KUALA LUMPUR 30 Nov. – Penduduk pangsapuri kos rendah Bandar Tasik Selatan di sini semalam gempar apabila seorang wanita warga Indonesia ditemukan maut manakala adik lelaki­nya cedera parah selepas didakwa diserang seorang lelaki bersenjatakan pisau di Blok A, apartmen terbabit.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, Misyatun, 33, dan adiknya Junaidi, 18, ditemukan berlumuran darah oleh dua jiran mereka di apartmen berkenaan.

Jiran mangsa, Shafie Abu Bakar, 42, memberitahu, beliau menyedari insiden tersebut setelah dipanggil seorang jiran yang dikenali sebagai Alfan yang merupakan orang pertama mendengar jeritan mangsa sebelum memang­gilnya untuk memberi bantuan.

Menurutnya, dia dan Alfan pergi melihat dan mendapati adik mangsa cedera parah dengan usus perut terburai serta berlumuran darah sedang terbaring di kaki lima hadapan pintu rumah mangsa dan mengerang kesakitan.

“Misyatun ditemui dalam ke­ada­an nazak, terbaring dan berlumuran darah di laluan tangga bersebelahan lif,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Saksi Mohd. Alfan Mohd. Rais, 35, berkata, dia tidak melihat sebarang kelibat suspek atau individu terbabit melakukan sera­ngan tersebut di lokasi kejadian.

“Semasa saya menemui wanita itu (Misyatun) di laluan tangga dalam keadaan nazak dan cuba membantu menghulurkan kain bagi menutup luka di perutnya,” ujarnya.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji mengesahkan kejadian berkata, mangsa yang maut Misyatun dijumpai saksi di tepi tangga di tingkat 18 dalam keadaan cedera parah sebelum meninggal dunia di tempat kejadian mana­kala Junaidi, 18, cedera parah di dada kiri dan perut.

“Mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil. Punca kejadian masih belum dikenal pasti dan siasatan masih dilakukan,” jelasnya.

Jelas Abdul Ghani, suami dan abang ipar kepada mangsa wanita itu yang turut berada di tempat kejadian kini ditahan polis bagi membantu siasatan.



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: