Pindah Kedutaan AS Abbas terima panggilan Trump



KUALA LUMPUR: Presiden Palestin Mahmoud Abbas dilaporkan telah menerima panggilan telefon daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa, berhubung hasratnya memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis.

Perkara itu disahkan jurucakap Abbas, Nabil Abu Rdainah, di Ramallah, yang menyatakan Abbas telah menjelaskan pendirian bahawa keputusan terbaharu itu bakal menyulitkan lagi keadaan terutamanya membabitkan proses damai yang dipersetujui sebelum ini.

Malah, menurutnya, Abbas juga tidak menolak kemungkinan sekiranya ia berlaku, tidak mustahil ia bakal menjadi titik noktah kepada perjanjian damai itu sendiri.

Bagaimanapun butiran jelas dalam perbualan antara Trump dan Abbas tidak didedahkan.

Sementara itu, Reuters melaporkan, White House mengesahkan perbincangan Trump dengan lima pemimpin Asia Barat mengenai beberapa keputusan yang bakal dibuat berhubung Baitulmaqdis.

Selain Abbas, pemimpin terbabit adalah with Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Raja Jordan, Raja Abdullah, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, menurut kenyataan White House.

Dalam perbualan mereka, Trump juga dikatakan mengesahkan semula komitmen beliau berhubung perjanjian damai Israel-Palestin.



Source link

read more

500 penduduk diancam banjir termenung – Nahas & Bencana


KOTA BHARU 5 Dis. – Kira-kira 500 penduduk kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh, di sini berdepan dengan situasi banjir termenung walaupun bah di negeri ini telah pulih sepenuhnya.

Pentadbir Mukim DUN Pasir Tumboh, Wan Azizi Wan Ab. Ghani berkata, antara kampung terlibat adalah Kampung Kubang Keranji, Kampung Likong, Kampung Tini, Kampung Padang Enggang, Kampung Jaya dan Kampung Kubang Kacang.

Menurutnya, projek pembangunan tidak tersusun selain perparitan yang tidak diselenggara dengan baik menjadi antara punca air mudah bertakung dan tidak mengalir dengan baik.

“Kita harap pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan drastik bagi memastikan kawasan terbabit tidak lagi diancam situasi tersebut.

“Keadaan ini akan memberi kesan kesihatan yang tidak baik kepada masyarakat kerana takungan air itu boleh membawa penyakit berjangkit seperti denggi,” katanya ketika meninjau kawasan terbabit, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk terbabit, Nik Rosli Nik Man, 47, memberitahu, masalah tersebut berlaku ekoran saliran perparitan yang tertimbus sejak sekian lama tetapi tidak diselenggara oleh pihak berkuasa.

“Ini menyebabkan aliran air tersekat. Jika hujan lebat berterusan air mula memenuh dan melimpah ke seluruh kawasan rumah,” katanya. 

Seorang lagi penduduk, Wan Nordin Wan Mahmood, 56,  berkata, situasi banjir termenung menjadi masalah utama penduduk setiap kali berlaku hujan lebat dan tibanya musim tengkujuh.

“Mana tidaknya, semua kawasan yang dilanda banjir telah pulih, namun kawasan kita masih lagi digenangi air.

“Lebih merumitkan lagi apabila masalah ini bukan sahaja akan berlaku waktu musim tengkujuh, tetapi setiap kali berlakunya hujan lebat,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Nak tahu Musang King asli atau tidak Kod QR bakal diperkenal



KUALA LUMPUR: Keaslian durian Musang King akan dikenal pasti pada masa akan datang melalui penggunaan teknologi “Radio-Frequency Identification (RFID)” yang akan membezakannya daripada durian biasa, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata durian-durian itu akan diberikan Kod QR bagi memastikan keasliannya.

Katanya, kaedah pengesanan menerusi RFID itu kini telah diguna pakai untuk pengedaran Sarang Burung Walit apabila setiap sarang akan mempunyai kodnya sendiri bagi tujuan mengenal pasti dari mana ia dikeluarkan.

“Sehubungan itu, setiap durian Musang King dan durian lain pada masa depan akan diberi kod (QR Code). Kod itu membolehkan orang ramai mengimbasnya menerusi telefon bimbit.

“Di China, durian banyak datang dari Thailand tapi apabila ada QR Code maka lebih mudah untuk mengenal pasti negara yang mengeksport durian tersebut, QR Code ini penting untuk memastikan keasilan durian itu,” katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahman Mat Yasin pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Ahmad Shabery berkata setakat ini kira-kira 23,700 hektar tanah daripada keseluruhan 66,000 hektar tanah untuk tanaman durian di seluruh negara ditanam dengan durian jenis Musang King, manakala 569,087 pokok daripadanya 1.5 juta pokok durian yang didaftarkan adalah pokok durian Musang King.

“Durian Musang King adalah punca kekayaan baharu untuk negara ini kerana nilai pasaran dan eksport yang tinggi ke dunia luar. Permintaan terhadap durian Musang King ini dijangka meningkat pada masa akan datang,” katanya. – BERNAMA



Source link

read more

Baitulmaqdis jadi ibu negara Israel Iraq beri amaran buat Trump



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Iraq Haider al-Abadi memberi amaran kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump agar tidak memandai-mandai dalam mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Tegas Haider “tidak ada pihak yang boleh membuat keputusan sendiri berkaitan isu di Asia Barat.”

Dalam kenyataannya kepada media pada Selasa, Haider menegaskan kerajaan Iraq menolak sekeras-kerasnya cadangan Trump bagi memindahkan Kedutaan AS ke kota suci itu.

Trump memberitahu Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Selasa, beliau berhasrat memindahkan Kedutaan AS di Israel ke Baitulmaqdis, menyalahi polisi AS selama beberapa dekad yang menyatakan status bandar itu mesti diputuskan dalam perundingan dengan rakyat Palestin. 

Beliau pada masa sama beliau memberi amaran cadangan berkenaan sekiranya dilaksanakan akan memberi kesan buruk kepada kestabilan bukan hanya di rantau berkenaan malah akan membangkitkan kemarahan seluruh umat Islam.

Justeru beliau menggesa semua negara Islam memainkan peranan masing-masing dalam memastikan hasrat Trump ini tidak akan dapat direalisasikan.

Tindakan kontroversi Trump itu hakikatnya bukan isu baharu kerana beliau dalam kempen pemilihan presiden sebelum ini telah berjanji akan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis sekiranya terpilih menduduki White House.



Source link

read more

16 tan keperluan harian diagih di 30 kampung Orang Asli – Nasional


SEREMBAN 5 Dis. – Lebih 16 tan bahan keperluan dapur akan diagihkan kepada 636 keluarga Orang Asli di Negeri Sembilan menerusi program Komuniti Belia Prihatin ‘Kembara Denai Dakwah’.

Pengerusi Persatuan Bridged Negaraku, Khairul Nizam Mohd. Sopery berkata, program selama dua hari itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Majlis Belia Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Tampin.

Beliau berkata, program kali pertama diadakan itu akan memasuki 30 buah kampung Orang Asli yang majoriti penduduk beragama Islam bagi menyampaikan sumbangan daripada MAINS.

“Sebanyak 14 buah kenderaan termasuk dua lori JKR Tampin akan menyertai konvoi bagi menghantar barangan keperluan harian. Kita ingin sampaikan mesej kepada masyarakat bahawa Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman juga perlu diberi perhatian,” katanya selepas majlis pelepasan konvoi bantuan itu di sini hari ini.

Pelepasan konvoi tersebut disempurnakan Setiausaha MAINS, Kamal Amran Kamarudin. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

PAU2017 Pembahas harus tumpu suara denyut nadi rakyat



KUALA LUMPUR: Perwakilan harus menumpukan kepada suara dan denyutan nadi rakyat ketika perbahasan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2017 selama lima hari bermula hari ini.

Itu adalah pesanan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti dalam satu perjumpaan tertutup di sini dengan perwakilan yang akan membahaskan ucapan dasar presiden dan tiga usul utama iaitu ekonomi, agama dan pendidikan.

Menurut Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Datuk Seri Ahmad Zahid berpesan supaya semua jurucakap dan pembahas menggunakan kesempatan dan platform itu menyuarakan isu termasuk masa depan negara.

“UMNO  tidak boleh tercabut daripada suara hati dan denyutan nadi rakyat. UMNO harus terus menjadi penyambung kepada lidah perjuangan agama, bangsa dan negara,” katanya selepas menghadiri majlis tertutup itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, Datuk Seri Ahmad Zahid juga berpesan agar usul yang akan dibahaskan nanti dapat mengukuhkan lagi solidariti dan kekuatan anggota serta pendukung parti dalam berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Jurucakap harus memainkan peranan menyemarakkan obor-obor idealisme dan semangat perjuangan UMNO kerana parti tunjang Barisan Nasional ini telah tujuh dekad berada di persada perjuangan memartabatkan bangsa, agama dan negara.

“Adalah penting bagi jurucakap dan wakil menyemarakkan dan menyuburkan idealisme supaya ia bukan hanya didakap anggota parti di dalam dewan tetapi kepada rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

— BERNAMA



Source link

read more

Pindah Kedutaan AS Kumpulan pejuang Palestin mahu negara Islam main peranan



KUALA LUMPUR: Kumpulan pejuang pembebasan Palestin menyeru agar ‘Hari Kemarahan’ dilancarkan pada Rabu berikutan kemungkinan Amerika Syarikat (AS) mengambil langkah mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Antara yang berkumpul mengadakan mesyuarat pada Selasa termasuk kumpulan pejuang Hamas di Gaza.

Mereka menyeru agar demonstrasi diadakan di negara Arab dan kota utama negara Islam sebagai tanda protes terhadap keputusan AS, termasuk hasrat Presiden Donald Trump memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis.

Menurut Ketua Barisan Demokratik Pembebasan Palestin Talal Abu Zarefa, negara Islam sepatutnya memainkan peranan dalam isu ini.

“Kita mesti menguatkan gerakan popular yang menolak dasar ini dan perlu menyatakan perpaduan rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat, 48 wilayah dan kem pelarian.

“Ia bagi menekankan bahawa Baitulmuqaddis adalah garis merah dan ia adalah ibu kota negara Palestin, dan kita tidak boleh menerima apa-apa cara yang membahayakan Baitulmaqdis,” katanya.

Trump dilaporkan memberitahu Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Selasa, beliau berhasrat memindahkan Kedutaan AS di Israel ke Baitulmaqdis, menyalahi polisi AS selama beberapa dekad yang menyatakan status bandar itu mesti diputuskan dalam perundingan dengan rakyat Palestin.



Source link

read more

Gerbang Selatan bakal merubah wajah Cukai – Nasional


KEMAMAN 5 Dis. – Projek  bersepadu pusat komersial Gerbang Selatan di tapak seluas 5.6 hektar yang sedang dibangunkan bakal merubah landskap bandar Cukai  selain melonjakkan perkembangan ekonomi dan pertumbuhan bandar industri ini.

Fasa pertama melibatkan blok pejabat dan perkedaian sebanyak 11 unit  tiga tingkat  telah siap Oktober lalu manakala pangsapuri  18 tingkat yang kelak akan menjadi mercu tanda bandar ini dijangka siap Mac tahun depan sebelum disusuli dengan pembangunan pusat membeli-belah dan hotel.

Majlis penyerahan kunci kepada pemilik projek fasa pertama disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Johan Ibrahim di sini hari ini. Setiap unit dijual pada harga RM1.5 juta hingga RM2 juta.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan JV Muhibbah Sdn Bhd, Datuk Soh Kok Hiang dan pengarah syarikat, Ghani Azahri.

Gerbang Selatan  yang terletak di Jalan Jakar, berhampiran kawasan riadah Kemaman Waterfront  dibangunkan oleh JV Muhibbah,sebuah anak syarikat New Tech Group melalui projek  projek penswastaan yang dimeterai dengan MPK pada 8 Mei 2013.

Menurut Kok Hiang,  majlis penyerahan hari ini adalah sebahagian daripada komitmen syarikatnya untuk fasa pertama projek Gerbang Selatan idan kini di fasa kedua sebagaimana yang dirancangkan.

Menyentuh mengenai pembinaan pangsapuri, Kok Hiang memberitahu, sebanyak 264 unit disediakan dengan harga jualan RM370,000 hingga RM880,000 dengan kediaman selesa di kawasan strategik pusat bandar.

Sementara itu, Johan berkata, projek kerjasama dengan sektor swasta seperti ini akan membantu meningkatkan lagi perkembangan ekonomi di daerah termasuk dengan penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Tekad perangi isu keganasan terhadap wanita kanak-kanak – Perwakilan Puteri UMNO



KUALA LUMPUR: Perjuangan memerangi keganasan, terutamanya terhadap golongan wanita dan kanak-kanak tidak pernah berakhir bagi pergerakan Puteri UMNO.

Ketua Puteri UMNO Kuala Pilah June Artisha Mohamad Nazari berkata pihaknya menyedari kebimbangan meruncing mengenai perkara ini dan sentiasa mencari jalan bagi menyelesaikan masalah ini, atau sekurang-kurangnya mengurangkannya.

“Kita lihat pada tahun lepas, Puteri telah mengemukan usul mengenai keganasan seksual dan pedofilia dan akhirnya kita lihat akta baharu diwujudkan serta penubuhan Mahkamah Khas bagi membicarakan kes-kes sebegini.

“Di pihak Puteri sendiri, usaha sering dilakukan bagi merencana program untuk meningkatkan kesedaran berhubung isu ini,” kata beliau.

Pada Selasa, syarikat penyelidikan Ipsos yang berpengkalan di Paris, Perancis mengeluarkan kaji selidik berhubung isu-isu yang membimbangkan rakyat Malaysia.

Antara isu yang menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia adalah isu kawalan imigrasi atau kemasukan warga asing, tadbir urus kerajaan dan korporat serta pengangguran.

Isu jenayah dan keganasan berada di tempat keempat daripada 10 perkara yang menjadi kerisauan rakyat Malaysia dalam kaji selidik tersebut.



Source link

read more

Jurugambar Utusan Malaysia menang tempat kedua Pertandingan Fotografi ‘PM Prihatin Rakyat’ – Nasional


KUALA LUMPUR 5 Dis. – Jurugambar Utusan Malaysia, Mohammad Naim Firdaus Abdul Aziz memenangi tempat kedua Pertandingan Fotografi ‘Perdana Menteri Prihatin Rakyat’ anjuran Jabatan Penerangan dan Media UMNO Malaysia.

Foto Mohammad Naim Firdaus yang memaparkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melaungkan slogan 1 Malaysia bersama warga Saujana Utama dalam program santai di Sungai Buloh pada 2 Mac 2013 membolehkan beliau membawa pulang wang tunai RM3,000.

Hadiah disampaikan sendiri oleh Najib dalam satu majlis ringkas di Perhimpunan Agung UMNO ke-71 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Tempat pertama dimenangi oleh Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd. (NSTP) yang membawa pulang wang tunai RM5,000 dan tempat ketiga dimenangi oleh Bernama yang membawa wang tunai RM1,500.

Manakala bagi saguhati dimenangi oleh NSTP yang membawa pulang wang tunai RM500 (tiga penyertaan); Bernama (satu penyertaan); Malaysia Gazette (satu penyertaan) dan seorang tentera.

Pertandingan tersebut merupakan karya peribadi peserta yang memaparkan Perdana Menteri bersama rakyat bertemakan keprihatinan Perdana Menteri dalam membantu rakyat. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons