KUALA LUMPUR 6 Dis. – Syarikat pengangkutan ekspres terbesar dunia, FedEx Express (FedEx) melancarkan Pusat Kiriman FedEx (FSC) pertamanya di Kuantan, Pahang.

Pengarah Urusan FedEx Express Malaysia, Siang-Chung Chong berkata, FSC itu juga merupakan pejabat penghantaran yang pertama di Pantai Timur.

Menurut beliau, dengan adanya pejabat baharu itu pelanggan di sekitar Kuantan boleh menikmati kemudahan pengiriman yang lebih baik.

“Mereka boleh meninggalkan dan mengambil bungkusan mengikut kesesuaian masa mereka.

“Pelanggan juga dapat memanfaatkan khidmat penghantaran yang lebih pantas dan dipercayai ke lebih 220 negara dan wilayah di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chong menambah, pembukaan FSC menyokong pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan negeri-negeri di Pantai Timur.

Katanya, projek itu dijangka merubah landskap ekonomi Pantai Timur dengan memacu pembangunan, menggalakkan pelaburan dan melonjakkan pertumbuhan ekonomi di wilayah tersebut.

“Penghantaran yang pantas dan dipercayai menjadi penentu kepada kejayaan perniagaan terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mewakili 98.5 peratus perniagaan di Malaysia.

“Kuantan sebagai pintu masuk ke Pantai Timur adalah lokasi yang ideal untuk FedEx bagi memenuhi keperluan PKS di Pahang, Terengganu dan Kelantan sekali gus membantu menghubungkan mereka dengan pelbagai peluang di seluruh dunia,” ujarnya.

Pejabat FSC terletak di Jalan Darat Makbar dan dibuka pada hari Isnin sehingga Jumaat dari 9 pagi hingga 6 petang sementara hari Sabtu dari pukul 9 pagi hingga pukul 1 tengah hari. Pejabat ditutup pada hari Ahad dan kelepasan am. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: