Trafik KL keluarkan 327 saman pada Op Tutup malam tadi



KUALA LUMPUR: Sebanyak 327 saman dikeluarkan ke atas penunggang motosikal dan pemandu kereta pada Op Tutup yang dijalankan di beberapa lokasi bagi mengekang kegiatan samseng jalanan dan lumba haram di ibu negara, malam tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Supt Ahmad Adnan Basri berkata operasi khas bersepadu itu dijalankan dengan kekuatan 100 pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Dang Wangi.

“Sebanyak 970 motosikal dan 138 kenderaan lain telah diperiksa dalam operasi itu yang bermula 10 malam dan berakhir pada 1 pagi,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Op Tutup di Jalan Raja Laut di sini.

Beliau yang mengetuai operasi itu, berkata tiga tangkapan turut dibuat atas kesalahan dadah dan alkohol.

Selain itu, Ahmad Adnan berkata pihaknya juga menahan seorang lelaki yang membawa tiga wanita Thailand di dalam kereta yang dipandunya.

“Siasatan lanjut dan ujian urin akan dijalankan ke atas lelaki terbabit manakala tiga wanita Thailand itu dibawa ke IPD Dang Wangi untuk didokumentasi dan semakan,” katanya.

Ahmad Adnan berkata operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan tidak sihat oleh kumpulan ‘mat motor’ seperti berlumba sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain dan mengganggu ketenteraman awam.

Beliau berkata tumpuan adalah di  kawasan Dataran Merdeka, Jalan Bukit Aman dan Jalan Raja Laut yang dikenal pasti sebagai lokasi panas kumpulan berkenaan terutamanya pada hujung minggu.

“Mereka semakin ghairah melakukan aksi berbahaya sekiranya ramai penonton pada sekitar 11 malam sehingga awal pagi. Operasi ini bagi mengekang kegiatan lumba haram daripada terus berleluasa di ibu negara,” katanya.

— BERNAMA



Source link

read more

Pertukaran pegawai tadbir proses biasa – Ahmad Razif – Terengganu


KUALA TERENGGANU 31 Dis. – Pertukaran melibatkan 44 pegawai tadbir negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam rombakan terbaharu merupakan amalan biasa apabila berlaku persaraan wajib terutama apabila melibatkan kalangan para pegawai kanan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, berikutan persaraan mereka  hari ini, pengisian akan melibatkan  rantaian pergerakan ramai para pegawai yang bertukar dan sebahagiannya dinaikkan pangkat.

Beliau memberitahu, tiga pegawai bersara itu ialah Pengarah PTG negeri, Datuk Mohd. Akil Mat; Datuk Bandar Kuala Terengganu, Mohd. Zulkifli Abu Bakar dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Yasin Awang.

“Disebabkan tiga pegawai tertinggi ini mulai bersara berkuat kuasa hari ini maka berlaku rombakan dalam struktur pegawai tadbir negeri, dan kita harap perubahan ini dapat memberi satu kekuatan baharu kepada pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Ahmad Razif menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Serah Tugas Pegawai Kanan Negeri dan Angkat Sumpah Pihak Berkuasa Tempatan Negeri di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Pada 20 Disember lalu, Pejabat Setiausaha Kerajaan telah mengeluarkan arahan pertukaran melibatkan 44 pegawai tadbir itu.

Antara yang terlibat ialah Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Wan Mohd. Wan Ibrahim ditukarkan ke jawatan Pengarah Tanah dan Galian Terengganu dan jawatan lama beliau diganti oleh Pegawai Daerah / Pentadbiran Tanah Besut, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar.

Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu, Samiun Salleh ditukarkan ke jawatan Datuk Bandar Kuala Terengganu manakala Pegawai Daerah / Pentadbiran Tanah Hulu Terengganu, Azmi Razik bertukar ke jawatan sama di Kuala Terengganu.

Pegawai Daerah / Pentadbiran Tanah Marang, Zainal Abidin Mohamed ditukarkan ke jawatan yang sama di Hulu Terengganu diikuti Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Shahidan Embok ke jawatan Pegawai Daerah/Pentadbiran Tanah Besut.

Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Mat Azmi Arshad beralih ke jawatan Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Marang; Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Osman A. Bakar ke jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun; Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Wan  Mohd. Anuar Wan Endut ditukarkan ke jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu.

Yang Dipertua Daerah Marang, Rozali Salleh bertukar ke jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) dan Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Zulkafeli Omar ke jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kemaman, Anuar Awang ke jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah Marang dan Ketua Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan, Wan Mohd. Zaki Wan Abdullah ditukarkan ke jawatan Setiausaha MBKT.

Ketua Penolong Pentadbir Tanah Hulu Terengganu, Ariffin Abdullah ke jawatan Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kuala Nerus dan Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun, Mohamad A. Rahman @ Othman ke jawatan Timbalan Pengarah Tanah dan Galian. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Ops Rentap Khas Polis tahan 2 lelaki keluar 74 saman



Dua lelaki yang dikehendaki polis ditahan polis dalam Ops Rentap Khas menjelang ambang tahun baru di Padang Kota Lama Pulau Pinang lewat malam tadi.

Sebanyak 119 individu termasuk lima wanita diperiksa dalam ops khas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata dua lelaki yang berusia antara 20-an dan 30-an itu dikehendaki polis bersabit kesalahan dadah dan tipu di Pulau Pinang dan Perak.

Kedua-duanya ditahan bersabit kes dadah di Georgetown sejak 2001 dan kes tipu di Teluk Intan Perak tahun lepas.

Dalam pada itu, Anuar berkata sebanyak 74 saman dikeluarkan kepada pemilik motosikal atas pelbagai kesalahan.

Tambah Anuar, seramai 119 anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Trafik dan Jabatan Keselamatan Komuniti negeri terlibat dalam operasi bermula jam 11.30 malam yang berakhir jam 6 pagi.

Menurutnya operasi berkenaan dilakukan bagi mencegah jenayah ragut dan samseng jalanan menjelang ambang tahun baru.



Source link

read more

Mahfuz umum keluar Pas – Politik


ALOR SETAR 31 Dis. – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar hari ini mengumumkan keluar daripada Pas setelah bersama dengan parti tersebut sejak 34 tahun lalu berkuat kuasa pada malam ini.

Beliau berkata, pada masa ini, beliau belum putuskan untuk menyertai sebarang parti politik sehingga selesai tempoh bertenang bagi dirinya.

“Saya masih dalam tempoh ‘bertenang’ dan masih belum putuskan untuk sertai mana-mana parti politik yang lain.

“Sebelum ini saya turut mendapat pelawaan untuk menyertai DAP selain PPBM dan Amanah,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi PAN negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan beberapa pemimpin daripada DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri ini.

Bekas Naib Presiden Pas itu memberitahu, beliau akan menghantar surat rasmi keluar parti itu kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan melalui emel hari ini berkuat kuasa pada pukul 11.59 malam ini.

“Tindakan itu diambil berdasarkan perlembagaan Pas Fasal 15 (2) untuk saya berhenti daripada menganggotai Pas,” katanya.

Menurutnya. beliau akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat bebas Parlimen Pokok Sena sehingga satu pengumuman yang akan dibuat dalam tempoh terdekat ini. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Sabah terus laksana projek pembangunan utama pada 2018



KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah akan terus melaksanakan projek pembangunan utama yang memberi manfaat kepada rakyat pada 2018, kata Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

Dalam perutusan sempena Tahun Baharu, beliau berkata ini termasuk projek infrastruktur seperti Lebuhraya Pan Borneo, pengeluaran hak milik tanah adat dan memastikan Mini Estet Sejahtera (Mesej) mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Selaras dengan itu, menjadi visi kami (kerajaan negeri) untuk melihat perumahan berkualiti dan mampu milik buat rakyat Malaysia di Sabah dan kami sentiasa bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam memastikan pendidikan dan penjagaan kesihatan tetap menjadi keutamaan.

“Saya menyeru kepada semua untuk merapatkan barisan dan memberi fokus kepada agenda kerjasama kita dalam usaha membangunkan Sabah.

Usah biarkan pemikiran sempit menutup minda kita kerana kita perlu bekerjasama dengan semua pihak di negara ini untuk menikmati kemajuan,” katanya sambil menggesa rakyat supaya mengukuhkan perpaduan bagi membolehkan kemajuan terus dinikmati di negeri ini.

Musa berkata sejak beberapa dekad lalu, Sabah telah melalui transformasi untuk muncul sebagai negeri yang semakin kompetitif di Malaysia dan rantau ini.

Ini adalah hasil usaha berterusan dalam meningkatkan ekonomi, menjaga kebajikan rakyat, mengekalkan kestabilan politik dan memastikan pembangunan dapat dikecapi oleh golongan yang paling memerlukan, katanya.

“Keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan dan berkembang dalam ekonomi global yang pantas memerlukan kita untuk mentransformasikan cara pemikiran kita.

Program transformasi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi selari dengan pelbagai dasar yang diperkenalkan sejak beberapa dekad lepas.

“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia berada dalam landasan yang betul ke arah mencapai kemajuan yang lebih baik dan pembangunan yang lebih saksama di seluruh negara,” katanya.

Musa berkata pelbagai program telah dilaksanakan bagi menonjolkan kekuatan Malaysia dan kini hasilnya dinikmati oleh negara dan rakyat.

Beliau berkata Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) meletakkan Sabah pada kedudukan yang sesuai untuk bersaing di rantau ini dan dalam dunia yang penuh mencabar ini.

Beliau berkata pada Januari 2018, ia bermakna Koridor Pembangunan Sabah telah dilaksanakan selama 10 tahun dan “kita melihat bagaimana tumpuan terhadap sektor pelancongan dan logistik, minyak sawit serta minyak dan gas mewujudkan sumber baharu pertumbuhan”.

“Projek yang terhasil menerusi beberapa inisiatif ini bukan sahaja mewujudkan lebih ramai usahawan tempatan, tetapi juga turut membantu menonjolkan kumpulan pekerja berpengetahuan,” katanya.

Musa berkata semakin banyak produk yang terhasil menerusi perkembangan ekonomi Sabah yang berdasarkan pada pelbagai sektor dan selaras dengan Halatuju Negeri Sabah atau Agenda Pembangunan Negeri.

— BERNAMA



Source link

read more

RM291,800 bantuan persekolahan bagi DUN Telemong – Terengganu


HULU TERENGGANU 31 Dis. – Kerajaan negeri meneruskan agihan bantuan persekolahan di seluruh negeri, dan hari ini 2,918 penerima kalangan murid sekolah rendah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, dengan peruntukan sebanyak RM291,800.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat berkata, bantuan yang diagihkan itu diharapkan dapat meringankan beban ibu bapa terutama yang kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan menjelang permulaan sesi baharu persekolahan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas kecaknaan ini, dan semoga dimanfaatkan untuk kepentingan anak-anak selain mengurangkan bebaan ibu bapa apatah lagi pada musim tengkujuh ini.

“Jika ada yang tercicir daripada senarai penerima yang layak, mereka boleh membuat rayuan, mungkin berlaku kesalahan teknikal ketika mengisi borang secara atas talian… saya akan lihat permasalahannya dan panjangkan untuk kelulusan,” katanya lagi.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pakaian persekolahan Dun Telemong Sekolah Rendah Dan Menengah di Dewan Akademi Binaan Malaysia, Jenagor, di sini hari ini.

Untuk rekod, dana yang dikeluarkan merupakan sebahagian daripada peruntukan RM10 juta bantuan pakaian persekolahan yang disediakan kerajaan negeri tahun ini untuk dimanfaatkan oleh 100,000 murid di seluruh negeri.

Bantuan persekolahan tersebut diagihkan kepada keluarga yang berpendapatan bulanan bawah RM2,000 untuk persediaan membeli pakaian sekolah dan dihadkan kepada dua murid atau pelajar bagi setiap keluarga yang layak. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Kerajaan NGO perlu bantu tingkat kesedaran perubahan iklim



KUALA LUMPUR: Kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan penting dalam membantu mewujudkan kesedaran mengenai perubahan iklim, kata Pengerusi dan Komander St John Ambulans Sarawak Datuk Seri Ang Lai Soon.

Beliau berkata semua individu bertanggungjawab dalam membantu walaupun secara kecil dan di kawasan persekitaran mereka, bagi melindungi dan menjaga alam sekitar yang semakin rapuh ini.

“Sudah tentu mereka yang lebih berkemampuan, boleh membantu dengan mendidik mereka yang lain mengenai bagaimana memelihara persekitaran dengan lebih baik sama seperti mereka menjaga diri sendiri.

Kita perlu lebih prihatin ke arah kehidupan yang lebih mampan dan hanya memilih produk yang mesra alam sekitar, ia semudah menggunakan beg kertas atau beg kitar semula berbanding menggunakan plastik,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu hari ini.

Beliau berkata pembakaran hutan tidak terancang kerana perladangan dan oleh manusia yang berlaku di luar bandar dan bandar harus dihentikan agar penduduk di kebanyakan negara terutamanya di rantau ASEAN, tidak perlu menyedut udara tercemar yang diketahui boleh merosakkan kesihatan manusia dan haiwan.

Ang berkata jika setiap individu boleh menanam sebatang pokok setahun, ia dapat membantu menjadikan kawasan bandar lebih hijau dan sihat.

“Daripada melihat pokok-pokok ditebang tanpa belas kasihan dan bukit-bukit ditarah atas nama kemajuan dan pembangunan, kita perlu mengekalkan pokok-pokok serta bukit-bukit yang ada sebaik mungkin.

“Percubaan untuk membina hutan konkrit sama sekali tidak seharusnya digalakkan,” katanya.

— BERNAMA



Source link

read more

Duri dalam daging sudah tercabut – Politik


KOTA BHARU 31 Dis. – Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar kerana akhirnya mempunyai keberanian mengumumkan keluar daripada Pas hari ini.

Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, beliau secara peribadi berasa gembira dengan keputusan diambil Mahfuz dan menyifatkan duri telah tercabut dari daging Pas.

“Saya ucap tahniah kepada Mahfuz Omar kerana menjadi anak jantan dan bukan lagi pondan Siam.

“Saya percaya Pas Pokok Sena secara khusus akan menjadi lebih kukuh dan lebih fokus dalam mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya menerusi aplikasi Whatsapp, hari ini.

Mahfuz yang bersama dengan parti tersebut sejak 34 tahun lalu mengumumkan keluar daripada Pas dalam satu sidang akhbar berkuat kuasa pada malam ini.

Beliau berkata, pada masa ini, beliau belum putuskan untuk menyertai sebarang parti politik sehingga selesai tempoh bertenang bagi dirinya.

Mengulas lanjut perkara itu, Mohd. Amar berkata, beliau percaya Mahfuz dan mereka yang sejenis dengannya akan tinggal sejarah dalam politik tanah air. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Semoga dunia kekal aman sepanjang tahun 2018


TAHUN 2017 sudah sampai ke penghujungnya manakala tahun baru 2018 bakal bermula.

Seiring dengan kemunculan tahun baru 2018 ini sudah pasti ramai yang mula melahirkan pelbagai jenis harapan mereka terhadap tahun baru ini sama ada harapan untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih kuat, harapan untuk meningkatkan taraf hidup, harapan untuk memperolehi tahap kesihatan yang baik, dan lain – lain lagi.

Namun jika dilihat secara umumnya, kesemua harapan yang ingin diperolehi ini bertitik tolak daripada proses keamanan. Tanpa adanya keamanan, tidak mungkin sebarang harapan seperti yang dinyatakan diatas dapat diperolehi.

Keamanan adalah faktor terpenting dalam menjayakan segala jenis sasaran atau matlamat yang ingin diperolehi bukan sahaja pada tahun yang akan datang malah pada tahun – tahun berikutnya.

Tanpa adanya keamanan, tidak mungkin kita dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi, tanpa keamanan, tidak mungkin kita dapat meningkatkan taraf kehidupan kita serta tanpa keamanan, agak sukar untuk menjaga tahap kesihatan dan lain – lain lagi.

Segalanya ini jelas menunjukkan kepada kita betapa pentingnya keamanan untuk dikekalkan.

Bagaimanakah mereka yang duduk di kerusi rundingan global seperti PBB, untuk menjadikan dunia ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya? - Gambar hiasan

Serangan pengganas

Sepanjang tahun 2016 yang lalu, dunia telah dikejutkan dengan pelbagai berita serangan pengganas serta ancaman keganasan yang kebanyakkannya datang dari kumpulan Daish atau al-Dawla al-Islamiya Fi Iraq Wa al-Sham,  atau lebih dikenali juga sebagai kumpulan Militan Islamic State in Iraq and Syams (ISIS) atau Islamic State of Iraq and the Levant (ISIL) atau Islamic State (IS).

Kumpulan pengganas berkenaan telah menyalahgunakan kesucian dan keamanan yang dibawa oleh agama Islam dengan melakukan banyak aktiviti keganasan terhadap penduduk awam yang tidak bersalah sehingga mengorbankan banyak nyawa serta membawa kecederaan terhadap ramai mangsa yang terlibat yang terdiri daripada kaum wanita, warga tua, serta golongan kanak – kanak seperti yang berlaku di Turki, Bangladesh, Arab Saudi, Indonesia, serta Malaysia sendiri pada tahun 2016 yang lalu.

Serangan yang dilakukan oleh mereka bukan sahaja mensasarkan penduduk dari kalangan negara – negara Islam sahaja malah turut mensasarkan penduduk di negara – negara Barat di Eropah dan benua Amerika. 

Melalui kerjasama banyak negara dunia termasuk Malaysia yang melakukan serangan tindak balas terhadap kumpulan berkenaan telah menyebabkan serangan dan ancaman yang dibawa oleh kumpulan terbabit dilihat kian berkurangan sepanjang tahun 2017 ini.

Malah kerajaan Iraq pada awal bulan Disember 2017 yang lalu telah mengistiharkan negaranya kini bebas dari pengaruh kumpulan radikal berkenaan. Tumpuan kini sedang giat diberikan bagi menghapuskan sisa-sisa kumpulan radikal terbabit yang masih bergerak secara bersembunyi di Asia Barat.

Faktor penyumbang

Dalam dunia meraikan kemenangannya terhadap kumpulan radikal terbabit, dunia kini terpaksa pula hadapi tindak-tanduk Presiden Amerika Syarikat yang dilihat bukan sahaja tidak membantu dalam mengurangkan masalah berkaitan dengan ancaman keganasan malah dilihat boleh dilihat menjadi faktor penyumbang terhadap isu berkenaan.

Semenjak terpilih sebagai Presiden Amerika Syarikat pada awal tahun 2017 yang lalu, pelbagai tindakkan agresif yang diambil oleh beliau bukan sahaja dalam mentadbir urusan dalam negaranya malah dalam urusan hubungan diplomatik dan antarabangsa.

Antara tindakan beliau yang paling agresif ialah dengan mengistiharkan secara satu pihak bandaraya Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu kota Isreal pada 6 Disember 2017 yang lalu.

Tindakan beliau telah mengundang reaksi marah dan perasaan tidak puas hati ramai pihak khususnya umat Islam dan masyarakat Palestin. Tindakkan beliau dilihat bukan sahaja akan membantutkan usaha masyarakat Palestin buat sekian lama untuk memperolehi kemerdekaan negara mereka sendiri malah dikuatir akan menyumbang kepada peningkatan tahap keganasan antarabangsa.

Ini sekali gus menyebabkan dunia berada dalam keadaan tidak stabil.

Oleh yang demikian, adalah penting semua pihak mencari jalan supaya segala isu berbangkit sepanjang tahun 2017 tidak terus merebak pada tahun 2018 kelak. Dunia sudah muak dengan serangan dan ancaman keganasan.

Dunia juga sudah muak dengan sikap acuh tidak acuh sesetengah pemimpin yang hanya mementingkan diri mereka sendiri. Bagi menjayakan semua harapan yang bakal dilahirkan sempena sambutan tahun baru ini, semua pihak harus memainkan peranan masing – masing serta berusaha bagi membawa kepada keamanan.

Adalah menjadi harapan semua pihak tahun 2018 kelak membawa kepada titik perubahan kearah menjadikan dunia yang lebih aman dan selamat.

Selamat menyambut tahun baru 2018!


* Artikel ditulis oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya ia mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.



Source link

read more

UMNO Sabak Bernam sedia hadapi PRU14 – Politik


SABAK BERNAM 31 Dis. – UMNO Bahagian Sabak Bernam yakin akan mengukuhkan penguasaan parti itu di kerusi Parlimen termasuk dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing di Sungai Air Tawar dan Sabak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang. 

Keyakinan itu ditegaskan ketuanya, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh menerusi pembukaan dua lagi cawangan UMNO di Taman Air Manis dan Parit 12 sekaligus menandakan pertambahan sokongan rakyat tempatan terhadap Barisan Nasional (BN).

“Setakat ini,  kita dalam proses untuk tambah dua lagi UMNO cawangan iaitu di Cawangan Taman Air Manis dan Cawangan Parit 12. Kita jangkakan kelulusan untuk membuka dua lagi cawangan ini akan diputuskan oleh pengurusan UMNO Malaysia dalam tempoh terdekat,” katanya, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Fasiah, ketika ini terdapat 67 cawangan UMNO di bawah Parlimen Sabak Bernam yang dilihat akan melengkapkan lagi kekutan jentera UMNO dan BN di kawasan itu.

Terdahulu, Mohd. Fasiah yang juga Ahli Parlimen Sabak Bernam merasmikan Program Mesra Rakyat di Taman Air Manis, di sini yang melibatkan pemberian sumbangan kewangan, bantuan asas makanan serta kesihatan kepada 100 individu yang kurang berkemampuan di kawasan berkenaan.

Selain UMNO Bahagian Sabak Bernam, program itu turut mendapat kerjasama serta sumbangan daripada syarikat swasta antaranya Fusipim Sdn. Bhd., Sekin Fisherman Village Hotel & Resort, Rangkaian Pasar Raya Sri Kassim dan Stesen Minyak Petronas Sungai Besar. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons