Jumlah banjir menurun di Kelantan Perak tetapi meningkat di Terengganu Pahang



KUALA LUMPUR: Keadaan banjir menunjukkan peningkatan dan penurunan di beberapa kawasan di utara serta pantai timur Semenanjung.

Bagi negeri Kelantan, keadaan banjir dilihat beransur pulih apabila jumlah mangsa banjir dilihat berkurangan daripada 11,278 orang pada hari sebelumnya berbanding 10,608 orang hari ini.

Trend penurunan sama turut ditunjukkan di Perak apabila hanya 77 mangsa yang masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara di negeri itu berbanding 130 mangsa sebelum ini.

Namun, bagi negeri Terengganu, berlaku sedikit peningkatan kepada 1,479 sehingga jam 8 pagi tadi berbanding 1,148 yang dicatatkan lewat malam Sabtu.

Sementara itu, Pahang mula dilanda banjir dengan 47 penduduk daripada 14 keluarga di dua kampung di Raub menjadi mangsa banjir pertama dipindahkan di negeri ini selepas kediaman mereka dinaiki air malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang Zainal Yusof berkata dua pusat pemindahan sementara yang dibuka ialah di Surau RRM Cheroh 3, yang mula dibuka kira-kira 9.30 malam tadi dengan menempatkan 10 mangsa daripada dua keluarga.

“Manakala Balairaya Kampung Ulu Sungai pula mula dibuka 11.30 malam bagi menempatkan 37 mangsa daripada 12 keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zainal, hanya paras air Sungai Lipis di Batu Malim Raub yang menunjukkan bacaan paras bahaya 115.68 meter dan sedang dalam trend menaik, yang berisiko melimpah kawasan sekitar.



Source link

read more

Exco Srikandi, 4 AJK letak jawatan, keluar parti – Politik


ALOR SETAR 3 Dis. – Seakan-akan tidak berpenghujung, pergolakan yang berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berlarutan apabila salah seorang daripada Exco Srikandinya, Zuraini Kamal hari ini mengumumkan perletakan jawatan sekali gus keluar daripada parti.

Beliau yang juga Ketua Srikandi Kuala Kedah berkata, tindakan itu dibuat ekoran terlalu banyak isu dan polemik yang gagal diuruskan dengan baik selain tidak ditangani secara serius oleh pucuk pimpinan.

Selain Zuraini, tindakannya itu turut disusuli oleh empat lagi individu iaitu dua Ahli Jawatankuasa (AJK) Srikandi PPBM negeri, Halimaton Saadiah Shah Mat (Ketua Srikandi PPBM Pendang) dan Rukiza Abu Bakar (Ketua Srikandi PPBM Pokok Sena) serta dua AJK Srikandi Bahagian Kuala Kedah, Sopi Aziz dan Fatimah Ahmad.

“Antara isu yang gagal ditangani adalah budaya fitnah dan tidak boleh ditegur. Terus terang saya katakan, ada ramai individu yang diketepikan atau ditukar jawatannya kerana kononnya ada salah laku namun malangnya orang berkenaan tidak diberi peluang untuk membela diri.

“Kalau cuba memberi pandangan, nanti akan adalah orang tertentu yang dipecat di peringkat bahagian dengan berselindung di sebalik perkataan ‘rombakan’. Sehinggakan pada satu ketika, terdapat dua individu berada di kedudukan sama dan itu sudah tentu membawa perpecahan di peringkat bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, perkara itu pernah beberapa kali disuarakan kepada kepemimpinan parti termasuk di peringkat tertinggi namun tidak langsung dipedulikan.

“Keputusan ini bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Selepas ini sudah tentu ada yang akan menggelarkan kami sebagai pengkhianat dan pemakan dedak tetapi kami berpegang kepada prinsip berani kerana benar.

“Bukan semua benda boleh dibeli. Untuk pengetahuan, ramai dalam kalangan rakan-rakan seperjuangan yang telah meletak jawatan dan meninggalkan parti namun mereka tidak mahu untuk mendedahkannya secara terbuka atas sebab-sebab tertentu termasuk bimbang dilabelkan dengan gelaran bukan-bukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Warga Pakistan dituduh kisar rakan dalam mesin bijih



GUA MUSANG: Seorang lelaki warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gua Musang hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian dua rakannya dalam mesin pengisar bijih besi bulan lepas.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh Khan Amjad Ali, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah Norzihan Abdul Rashid, di hadapan Majistret Mohd Rosly Mohamed Nawi.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail.

Mahkamah menetapkan 1 Januari depan untuk sebutan semula kes berkenaan bagi menunggu tertuduh melantik jurubahasa Urdu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa membunuh rakannya, warga Pakistan Saleem Shah, 29, dan warga Bangladesh Mohammad Younus Ali, 38, di dalam mesin pengisar batu di lombong bijih besi Sunbay Resources Sdn Bhd Felda Aring 5 pada 11.25 pagi, 13 November lepas.

Tertuduh menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun.



Source link

read more

Gempa bumi kuat landa pesisiran pantai Ecuador



KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter melanda pesisiran pantai Ecuador pada pukul 7.19 malam ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa bumi terletak di 0.5 darjah selatan dan 80.6 darjah timur laut dari Sullana, Peru serta 17,847 kilometer dari timur laut Kinabatangan, Sabah.

Bagaimanapun, gempa itu tidak mendatangkan ancaman tsunami. — BERNAMA



Source link

read more

Banjir Marang akibat tambak tanah – Nahas & Bencana


MARANG 3 Dis. – Kejadian banjir di beberapa kawasan rendah di daerah ini dipercayai berpunca akibat penambakan tanah persendirian oleh penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang berkata, lebih memburukkan keadaan apabila berlaku fenomena air pasang yang sekali gus menyebabkan air tersekat lalu bertakung.

“Kebanyakan penempatan awal di Marang adalah di kawasan rendah tetapi tidak pernah terjejas oleh banjir kerana air dapat keluar dengan mudah ke parit dan laut.

“Walaupun kerajaan telah menyediakan kemudahan longkang yang baik namun penambakan di tanah persendirian susah untuk dihalang kerana pemilik berhak berbuat demikian,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat 270 mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing di sini hari ini.

Menurut A.Latiff, antara kawasan yang terjejas banjir ekoran masalah penambakan tanah adalah di sekitar Kelulut, Kijing dan Pasir Putih

Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat membuat pemantauan serius dan lebih awal terhadap setiap pemilik tanah yang terbabit selaras untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Najib mahu masyarakat India terus beri kepercayaan kepada BN



KUALA LUMPUR: Masyarakat India perlu bersatu dan memberi mandat yang lebih besar kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 bagi membolehkan segala usaha pembangunan untuk mereka dapat diteruskan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga mahu masyarakat India terus memberi kepercayaan kepada kepimpinan beliau dan BN untuk membina masa depan yang terjamin bagi masyarakat itu.

“Semua orang boleh cakap, tapi siapa yang boleh buat untuk orang India.

“Siapa yang mempunyai perancangan dan program yang sudah kita laksanakan dan kami akan terus melaksanakannya bagi kaum India, kalau tidak lain tidak bukan kerajaan BN,” katanya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan ke-9 Persatuan Makkal Sakti Malaysia di sini, hari ini.

Sejak menjadi Perdana Menteri, Najib berkata pelbagai usaha dilakukan untuk kesejahteraan masyarakat itu antaranya Pelan Tindakan Masyarakat India yang dilancar awal tahun ini untuk meningkatkan sosio ekonomi mereka selain pemberian dana terbesar hampir RM1 bilion untuk pembangunan sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil.

“Dalam BN kita ada satu pendekatan, yakni mahu BN disokong oleh setiap kelompok masyarakat sama ada besar ataupun kecil. Kita amal dasar bahawa Malaysia boleh maju kalau kita amalkan dasar inklusif,” kata Najib.

Perdana menteri berkata masyarakat India harus menolak parti pembangkang yang hanya menabur politik kebencian dan janji kosong.

“Pembangkang mengamalkan politik kebencian, nak jatuhkan kerajaan, tetapi kita percaya dalam politik yang membina masa depan lebih baik kepada semua rakyat Malaysia.

“Sebab itu kita mesti beri keyakinan kepada pihak yang boleh buat sesuatu dan bukannya bergantung kepada cakap-cakap dan janji-janji sahaja. Kita sebagai kerajaan BN… kita telah melaksanakan dan akan terus melaksanakan,” katanya.

Perdana Menteri  berkata beliau yakin mandat yang lebih besar akan menyumbang kepada kestabilan politik dalam negara dan pada masa yang sama mengurangkan risiko geopolitik.

Dalam pada itu, Najib berkata pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.2 peratus pada suku ketiga tahun ini dan pengukuhan kedudukan Ringgit juga menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap pengurusan ekonomi negara semakin meningkat.

Katanya Malaysia hari ini juga telah mendapat pengiktirafan agensi penarafan antarabangsa seperti Forum Ekonomi Dunia dan laporan terbaharunya meletakkan Malaysia sebagai negara ke-23 paling kompetitif di dunia.

“Inilah yang kita mesti pilih. Kita pilih kerajaan yang boleh jamin masa depan kita. Kita nak mandat yang lebih besar kepada BN sebab kita nak bina masa depan yang lebih baik untuk Malaysia,” katanya.

Turut hadir pada perhimpunan itu Presiden Makkal Sakti Datuk Seri R.S Thanenthiran, barisan kepimpinan parti serta 2,100 anggota parti.

— BERNAMA



Source link

read more

Kelantan bakal terima tajaan syarikat automotif dan kewangan – Bola Sepak


KOTA BHARU 3 Dis. – Syarikat automotif dan kewangan dilaporkan bakal menjadi penaja utama kepada pasukan Kelantan dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2018.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pihaknya sedang menjalankan rundingan dengan kedua-dua syarikat itu untuk dibawa masuk bagi mengisi kantung kewangan pasukan.

“Kita sedang memuktamadkan jumlah tajaan dan perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Bukan itu sahaja dua syarikat gergasi Jepun, Yakult dan Rohm Wako juga telah menyatakan persetujuan untuk meneruskan tajaan bagi musim 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MoU) Penajaan dan Rakan Niaga KAFA Musim 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausa Agung Kafa, Hussian Deraman.

Bibi Ramjani memberitahu, setakat ini Kafa sudah berjaya mengumpulkan tajaan berjumlah RM2 juta dalam bentuk, wang tunai, logistik, jersi, kelengkapan pasukan, dan sebagainya.

Katanya, tajaan tersebut diterima dari Al-Quds Umrah & Tour, Excel Print & Copy Center, Pakaq Gomo Gymnasium, Exa Supply da Services Sdn. Bhd dan Klinik Mesra.

“Tajaan-tajaan lain akan diumumkan dalam masa terdekat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Tiga wanita ditahan terlibat aktiviti pelacuran di Penampang



PENAMPANG: Kelicikan dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Filipina yang berselindung di sebalik premis urut untuk menjalankan aktiviti pelacuran akhirnya terbongkar selepas mereka berjaya diberkas polis dalam serbuan di pekan Donggongon, di sini, pagi tadi.

Dalam serbuan jam 4 pagi itu, kesemua suspek yang berusia antara 17 hingga 44 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sebaik sahaja menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat di lokasi terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Salehhudin Abdul Rahman berkata, selain daripada tangkapan itu, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM51 dan tiga keping kondom.

“Bertindak atas maklumat orang ramai dan risikan, kita melaksanakan serbuan di sebuah premis urut di pekan Donggongon dan berjaya menahan tiga wanita dengan dua daripadanya adalah warga tempatan manakala seorang lagi warganegara Filipina.

“Semua suspek ini disyaki terbabit dengan aktiviti pelacuran di premis urut itu dan polis turut berjaya merampas wang tunai RM51 serta tiga keping kondom dengan salah satu daripadanya sudah digunakan,” katanya, dalam kenyataan medianya, hari ini.

Jelas Salehhudin, semua suspek sudah dibawa ke balai polis berdekatan dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam 1958.



Source link

read more

Peluang ‘The Speedy Jantan’ layak dalam 200m samar – Sukan


KUALA LUMPUR 3 Dis. – Peluang Raja Pecut negara, Khairul Hafiz Jantan yang terkenal dengan jolokan ‘The Speedy Jantan’ untuk meraih tiket kategori B ke Sukan Komanwel 2018 dalam acara 200 meter masih samar ekoran ketiadaan kejohanan dalam negara mahupun luar negara pada masa terdekat.

Khairul Hafiz yang memegang rekod 200m kebangsaan dengan catatan 20.90 saat berharap, dia dapat menyertai mana-mana kejohanan dalam negara atau luar negara pada awal tahun depan bagi membolehkannya memperbaiki catatan masa untuk layak bagi kategori B.

“Acara 200m, mungkin belum ada rezeki lagi. Kalau saya layak merit ke Sukan Komanwel bagi acara itu satu bonus cuma ketika ini saya tidak tahu kejohanan terdekat yang boleh saya sertai untuk melayakkan diri ke Sukan Komanwel.

“Saya akui untuk buat catatan masa 20.64s (yang diperlukan untuk Sukan Komanwel) memang sukar tetapi kalau ada kejohanan terdekat, saya mahu mencuba,” katanya kepada pemberita ketika di temui di KL Sports City, Bukit Jalil.

Ketika ini, Khairul Hafiz telah layak kategori B acara 100m untuk ke Sukan Komanwel dan hanya menjalani latihan seperti biasa bersama jurulatihnya, Mohd. Poad Md Kassim bagi meningkatkan teknik larian sebagai persiapan ke Sukan Komanwel di Gold Goast pada 4-15 April tahun depan.

Untuk layak secara merit dan mendapat tiket kategori A di Sukan Komanwel bagi acara 100m, dia memerlukan catatan masa 10.15s.

Mengenai program latihan di luar negara bagi persiapan ke Sukan Komanwel, Khairul Hafiz berkata, ketika ini dia hanya berlatih di dalam negara dan menyerahkan kepada pihak atasan untuk menentukan keputusan menghantar atlet menjalani latihan di luar negara.

“Sebagai atlet tugas saya menjalani latihan dengan jurulatih. Saya percaya pihak atasan akan memahami keperluan kami dengan melihat cara latihan atlet olahraga,” katanya.

Dalam pada itu mengulas kenyataan seorang lagi atlet pecut negara, G. Aravin Thevarr yang berazam mahu memadam rekod kebangsaan miliknya dalam acara 200m, Khairul Hafiz berkata semangat itu sangat penting supaya mendorong dia supaya lebih bekerja keras tingkatkan prestasi di trek balapan.

“Bagi saya sangat penting ada pesaing yang mempunyai semangat seperi Aravin. Rekod kebangsaan tidak boleh dipegang lama, saya sendiri perlu berusaha keras untuk melakukan masa yang lebih baik daripada rekod sekarang,” katanya.

Selain Sukan Komanwel, Khairul Hafiz yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 100m dengan masa 10.18s turut layak beraksi dalam Sukan Asia, September tahun depan selepas memenangi pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun ini.

Mengikut sistem penarafan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), atlet atau pasukan yang melepasi kelayakan atau mempunyai merit menyertai sukan antarabangsa diletakkan dalam Kategori A dengan segala perbelanjaan atlet atau pasukan ditanggung oleh MOM sementara atlet atau pasukan berpotensi yang gagal melepasi had kelayakan di bawah kategori B perlu menanggung pembiayaan sendiri. – BERNAMA



Source link

read more

Pemuda obesiti meninggal dunia akibat sesak nafas



KUALA NERUS: Seorang pemuda obesiti, Muhamad Faisal Md Ali, 29, meninggal dunia akibat sesak nafas di rumahnya di Kampung Gelam, Mengabang Telipot, kira-kira pukul 5 pagi tadi.

Jenazah pemuda seberat 286 kilogram itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Mengabang Telipot, dekat sini selepas solat Zuhur.

Ibunya, Kasma Md Nor, 58, berkata beliau menyedari Faisal mula sesak nafas setengah jam sebelum itu ketika ingin bangun menunaikan solat Subuh.

“Ketika itu saya melihat wajah Faisal berpeluh dan dia semacam sukar bernafas. Saya tepuk-tepuk pipinya dan meminta abangnya supaya segera memanggil pembantu perubatan dari Klinik Kesihatan Batu Rakit untuk melihat keadaan anak saya.

“Tidak lama selepas pembantu perubatan sampai dan memeriksa Faisal, anak saya disahkan sudah tiada,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengebumian Allahyarham Faisal.

Anak bongsu daripada lima beradik itu sebelum ini terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu kira-kira dua bulan akibat sesak nafas dan baru sahaja pulang ke rumah empat hari lalu.

Mengulas antara permintaan akhir anaknya sebelum meninggal dunia, Kasma berkata ketika sedang mendapatkan rawatan di hospital, arwah anaknya pernah memintanya membuatkan makanan kegemarannya iaitu nasi kerabu.

“Tetapi saya beritahu pada dia tak boleh, Doktor tak bagi. Sepanjang di hospital memang Faisal hanya diberikan minum susu enam kali sehari oleh doktor,” katanya sebak.

Kasma yang juga seorang pengusaha kuih-muih di kampung tersebut berkata pemergian Faisal satu kehilangan besar baginya kerana selama ini arwah antara anak yang rajin membantunya membuat kuih-muih untuk jualan harian.

“Arwah juga seorang yang periang, boleh kata dia merupakan penghibur kepada keluarga kami, makcik akan rindu senda gurau Faisal nanti,” katanya.

— BERNAMA



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons