TUMPAT 6 Dis. – Polis Kelantan sentiasa melakukan rondaan di musim banjir bagi mengelak berlakunya kejadian pecah rumah ketika mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hasan berkata, rondaan tersebut sentiasa dilakukan meskipun anggotanya turut terlibat dengan kerja-kerja memindahkan mangsa banjir.

“Orang ramai dinasihatkan sekiranya terlihat gerak-geri individu yang mencurigakan di kawasan mereka agar segera maklumkan kepada pihak kami.

“Ini bagi membolehkan tindakan segera diambil oleh polis untuk mengekang aktiviti tidak sihat itu berlaku,” katanya

kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok, Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Superintendan Mohamad Pajeri Ali dan Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Ab. Rahman.

Hasanuddin memberitahu, pihaknya juga sedang mengenal pasti jumlah kerosakkan melibatkan balai-balai miliknya yang ditenggelami banjir gelombang pertama minggu lalu.

“Saya sudah arahkan Ketua-ketua Polis Daerah yang terlibat untuk meneliti jumlah kerosakan. Sepanjang tempoh tersebut, balai-balai ini tetap beroperasi seperti biasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: