KAPIT 1 Dis. – Polis dan masyarakat berpisah tiada. Begitulah dapat disimpulkan apabila kepimpinan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Song di sini sanggup turun padang bertemu penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman di Nanga Beguang, semalam.

Mereka perlu menaiki bot dari Jeti Song menyusuri Sungai Rajang selama hampir satu jam untuk ke Rumah Panjang Richard Nugong Abit.

Ketua Polis Daerah Song, Deputi Superintenden Azhar Abu Bakar berkata, program Komuniti Kepolisan tersebut diadakan setiap bulan bersama masyarakat melibatkan penyertaan ketua-ketua bahagian, ketua balai, Aman Wanita (Amanita) dan pegawai rendah IPD.

Katanya, program berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan masyarakat di kawasan itu.

“Masyarakat memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat jenayah kepada polis.

“Program seumpama ini akan diteruskan dan diperluaskan di sekitar rumah panjang lain di Song bagi memastikan hubungan di samping menunjukkan komitmen polis dalam membanteras jenayah dan menjaga keselamatan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Antara pengisian program adalah ceramah, perbincangan dan dialog pencegahan jenayah, pelesenan, kesedaran kesalahan trafik, penerangan isu-isu jenayah semasa, keselamatan sungai dan penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dalam menyalurkan maklumat jenayah kepada polis.

Tambahnya, rata-rata penduduk ditemui mengalu-alukan kedatangan pihak polis yang menunjukkan hubungan baik antara kedua-dua pihak. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: