Pelajar tiga sekolah di Gua Musang terkandas akibat laluan utama banjir



GUA MUSANG: Seramai 100 orang pelajar di Kampung Limau Kasturi di sini tidak dapat memulakan sesi persekolahan baharu apabila terkandas selepas laluan utama kawasan itu ditenggelami banjir hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Limau Kasturi, Mohd Sokani Mat berkata, keadaan itu melibatkan 70 murid sekolah rendah dan 30 pelajar sekolah menengah.

Katanya, air sungai naik kira-kira pukul 6 pagi tadi selepas hujan lebat sejak semalam yang berterusan hingga menyebabkan air Sungai Galas meningkat dengan cepat.

Pelajar yang terlibat adalah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1, SK Limau Kasturi 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Asap.

Tambah Mohd Sokani, sebanyak lapan keluarga membabitkan 30 orang telah berpindah ke Pusat Pemindahan SK Limau Kasturi 2 selepas rumah mereka ditenggelami banjir.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Mohd Taufik Maidin mengesahkan kejadian banjir di dua kawasan, iaitu di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh dan Limau Kasturi.

Katanya, buat masa ini, semua anggota keselamatan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera.



Source link

read more

Lelaki mahu letupkan ICQS ada masalah mental – Jenayah


TUMPAT 1 Jan. – Lelaki yang mahu meletupkan Kompleks Kastam, Kuarantin dan Imigresen (ICQS) Rantau Panjang dan pos Sekatan Jalan Raya (SJR) Chabang Empat, Salam, Rantau Panjang kelmarin dipercayai mempunyai masalah mental.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad berkata, hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek pernah dirawat di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan dan mempunyai rekod sakit mental.

Menurutnya, bukan itu sahaja suspek yang berusia 30 tahun itu masih bergantung pada ubat-ubatan.

“Malah, barangan yang ada dalam beg sandang milik suspek bukan bahan untuk membuat letupan.

“Suspek direman selama empat hari bermula semalam dan siasatan lanjut masih lagi dijalankan,” katanya selepas menziarahi bapa tunggal yang menjaga tiga anak Orang Kurang Upaya (OKU) di Kok Keli, di sini hari ini, untuk menyampaikan sumbangan wang dan keperluan dapur kepada keluarga terbabit.

Sumbangan wang tunai adalah hasil derma pengawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontijen Kelantan (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Tiada lagi tol tetapi masih ada yang berhenti di kaunter



SHAH ALAM: Walaupun operasi Plaza Tol Batu Tiga sudah dihentikan bermula hari ini tetapi masih ada pengguna lebuh raya yang cuba membuat pembayaran ketika tiba di kaunter tol.

Barangkali lupa atau tidak sedar dengan pengumuman tersebut, ada pemandu yang memperlahankan kenderaan ketika menghampiri plaza tol tersebut.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, ada juga pengguna yang mengeluarkan kad ‘Touch N Go’ bagi membuat pembayaran.

Keadaan ini serba-sedikit mengganggu aliran trafik di plaza tol itu, namun secara keseluruhannya, ia berjalan lancar memandangkan tiada lagi operasi kutipan tol dijalankan.

Rata-rata pengguna yang ditemui gembira dengan penjimatan yang diperoleh susulan langkah kerajaan menamatkan kutipan tol itu.

Bagi pengguna harian laluan itu, Samsul Kamal Abdul Latif, penghentian kutipan tol di plaza tol itu bermakna dia dapat menjimatkan lebih RM50 seminggu.

“Dalam satu hari banyak kali juga saya guna. Jadi, kalau sehari dapat jimat RM8, kalau seminggu, banyak juga yang dapat dijimatkan,” katanya yang bekerja sendiri.

Kutipan tol di Plaza Tol Sungai Rasau dan Batu Tiga di Selangor, Bukit Kayu Hitam, Kedah, dan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) di Johor dimansuhkan bermula hari ini.

Ini berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2018 pada Oktober tahun lalu.



Source link

read more

Lapan bayi HKL terima sijil ADAM50 – Nasional


KUALA LUMPUR 1 Jan. – Seramai lapan bayi yang dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini antara generasi pertama penerima Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui pembentangan Bajet 2018 lalu.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, setiap bayi yang dilahirkan bermula 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2022 akan diberikan unit amanah percuma bernilai RM200.

Katanya, jumlah berkenaan akan dikreditkan secara terus ke dalam akuan Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk bayi bumiputera dan akaun Amanah Saham 1 Malaysia (AS1M) pula untuk bayi bukan bumiputera.

“Alhamdulilah usaha yang diperkenalkan kerajaan ini membawa satu lembaran baharu untuk mendidik masyarakat terutama golongan muda mengenai kepentingan melabur dan membuat simpanan.

“Saya meminta ibu bapa yang layak agar memanfaatkan skim ini di mana tempoh pendaftaran adalah sah dalam masa satu tahun bermula dari tarikh bayi dilahirkan,” ujarnya ketika sidang akhbar selepas menyampaikan sijil ADAM50 di Hospital Bersalin HKL, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Pengarah HKL, Datin Dr. Nor Akma Yusof. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Kementerian akan kaji cadangan kecilkan jumlah murid – Kamalanathan



GELANG PATAH: Kementerian Pendidikan akan meneliti cadangan pengecilan jumlah pelajar dalam sesebuah kelas bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) seperti yang dicadangkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk P Kamalanathan berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima apa-apa cadangan bagi tujuan penambahbaikan sistem sedia ada.

“Saya berterima kasih kepada NUTP kerana sentiasa bekerjasama dengan kami.

“Oleh itu, kami akan meneliti cadangan tersebut, kerana segala perancangan kita akan dibincangkan terlebih dahulu sebelum mencari satu penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas membuat lawatan kerja ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKC) Gelang Patah.

BACA: Kecilkan jumlah murid, elak proses PDP dalam kelas terjejas – NUTP

BACA: Pemansuhan pengasingan kelas wujudkan iklim positif – ABIM

Pada 30 Disember lalu, Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata pihaknya menyokong cadangan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) supaya jumlah murid dalam satu kelas dikecilkan kepada kurang daripada 30 orang.

PAGE menyarankan demikian ketika mempersoal tindakan kementerian yang mengarahkan penghentian pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid.

Pengerusi PAGE Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, inisiatif tersebut tidak akan menunjukkan keberkesanannya sekiranya jumlah murid dalam satu kelas masih lebih 35 orang.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin pada 26 Disember meminta semua sekolah supaya tidak lagi mengamalkan budaya pengasingan kelas.

BACA: Gabung kelas: ‘Takkan nak biar murid melompat?’ – Luahan guru terbeban

BACA: Apa guna gabung kelas tapi 40 murid satu kelas? – PAGE

Amin berkata, ke­men­terian mahu amalan pengasingan kelas me­­ngikut tahap pe­nguasaan akademik murid dan sekolah kawalan dihen­tikan, manakala kaedah pe­ngasingan rasmi seper­ti Ujian Kemasukan Ta­hun Sa­tu juga diman­suhkan sepenuhnya bermula 2019. 

Beliau berkata, amalan pengasingan kelas bukan dasar pendidikan, namun dilakukan sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik mengikut Gred Purata Sekolah (GPS), yang menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) sebelum ini.

BACA: Kerajaan takut wujudkan sekolah satu aliran – MPN

BACA: Gabung kelas: Ingat semua darjah satu pandai baca, kira? – MPN



Source link

read more

CEO Kumpulan Compass antara enam maut pesawat terhempas



KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Compass, Richard Cousins merupakan antara enam yang maut dalam kemalangan pesawat laut di sebuah sungai di Sydney, Australia pada malam tahun baru.

Menurut Pegawai Polis New South Wales, Mark Hutchings, Cousins, 58 tahun maut bersama tunangnya Emma Bowden, 48 tahun,  dan tiga anaknya, Heather Bowden, 11, Edward Cousins, 23, dan William Cousins, 25.

Jelasnya, punca kejadian masih belum diketahui dan ketika ini polis sedang bekerjasama dengan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia dalam mengeluarkan bangkai pesawat yang tenggelam berhampiran Cowan, utara Sydney.

Kata beliau, turut terkorban adalah juruterbang pesawat itu, Gareth Morgan, 44 tahun.

Sementara itu, Pengerusi Compass Paul Wash dalam satu kenyataan telah menyatakan simpati dan memberi peringatan terhadap keluarga dan sahabat Cousins.

Sebelum ini, Cousins telah dijadualkan untuk bersara pada 31 Mac 2018 selepas bekerja selama 11 tahun bersama Compass.

Cousins terkenal dengan kejayaan mentransformasi perniagaan dan menjadikan Compass sebagai salah satu firma terbaik di FTSE 100 serta telah dinobatkan sebagai antara ketua pegawai eksekutif terbaik dunia oleh Harvard Business Review.

Susulan berita kejadian ini, Compass telah mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif yang baru, iaitu Dominic Blakemore yang mula bertugas pada 1 Januari.



Source link

read more

Taman Fikri terjejas akibat ribut – Nahas & Bencana


KEMAMAN 1 Jan. – Sebanyak 41 buah kediaman melibatkan lebih 160 penghuni di kawasan perumahan Taman Fikri di sini terjejas akibat ribut yang melanda kira kira pukul 11.15 pagi tadi.

Daripada jumlah tersebut, ada sebahagiannya rosak teruk setelah bumbung terkopak dan diterbangkan angin namun nilai sebenar kerosakan belum dapat dipastikan.

Pemangku Penyelia Agensi Transformasi Rakyat Terengganu (ATRA) Cukai,  Mohd Hanafi Rahman ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang mendaftar senarai keluarga mangsa yang terlibat sebelum mengambil langkah tindakan.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Cukai, Datuk Mohamed Awang Tera pula memberitahu, pihaknya telah meminta pejabat daerah Kemaman menilai segala kerosakan dan melantik kontraktor bagi membaik pulih dengan segera. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Sentuh unta minum susu mentah Jemaah umrah dijangkiti MERS-CoV



PUTRAJAYA: Seorang rakyat Malaysia disahkan dijangkiti Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) selepas mengerjakan umrah.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki Melayu berusia 55 tahun berasal dari Selangor itu tiba di Malaysia pada 23 Disember lalu.

“Pada keesokan harinya, beliau mengalami gejala demam, batuk, lemah badan, lelah dan sakit kaki. Pesakit seterusnya mendapatkan rawatan dari klinik berhampiran rumahnya dan beliau menerima rawatan sebagai kes demam.

“Pada lewat malam 28 Disember, beliau datang ke Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan dimasukkan ke wad HTAR untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Mengambil kira sejarah perjalanannya yang baru kembali dari menunaikan umrah, ujian saringan MERS-CoV dijalankan oleh Hospital Sungai Buloh pada 30 Disember dan ujian pengesahan seterusnya dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 31 Disember mendapati positif sindrom berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada ketika ini, pesakit terbabit berada dalam keadaan stabil dan telah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan lanjut.

Siasatan awal turut mendapati pesakit juga telah meminum susu unta mentah dan bersentuhan dengan unta ketika melawat ladang haiwan berkenaan ketika di Tanah Suci.

Kementerian Kesihatan juga sedang menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan, termasuk pengesanan serta pemantauan ke atas kontak rapat pesakit seperti ahli keluarga, jemaah umrah dalam kumpulan sama, anggota kesihatan di fasiliti kesihatan yang merawat serta kontak rapat dalam pesawat yang dinaiki pesakit.

Malah, amalan pencegahan dan kawalan infeksi dalam kalangan anggota kesihatan turut dipertingkatkan di semua peringkat selain pemantauan terhadap status kesihatan anggota kesihatan yang terbabit dalam mengendalikan kes berkaitan.

Beliau menjelaskan, merujuk kepada laporan daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sehingga kini punca dan cara jangkitan sebenar MERS-CoV masih belum dikenal pasti.



Source link

read more

Sekurang-kurangnya 10 terkorban dalam rusuhan terbaharu di Iran



SEKURANG-KURANGNYA 10 orang terbunuh semalam dalam protes antikerajaan Iran yang masuk hari kelima, menurut stesen TV tempatan.

“Dalam kejadian malam tadi, malangnya kira-kira 10 orang terbunuh di beberapa bandar raya di Iran,” katanya.

Sekurang-kurangnya 12 orang telah meninggal dunia sejak protes bermula pada hari Khamis.

Malah, ratusan penunjuk perasaan ditahan dalam rusuhan itu.

Pada Isnin, Presiden Hassan Rouhani berkata protes dan kritikan adalah ‘peluang’ serta bukan satu ancaman.

Beliau berkata semua pihak perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah ekonomi.

“Negara kita akan menangani tunjuk perasaan kumpulan minoriti yang membawa slogan terhadap undang-undang dan kehendak rakyat, dan menghina kesucian serta nilai-nilai revolusi,” katanya menurut portal BBC news.

Rouhani sebelum ini mengatakan bahawa rakyat bebas membantah, tetapi tidak dengan cara keganasan.

Presiden AS Donald Trump meneruskan perangnya dengan pemimpin Iran pada Isnin dengan memuat naik status twitter bahawa rakyat Iran yang hebat telah ditindas sejak bertahun-tahun, Mereka memerlukan ‘makanan’ dan kebebasan.



Source link

read more

Kreativiti perlu bagi tingkatkan pelancongan – Nasional


KUALA TERENGGANU 1 Jan. – Kerajaan negeri akan memperhebatkan promosi destinasi dan produk pelancongan serta menarik penglibatan lebih meluas kalangan rakyat sempena permulaan Tahun Melawat Terengganu 2018, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, fokus akan terarah kepada ‘satu produk  satu daerah’ dengan keunikan tersendiri agar benar-benar menjadi tarikan dengan pengusaha pelancongan perlu turut membantu mengetengahkan idea lebih kreatif dalam memberi nilai tambah.

“Aspek pelancongan Terengganu yang cukup unik seperti tempat, kesenian, makanan dan kraftangan seperti ukiran, songket dan batik akan menjadi kekuatan kepada negeri ini untuk terus menarik lebih ramai pelancong.

“Sebagai contoh, rumah tradisional Haji Su di Losong di sini akan dijadikan model asas pelancongan dengan menempatkan keunikan Terengganu sebagai daya tarikan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Bantuan Insentif  kepada pengayuh beca dan bot penambang sempena sambutan kedatangan pelancong awal 2018 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini pagi ini.

Yang turut hadir, Pegawai Kewangan negeri, Datul Abdul Rahman Yahya; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Azmi Razik dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Tengku Farouk Hussin Tengku Abd. Jalil.

Program yang serupa diadakan di sempadan Kemaman dan Besut bagi menyambut kedatangan pelancong melalui dua negeri berjiran pada hari ini.

Beliau menambah, selain Tasik Kenyir, kerajaan negeri juga akan membangunkan kawasan penemuan Batu Bersurat di Hulu Terengganu sebagai destinasi pelancongan sejarah di samping menghidupkan semula Rantau Abang di Dungun yang terkenal sebagai pendaratan penyu pada waktu dahulu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga akan meningkatkan promosi untuk menarik pelancong yang lebih hampir dengan Terengganu seperti Singapura dan Australia selain pelancong tempatan.

Sempena dengan majlis itu juga, seramai 67 orang  pengayuh beca dan pengusaha bot penambang menerima bantuan sebanyak RM600 setiap seorang bagi insentif sepanjang tiga bulan lalu.

Menteri Besar berkata, melalui pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini kerajaan negeri bersetuju untuk meneruskan bantuan insentif kepada golongan berkenaan sebanyak RM200 sebulan. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons