KUALA LUMPUR: Mantan Pemuda UMNO merupakan aset penting kepada parti kerana sumbangan dan peranan mereka sememangnya amat besar bagi memastikan parti itu terus relevan sehingga kini, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, berkata bagi mengekalkan kelangsungan parti, mantan Pemuda UMNO diminta mengetepikan sifat ‘assabiah’ dan semangat ‘kabilah’ serta bersama-sama mencurahkan segala ilmu pengetahuan yang ada kepada pemimpin-pemimpin muda.

“Biarpun ada tembok mahupun kubu menghalang tapi apabila bertekad, kita wajib tentukan kemenangan,” katanya ketika merasmikan Perjumpaan Mantan Pemuda di sini, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta perjumpaan seperti itu diperluaskan kepada mantan-mantan kepimpinan Pemuda dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang akan turut memberikan semangat kekitaan dalam diri anggota komponen BN.

Hishammuddin dalam ucapan ringkasnya menyeru bekas-bekas Pemuda mencurahkan pengalaman kepada orang muda selain merapatkan saf dengan membantu calon-calon BN beroleh kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Majlis berbentuk santai yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 itu bertujuan mengeratkan kembali hubungan silaturahim sesama rakan seperjuangan semasa bergiat dalam Pergerakan Pemuda UMNO.

Perjumpaan Mantan Pemuda itu merupakan edisi ke-4 yang mana kali pertama program tersebut diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014.

Perhimpunan Agung UMNO 2017 berlangsung bermula 5 Dis hingga Sabtu ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan 5,739 perwakilan menghadiri perhimpunan itu.

— BERNAMA



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: