KUALA TERENGGANU 31 Dis. – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melakar satu lagi transformasi hari ini apabila menjadi kampus tanpa tunai pertama di pantai timur menerusi pelancaran aplikasi dompet elektronik (e-dompet), Boost.

Aplikasi yang dibangunkan oleh syarikat di bawah Axiata Digital eCode Sdn. Bhd. itu membolehkan seluruh warganya termasuk 12,000 pelajar di tiga kampus iaitu di Gong Badak, juga di Besut dan Perubatan di sini menggunakan e-dompet sebagai kaedah pembayaran tunggal untuk semua urus niaga pembelian dalam kampus.

Pengerusi Lembaga Pengarah universiti itu, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, Boost akan menyediakan pelajar  dengan gaya hidup digital dan pengalaman menyeronokkan melalui pembelian yang lebih mudah, tambah nilai telefon, penghantaran dan pengeluaran wang serta pemberian hadiah digital.

Katanya, pengguna dapat memanfaatkan e-dompet di mana-mana kedai yang mempunyai kod QR sekali gus mengurangkan kesulitan pembayaran secara tunai atau kad debit dan kad kredit.

“Matlamat UniSZA adalah untuk menjadi kampus tanpa tunai terunggul dan inovatif, bermula dengan mentransformasikan semua perkhidmatan di dalam kampus supaya lebih mudah diakses secara digital,” katanya dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2018 dan pelancaran UniSZA tanpa tunai di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, di sini hari ini.

Yang hadir sama Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaifi Abdul Latif dan Ketua Tanggungjawab Korporat dan Perhubungan Kerajaan Celcom Axiata Berhad, Saiful Bahrin Abdul Ghaffar.

Menurut Kamarudin, kerjasama strategik bersama Celcom Axiata Berhad itu merupakan salah satu usaha UniSZA untuk memperkayakan pelajar dengan kemudahan dan bantuan dalam pembelajaran.

Katanya, selain kampus tanpa tunai, universiti itu turut terpilih sebagai salah satu institusi pengajian tinggi (IPT) yang tersenarai dalam program Siswapreneur Celcom bagi melatih dan membangunkan potensi pelajar dalam bidang keusahawanan di samping turut menerima sumbangan foodcart. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: