ARAU 7 Dis. – Universiti Malaysia Perlis (Unimap) amat menghargai segala sumbangan melalui saluran wakaf dan endowmen daripada syarikat-syarikat korporat, industri serta individu yang menyokong selama ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, segala kerjasama itu diharapkan akan diteruskan lagi sebagai satu kesinambungan untuk menghasilkan situasi menang-menang jangka panjang secara bersama.

Sehubungan itu, Unimap juga amat mengalu-alukan potensi suntikan dana daripada sumber-sumber penyumbang baru dari dalam dan juga luar negara kepada universiti muda yang baru mencecah usia 15 tahun itu untuk terus kekal relevan dan berdaya saing di peringkat kebangsaan dan juga global.

“Mana-mana pihak baru yang berminat untuk menyumbang melalui skim wakaf atau endowmen kepada universiti boleh mengubungi Penolong Naib Canselor Keusahawanan dan Kelestarian Kewangan Unimap, Prof. Datuk Wira Dr. Mohd Salleh Din untuk mendapat maklumat lanjut,” titah baginda.

Baginda selaku Canselor Unimap bertitah demikian ketika mencemar duli menerima taklimat ‘post-mortem’ pengurusan tertinggi bagi membentangkan tindakan-tindakan susulan yang bakal diambil hasil daripada program ‘Jelajah Ilmu Unimap ke Kazakhstan dan Azerbaijan’ baru-baru ini yang diadakan di Galeri DiRaja Arau.

Turut hadir, Naib Canselor Unimap, Prof Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Timbalan Naib Canselor bagi Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Unimap, Prof. Mohd. Fo’ad Sakdan.

Baginda juga menzahirkan ucapan penghargaan kepada para penyumbang dari kalangan rakan Unimap untuk hadiah-hadiah industri pada Istiadat Konvokesyen Ke-12 baru-baru ini.

Titah baginda, sumbangan itu diberikan kepada 43 pelajar yang memperolehi CGPA melebihi 3.50 serta aktif dalam ko-kurikulum dan mempunyai ciri kepimpinan serta hadiah-hadiah inovasi yang diberikan kepada 43 siswazah yang dipilih berdasarkan potensi daya Inovasi yang ditunjukkan dalam Projek Tahun Akhir.

Titah baginda lagi, antara syarikat yang menaja hadiah industri ialah Kumpulan Media Karangkraf, On Semiconductor, Silterra, Elsevier, Emerald System, Tekmark, CIMA, iLAB, Dream Catcher, Unimap Holdings dan banyak lagi.

Manakala bagi Hadiah Buku pula, sumbangan dari pelbagai syarikat nasional dan multinasional antaranya United Technology (M) Bhd., Springer, ProQuest, Wiley dan lain-lain lagi telah diterima untuk dianugerahkan kepada 88 orang pelajar terbaik dari semua program, berdasarkan CGPA tertinggi, serta cemerlang dalam kokurikulum.

Baginda juga menzahirkan terima kasih kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kerana sentiasa berkolaborasi dengan Unimap dalam aktivitinya. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: