Malu rakyat Malaysia masih belum kuasai bahasa Melayu – Zambry



LUMUT: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan rakyat Malaysia yang masih belum menguasai Bahasa Melayu sebagai sesuatu yang memalukan.

Beliau berkata jika orang asing berlumba menguasai bahasa kebangsaan, tetapi amat menyedihkan apabila anak tempatan masih gagal bertutur dengan baik dalam Bahasa Melayu.

Perkara itu disuarakan Zambry selepas kagum melihat salah seorang permakalah (pembentang) yang merupakan warga Jepun, Tadashi Ikeda, membuat pembentangan dalam Bahasa Melayu di Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (Pulara) Pangkor edisi kelapan di sini hari ini.

“Bagi mereka yang belum menguasai Bahasa Melayu atau tak mahu menguasai bahasa kebangsaan walaupun dia rakyat Malaysia agak memalukan.

“Walaupun Tadashi baharu mempelajari Bahasa Melayu dalam masa lima tahun, namun beliau boleh membuat pembentangan dalam Bahasa Melayu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan Bahasa dan Persuratan Melayu Merentasi Zaman sempena Pulara Pangkor 2017 edisi kelapan di Pulau Pangkor, di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, ketika ditanya pemberita mengenai impak daripada penganjuran Pulara kali ini, Zambry berkata terdapat beberapa resolusi dicadangkan oleh permakalah yang amat praktikal dan akan dilaksanakan.

Antaranya menjadikan Pulau Pangkor sebagai Pulau Buku selain meminta kerajaan negeri menghimpunkan koleksi bahasa irama dan memanfaatkan pendekatan kajian geo-linguistik bagi memperluaskan kajian dialek Perak, katanya.

“Saya melihat resolusi-resolusi itu amat praktikal kerana pembentang melihat dari aspek bagaimana dapat melaksanakan dasar-dasar bahasa dalam konteks negeri dan idea-idea inilah yang ingin kita garap dan laksanakan secara bersama,” katanya.

Sementara itu, Tadashi, 69, berkata dia sangat meminati Bahasa Melayu dan sanggup berhijrah ke Malaysia bersama isterinya, Eko Ikesa, 67, sejak 2013 dan mempelajari bahasa kebangsaan itu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan The Japan Club of Kuala Lumpur (JCKL).

“Saya seronok mempelajari bahasa Melayu kerana ada beberapa perkataannya hampir sama dengan bahasa Jepun dan ayat pertama yang saya pandai sebut adalah ‘makanan sedap’ dan dalam masa tiga tahun saya sudah boleh bertutur dalam bahasa ini.

“Namun, semangat saya sentiasa berkobar-kobar untuk menguasai bahasa ini kerana ia sangat unik dan saya mahu orang Malaysia bangga dengan bahasa ini,” katanya yang kini menetap di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Tadeshi berkata dia berasa terharu dan seronok kerana dapat melibatkan diri dalam Pulara 2017 kali ini dan menganggapnya sebagai salah satu pencapaian terbaik ketika berada di negara ini bagi mempelajari Bahasa Melayu.

“Ini adalah pentas menarik yang boleh meningkatkan ilmu saya dalam bahasa Melayu selain menambah kawan yang aktif dalam bidang sastera dan bahasa.

“Apabila pulang ke Jepun nanti saya mahu membantu pelancong Malaysia yang datang ke sana supaya lebih mudah kepada mereka,” katanya.

Pulara 2017 yang bermula Khamis lalu sehingga Ahad ini merupakan anjuran kerajaan negeri menerusi Tourism Perak dengan kerjasama Yayasan Kampung Karyawan Malim dan ia menghimpunkan 200 peserta dari 14 negara.

— BERNAMA



Source link

read more

Aliff Syukri promosi lagu Abang Nak Tegur di Sepanyol



SELEPAS menerima kritikan di media sosial, Datuk Aliff Syukri melebarkan bakat nyanyiannya ke luar negara.

Destinasinya adalah Sepanyol.

Lagu ‘Abang Nak Tegur’ menerima kritikan peminat industri muzik tanah air apabila video klip terbabit turut menampilkan seorang lagi pengusaha produk kecantikan Nur Sajat.

“Lagu ini memang menerima dugaan yang terlalu banyak, walaupun menerima tontonan lebih 1.5 juta dalam masa lima hari.

“Tetapi menerima ‘unlike‘ yang terlalu banyak, jadi saya nak ‘build up‘ balik lagi ini supaya lebih ramai orang suka,” jelasnya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur KLIA malam tadi.


YouTube KRU Music

Aliff Syukri dijadual berada di Madrid, Sepanyol bagi kerja promosi lagu tersebut.

MenurutAliff Syukri, beliau menghormati keputusan peminat dan kini beliau mahu membuktikan beliau mampu bersinar dalam industri terbabit.

“Abang Nak Tegur” yang diterbitkan KRU Music telah menerima lebih sejuta tontonan di YouTube selepas 10 hari dipaparkan.



Source link

read more

Trump pecat individu penting dalam White House



WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata dia terpaksa memecat bekas Penasihat Keselamatan Negara Michael Flynn kerana berbohong kepada Naib Presiden dan FBI.

Melalui tweet terbaharunya Trump berkata tiada apa yang hendak disembunyikan.

Sebelum ini Flynn adalah individu penting dalam pentadbiran Trump.

Flynn menjadi terkenal selepas ucapannya yang berkobar-kobar menyokong Trump pada Konvensyen Nasional Republikan 2016 dengan semangat mahu memenjarakan Hillary Clinton.

Hasilnya Trump telah berjanji untuk memberi ganjaran berupa jawatan penting kepadanya.

Flynn dipecat oleh Trump selepas hanya sebulan di White House dan kini berdepan peningkatan kejadian jenayah yang akhirnya membawa kepada pengakuan bersalah selepas didakwa berbohong kepada Badan Penyiasatan persekutuan (FBI) mengenai hubungannya dengan duta Rusia.

BACA: Hubungan dengan Rusia: Michael Flynn mengaku bersalah ‘menipu’ FBI



Source link

read more

KFA tunggu ketibaan Marcote untuk muktamad kontrak – Bola Sepak


ALOR SETAR 2 Dis. – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak berdepan sebarang masalah untuk memenuhi permintaan jurulatih dari Sepanyol, Ramon Marcote termasuk dalam soal gaji bagi mengemudi skuad Lang Merah dalam kempen Liga Malaysia musim depan.

Setiausaha Kehormatnya, Datuk Aminuddin Omar berkata, KFA kini hanya menunggu ketibaan Marcote yang dijangka pada minggu depan bagi memuktamadkan persetujuan yang telah dicapai antara kedua-dua pihak.


“Minggu depan (isu jurulatih Kedah) boleh selesai… KFA hanya tunggu nak beri tawaran (rasmi) kepada Marcote. Pada masa ini, ada beberapa perkara tak selesai lagi tapi soal gaji dah dipersetujui kedua-dua pihak.


“Selain soal gaji, ada beberapa perkara yang diminta oleh beliau tetapi dipersetujui kedua-dua pihak secara dasarnya. Di pihak KFA, kita berpendapat usaha mendapatkan Marcote telah 99 peratus selesai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Dalam perkembangan lain, Aminuddin memberitahu, pihaknya telah menawarkan kontrak baharu kepada pemain tempatan Lang Merah manakala nasib dua pemain importnya iaitu Ken Ilso Larsen dan Zachary Michael Anderson akan ditentukan jurulatih baharu Kedah.-UTUSAN ONLINE




Source link

read more

Penduduk Terengganu gusar hakisan pantai makin parah



KUALA NERUS: Kerajaan Negeri Terengganu berusaha mengatasi masalah hakisan yang berlaku, khususnya di pantai Mengabang Telipot, Batu Rakit dekat sini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah itu.

Ahmad Razif yakin masalah lebih setahun lalu itu akan dapat diatasi menjelang tahun hadapan.

“Untuk penyelesaian secara teknikal ni bukan satu perkara yang mudah kerana bila kita buat dekat sini ia akan pergi ke tempat lain, jadi kita serahkan kepada JPS untuk mereka bentuk dan untuk mencari satu penyelesaian yang terbaik.

“Maka mereka perlukan masa untuk membuat kajian melihat apakah cara yang terbaik kerana kita tidak mahu nanti bila dibuat kita tidak akan selesai masalah akan berlaku lagi di tempat yang lain,”katanya.

Ahmad Razif berkata sebagai langkah awal peruntukan tambahan sebanyak RM 500,000 telah diluluskan untuk menggelakkan kerosakan jalan dan harta benda.

Jelasnya pelbagai faktor perlu diambil kira memandangkan kawasan laut terbuka dan pada musim tengkujuh pula ketinggian ombak juga luar biasa.

Hakisan yang berlaku di Kampung Mengabang Telipot itu semakin meruncing dan hampir menghakis jalan raya.

Ia menimbulkan kegusaran penduduk di Kampung Mengabang Telipot, Batu Rakit.

Ombak kuat mengganas pada musim tengkujuh ini juga mengakibatkan hakisan semakin hampir dengan jalan raya.

Seorang penduduk Mohammad Awang, 66, berkata hakisan berkenaan semakin parah sejak dua tahun lepas dan percaya ia berpunca daripada kerja penambakan di pantai berhampiran.

“Dulu terhakis juga tapi tidaklah seteruk ini. Bila masuk musim tengkujuh bertambah teruk ditambah dengan ombak kuat yang menghempas pantai,” katanya.

Katanya batu yang ditambak itu juga tidak mampu menahan pukulan ombak dan sebahagiannya sudah dihanyutkan ombak.



Source link

read more

Liga Arab beri amaran peningkatan keganasan jika Jerusalem diberi kepada Israel



KAHERAH: Sebarang langkah mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel oleh Amerika Syarikat hanya akan meningkatkan aktiviti keganasan di rantau itu.

Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul Gheit pada Sabtu menegaskan perkara itu perlu diambil serius Presiden Donald Trump yang dijangka mengumumkan perkara tersebut minggu hadapan.

BACA: Trump dijangka iktiraf ‘Jerusalem’ sebagai ibu negara Israel minggu depan

Kenyataan Liga Arab terbabit dibuat sehari selepas pentadbiran Trump mengumumkan hasratnya itu pada Jumaat.

“Hari ini kami mahu menyatakan dengan jelas bahawa tindakan seperti itu tidak wajar kerana ia tidak akan memberi keamanan atau kestabilan.

“Tetapi akan menggalakkan lagi aktiviti ekstremisme dan galakan keganasan,” kata Ahmed Aboul dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman web Liga Arab.

Katanya, pengumuman yang dirancang oleh Trump jauh berbeza dengan keputusan yang dibuat presiden sebelumnya yang menegaskan status Jerusalem itu mesti diputuskan dalam rundingan dengan Palestin.

“Ia hanya memberi manfaat kepada satu pihak iaitu kerajaan Israel yang bermusuhan dengan keamanan,” katanya lagi.

Masyarakat antarabangsa sebelum ini tidak mengiktiraf dakwaan Israel terhadap semua bandar, tempat suci bagi agama Islam, Yahudi dan Kristian yang diduduki rejim dan mahu keputusan dibuat memihak kepada Palestin.

Bagi umat Islam sedunia, ‘Jerusalem’ adalah nama yang tidak diiktiraf sebaliknya mahu terus mengekalkan kedaulatan dan kebebasan Baitulmaqdis.



Source link

read more

Tuah kali pertama serta pertandingan memancing – Wilayah


PUTRAJAYA 2 Dis. – Percubaan kali pertama seorang peniaga menyertai pertandingan memancing ternyata membawa tuah apabila berjaya mengondol tempat pertama dalam pertandingan mengail tradisional dengan menggunakan joran buluh di Kolam Taman Warisan Pertanian di sini.


Menurut Mohd. Afify Abdullah, 34, dia tidak menyangka kejayaannya menaikkan sebayak dua kali ikan pacu yang masing-masing bersaiz 1.24 kilogram (kg) dan 1.2 kg dalam tempoh kurang 10 minit selepas acara tersebut bermula membuahkan hasil.


“Saya tak sangka boleh memenangi pertandingan ini sedangkan saya baru kali pertama mencuba selepas mengetahui acara ini melalui laman sosial, Facebook.


“Mungkin kejayaan ini merupakan rezeki anak saya yang bakal lahir tidak lama lagi dan anak sulung saya yang berumur 11 bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Dalam pada itu, sebagai johan, Mohd. Afify, berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000, manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Hamidon Mat Aris dan Husni Panjang yang masing-masing berjaya menaikkan ikan pacu seberat 1.13 kg dan 1.06 kg.


Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 dan RM500.


Kesemua hadiah itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Floria Sdn. Bhd. (PFSB), Haslinda Khalid dan Pengarah Urusan Menawar Resources Sdn. Bhd., Abdul Wahab Khalid.-UTUSAN ONLINE.



Source link

read more

173 kes baharu HIV di Pahang



KUANTAN: Sebanyak 173 kes baharu HIV direkodkan di Pahang pada pada tahun ini, dengan 82 peratus daripadanya adalah lelaki.

Pengarah Kesihatan Pahang Dr Sha’ari Ngadiman berkata 57 peratus daripada jumlah itu adalah anak muda yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 39 tahun.

“Pahang juga menunjukkan tren penurunan kes baharu HIV sebanyak 74 peratus berbanding tahun 2002. Kes pertama direkodkan di Pahang pada tahun 1989 dan jumlah kumulatif sehingga 18 Nov lalu ialah 11,156 kes HIV.

“Daripada jumlah itu, 2,328 ialah kes AIDS dan terdapat 2002 pesakit HIV dan AIDS telah meninggal dunia,” katanya semasa berucap merasmikan Sambutan Hari AIDS Sedunia 2017 Peringkat Pahang di Serambi Teruntum di sini, semalam.

Dr Sha’ari menambah statistik rawatan anti-retroviral (ARV) di Pahang untuk tempoh Januari hingga September lalu pula mencapai 28.4 peratus, meningkat daripada 16.8 peratus pada tahun 2016.

Sehubungan itu, Dr Sha’ari menasihatkan mereka yang berisiko tinggi mendapat HIV menjalani ujian saringan secara percuma bagi membolehkan rawatan ARV dilakukan segera untuk menurunkan virus itu selain mengurangkan risiko kadar jangkitan.

“Jabatan juga akan melakukan siasatan untuk mengetahui risiko jangkitan dan mereka sebenarnya tidak perlu bimbang kerana kerahsiaan mereka akan dijaga dengan baik bagi mengelakkan stigma masyarakat.

“Kita tidak akan menggunakan kenderaan rasmi jabatan apatah lagi memakai uniform semasa ke rumah pesakit. Oleh itu, saya menyeru sesiapa yang berisiko tinggi untuk tidak berasa malu untuk menjalani pemeriksaan,” katanya.

Dr Sha’ari menambah mereka juga tidak perlu bimbang dengan kos rawatan kerana dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan, dengan anggaran sebanyak RM1,900 sebulan untuk seorang pesakit.

Beliau berkata kes pertama HIV di Pahang mempunyai nilai tersendiri kepadanya kerana beliau antara pegawai yang terlibat semasa seorang wanita asing yang mendapatkan rawatan di Hospital Mentakab, Temerloh dekat sini, dikesan menghidapnya.

— BERNAMA



Source link

read more

Balqis Mentor Melenia kini bergelar isteri – Hiburan


KUALA LUMPUR 2 Dis. – Peserta Mentor Milenia 2017, Balqis selamat bergelar isteri kepada seorang ahli perniagaan Khamis lalu dalam majlis yang diadakan di The Regency Waterfront Kuala Terengganu, Terengganu.

Memberitahu majlis pernikahannya itu hanya dihadiri keluarga dan rakan terdekat, kata Balqis, sebuah majlis resepsi akan menyusul tahun hadapan.

“Memang ramai yang terkejut sebenarnya, tetapi ini permintaan keluarga saya hanya untuk mengadakan majlis secara sederhana.

“Rakan-rakan dalam Mentor Milenia termasuk Usop dan Hazama tahu akan majlis pernikahan saya cuma mereka tidak dapat hadir.

“insya-Allah majlis resepsi saya akan berlangsung tahun hadapan pada 14 April,” katanya.

Mengenali Mohd. Hakimi Ikmal, 23, sejak lima tahun lalu, kata Balqis atau nama sebenarnya Nor Balqis Ahmad Tajudin, 18, dia sebenarnya tidak gusar untuk bergelar isteri di usia muda.

“Memang awalnya rasa juga tetapi bila kita sudah lama mengenali suami jadi saya yakin untuk meneruskan hidup sebagai isteri.

“Kami juga akan belajar untuk menguruskan rumah tangga.

“Soal kerjaya memang tidak ada masalah kerana suami masih membenarkan saya teruskan seperti biasa.

“Cuma sebagai isteri saya perlu tahu batas,” katanya kepada Utusan Online. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Elak guna peralatan elektrik jika premis dinaiki air



KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai supaya meletakkan peralatan eletrik di tempat tinggi dan kering, selain menutup suis utama apabila premis mereka dilanda banjir bagi mengurangkan kemungkinan renjatan elektrik berlaku.

Pengguna yang premis mereka dinaiki air juga dinasihatkan untuk segera menghubungi TNB bagi membolehkan syarikat utiliti nasional tersebut menghentikan bekalan demi keselamatan.

“Sila hubungi pejabat TNB yang berdekatan, TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB Careline sebaik paras air meningkat, supaya kami boleh memutuskan bekalan elektrik bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” kata Pengurus Besar (Perhubungan Awam & Dalaman) TNB, Datuk Omar Sidek.

Katanya, TNB sentiasa mengawasi keadaan dari semasa ke semasa dan akan menutup bekalan ke pencawang di kawasan terlibat sekiranya paras air mencecah tahap bahaya.

“Penutupan bekalan elektrik ke kawasan terlibat dibuat untuk sementara waktu demi memastikan keselamatan orang awam terjamin. Bekalan elektrik akan disambung semula setelah air banjir surut dan keadaan kembali selamat,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa untuk sentiasa mengawasi tindak tanduk anak-anak mereka agar menjauhi tiang elektrik yang tumbang atau wayar elektrik yang terputus kerana arus elektrik dikhuatiri masih mengalir dan berbahaya serta boleh mengakibatkan kemalangan.

“Maklumkan kepada kami supaya kami boleh segera membaiki kerosakan tersebut,” katanya sambil mengingatkan orang ramai untuk menjauhi kawasan di mana paras air naik dan mencecah talian TNB.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons