KUALA LUMPUR 7 Dis. – Ahli-ahli UMNO kini perlu berada pada `attack mode’ bagi melancarkan serangan ke atas pihak pembangkang khususnya di dalam perang siber, dilihat agak ketinggalan pada masa ini.

Senator Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku jeneral perang telah meniupsemboyan ahli-ahli UMNO perlu menyahut dan menterjemahkannya dalam bentuk serangan teratur dan terarah.

“Ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO hari ini jelas dan lengkap, jadi ia perlu diambil serta dibawa pulang sebagai peluru untuk digunakan bagi menyerang pembangkang.

“Ucapan Presiden perlu dijadikan video-video pendek untuk diedarkan dan tularkan di media sosial. Ini digemari oleh golongan muda yang berpendidikan dan bakal menjadi pengundi majoriti pada pilihan raya akan datang,” katanya pada ketika ditemubual pada segmen Sembang Online di studio mini Utusan Online di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2017) di sini hari ini.

Menurut beliau, ahli-ahli UMNO perlu menggunakan telefon bimbit yang ada untuk memberi penjelasan dan memperbetulkan persepsi tentang kerajaan yang telah banyak melakukan pelbagai usaha dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat dijaga.

Antara yang diberi penekanan, kata beliau, ialah dalam menangani masalah kos sara hidup, kemudahan perubatan dan mencipta peluang pekerjaan.

Pelbagai pembangunan juga, jelas beliau, telah dilakukan tetapi oleh kerana tidak diperjelaskan kepada masyarakat kerajaan dianggap tidak melakukan apa-apa setelah dikaburkan fikiran mereka tentera siber pembangkang.

“Ahli UMNO tidak ada pilihan mereka perlu bangkit kerana mereka adalah pejuang parti yang memperjuangkan Islam dan Melayu, jika parti ini tiada, maka tiadalah lagi payung yang meneduhi orang Melayu serta Islam pada masa yang sama memastikan kaum lain di negara ini turut dibela,” katanya.

Parti-parti pembangkang yang ada di negara ini, katanya, termasuk yang baharu ditubuhkan atau yang telah lama berada di persada politik lebih kepada bermatlamat perjuangan peribadi dan ada yang terang-terangan hendak menghapuskan terus semua hak istimewa yang dinikmati oleh orang Melayu, bumiputera dan Islam sekali gus melalui konsep Malaysia, Malaysian.

Oleh itu, ujar beliau, ahli UMNO perlu menggunakan telefon bimbit yang ada sebagai senjata dan diperluaskan lagi penggunaannya kepada sanak saudara bagi memerangi salah tanggap di alam siber terhadap UMNO dan kerajaan.

“Saya yakin dengan kejayaan perang siber dan perpaduan utuh dalam kalangan UMNO ia akan memberi kemenangan yang besar kepada Barisan Nasional (BN),” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: