin UMNO lain terhadap kepimpinan Najib adalah kerana yakin terhadap falsafah dan usaha Perdana Menteri untuk membantu membangunkan negara dan orang Melayu, dan pada masa sama tidak mengetepikan hak-hak bangsa dan negara lain.

— BERNAMA



Source link

read more

Ayda Jebat berguru dengan Fauziah Ahmad Daud



PELAKON dan penyanyi Ayda Jebat menimba ilmu lakonan dengan aktres hebat, Fauziah Ahmad Daud.

Fauziah yang dikenali sebagai Kak Ogy menjadi guru lakonan untuk Ayda dan pelakon lain dalam filem Pinjamkan Hatiku yang ditayangkan bermula hari ini.

“Kak Ogy merupakan pelakon yang saya sangat sanjungi. Kesempatan untuk berguru dengan Kak Ogy saya rasakan sebagai satu peluang keemasan. Apatah lagi filem Pinjamkan Hatiku merupakan filem pertama yang menampilkan saya sebagai watak utama.

BACA: Pertama kali bintangi filem, Ayda Jebat mengaku gementar

BACA: ‘Saya tak ada niat pertikai tugas juri’ – Ayda Jebat

“Sebelum saya menghadiri kelas lakonan bersama Kak Ogy, saya akui saya tidak dapat membayangkan lagi bagaimanakah caranya untuk membawakan watak Laila Safitri,” kata Ayda kepada Astro Gempak.

Tambah pelantun lagu Pencuri Hati ini, dia berharap agar gandingannya bersama Shaheizy Sam dapat menarik minat penonton.

“Selepas tunjuk ajar Kak Ogy, saya mendapat pencerahan mengenai watak tersebut. Alhamdulillah, atas hasil tunjuk ajar Kak Ogy, saya berusaha memberikan hasil lakonan terbaik. Saya harap filem ini mendapat tempat di hati peminat,” katanya lagi.

Bertemu dengan Ogy, pelakon filem Ali Setan itu bangga dengan hasil lakonan Ayda.

“Saya masih ingat ketika di salah sebuah konsert mingguan AF9, saya dijemput menjadi pengkritik. Saya mengkritik cara nyanyian Ayda. Pada minggu tersebut, nasib dia kurang baik dan tersingkir.

“Kini saya kembali menjadi guru lakonannya. Sebagai pendatang baru yang pertama kali berlakon filem, saya bangga dengan apa yang Ayda tonjolkan. Dia mahu belajar dan menunjukkan kesungguhan. Saya berpuas hati dengan hasil lakonan Ayda,” kata Ogy.

Filem arahan Osman Ali yang mula disiarkan hari ini turut menampilkan Farid Kamil, Lia Natalia, Azizah Mahzan dan ramai lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal



Source link

read more

Terlalu ganas Apple buang karektor Rodrigo Duterte


MANILA: Pembekal perkhidmatan aplikasi telefon bimbit Apple App Store membuang karektor Presiden Filipina Rodrigo Duterte dari permainan video popular, Duterte Know Kung Fu – Pinoy Crime Fighter.

Tindakan ini dilakukan selepas surat bantahan dihantar satu rangkaian anti-dadah Asia kepada Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook.

Portal berita BBC dipetik berkata surat bantahan itu menyatakan permainan video tersebut mempromosi pembunuhan, “keganasan” dan “perang dadah” di Filipina.

Bagaimanapun, surat bantahan tersebut tidak dibalas pengeluar telefon bimbit dan perisian terkemuka dunia itu.

Tarikh penghantaran surat bantahan dan pembuangan karektor tidak dinyatakan secara jelas.

Menurut rangkaian terbabit, permainan video itu jelas mempromosi keganasan dan merujuk secara khusus kepada Filipina.

Duterte
Dalam permainan terbabit Duterte digayakan dengan pelbagai pakaian dan beraksi seorang diri — dalam misi beliau untuk menumpaskan penagih dan penyeludup dadah. 

Sementara itu, Ketua Polis Filipina Ronald De La Rosa menyambut baik tindakan Apple terbabit dan menjelaskan perang dadah yang dilakukan Duterte bukan berbentuk keganasan sebaliknya menumpaskan kegiatan dadah yang berleluasa di negara itu.

La Rosa menjelaskan selain operasi menjejaki penjenayah dadah, polis turut mengadakan program kesedaran pintu ke pintu tentang bahaya dadah.

Namun tindakan Filipina itu dikecam Badan Hak Asasi Manusia yang mendesak operasi seumpama dihentikan.

Setakat ini, hampir 7,000 individu terlibat dadah dibunuh dalam operasi yang telah dijalankan sejak awal tahun ini.



Source link

read more

Saya rela bermadu dengan Izreen – Intan Liana – Nasional


SUBANG 30 Nov. – Pada awalnya hati Intan Liana Saleh, 30, sangat remuk apabila mengetahui suaminya yang juga seorang pemuzik, Muhammad Radzi Wahid, 29, atau lebih dikenali sebagai Ude didakwa telah menikahi pelakon terkenal, Izreen Azminda sejak Ogos lalu.

Bagaimanapun, dek kerana sayangkan mahligai yang dibina sejak empat tahun lalu, Intan berkata, dia sedia menerima Izreen sebagai madunya.

Kata Intan, dalam keadaan sekarang ada baiknya dia menerima ketentuan takdir.

“Saya ikhlas menerima pelakon tersebut sebagai madu. Memang pada mulanya saya agak kecewa tetapi saya anggap itu memang jodoh mereka.

“Saya yakin suami saya mampu bertanggungjawab kepada kami berdua. Sebagai isteri tentunya saya mahu mempertahankan rumah tangga saya kerana anak-anak dan sayangkan perkahwinan ini,” kata Intan kepada Utusan Online ketika ditemui, di sini tengah hari tadi.

Pertemuan Intan dengan Utusan Online juga disiarkan secara langsung di Facebook Utusan Online.

Sekalipun tidak mengenali Izreen secara peribadi, namun harapan Intan ialah mereka berdua dapat menjalin hubungan yang baik.

“Saya dengan rela hati menerima dia sebagai madu saya dan berharap kami dapat berbaik. Tetapi saya tidak tahu di pihak sana mampu menerima saya atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Izreen memberitahu, dia akan memberi penjelasan mengenai isu yang diperkatakan mengenainya dalam sidang akhbar minggu depan.

Izreen yang begitu tenang dan rasional memberitahu, dia juga enggan mana-mana pihak memanipulasi keadaan sehingga kenyataan dibuat dalam pertemuan dengan media kelak.

“Tunggu sahaja sidang akhbar saya nanti,” ringkas kata Izreen.

Nama Izreen tiba-tiba menjadi hangat dalam kalangan wartawan hiburan selepas dia didakwa sudah bernikah dengan Ude yang juga bapa kepada dua orang cahaya mata.

Menerusi perkahwinan dengan Intan pada 2013, Ude dikurniakan dua cahaya mata lelaki yang masing-masing berusia 3 tahun dan lima bulan. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Kontraktor degil MKN diarah pantau Hutan Merapoh



KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) diarah memantau projek pembalakan berskala besar di Hutan Merapoh dekat Kuala Lipis, Pahang bagi memastikan ia dihentikan sepenuhnya.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, arahan itu dicapai susulan perbincangan beliau dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam.

“Saya sudah minta Shahidan untuk menghantar orang (penguat kuasa) untuk memantau (Hutan Merapoh).

“Saya sudah bincang dengan beliau bagi mengatur kedudukan anggota-anggota MKN ke situ,” katanya pada sidang media Parlimen, di sini, hari ini.

Wan Junaidi menambah, beliau juga telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar supaya sebarang aktiviti pembalakan dan pembangunan di kawasan terbabit dihentikan serta merta.

Sekiranya arahan itu tidak dipatuhi, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang ingkar.

“Kita telah kaji secara ringkas, banyak pihak yang terlibat dalam hal ini, pembangunan dan pembalakan yang dijalankan tidak mematuhi undang-undang alam sekeliling 1974.

“Saya dah arahkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya keluarkan perintah berhenti kerja untuk semua aktiviti di hutan tersebut. Semalam pun ada kontraktor masih buat kerja,” katanya.

Wan Junaidi berkata kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk kerja-kerja pembalakan dan pembangunan di hutan tersebut juga tidak dilaksana sebelum penerokaan dibuat.

“Saya nak satu kajian semula berhubung dengan hutan ini dijalankan dan saya akan berbincang dengan kerajaan negeri berhubung perkara ini.

“Walaupun kawasan yang hendak dibangunkan ini merupakan tanah hak milik persendirian, pemberian tanah itu diberikan dalam kawasan hutan simpan pada awal tahun 2000 dahulu, iaitu sebelum kajian EIA dijalankan.

“Pembangunan dijalankan pada zaman ini, jadi semua pihak kena patuh arahan ini,” katanya.

Beliau berkata walaupun tanah, hutan dan air milik kerajaan negeri, semua pihak perlu akur dengan kajian JAS bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya bencana.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons