Pelajar maut – Johor – Utusan Online


JOHOR BAHRU 2 Jan. – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki di sini maut selepas terlibat kemalangan di Kilemeter 4 Jalan Johor Bahru-Air Hitam di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 1.40 petang itu, Muhammad Haikal Ahmad yang menunggang motosikal dan beralamat di Taman Cempaka di sini maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kemalangan berhampiran Danga City Mall itu membabitkan motosikal mangsa dan sebuah van.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang datang dari arah bandar raya ini dipercayai hendak membelok ke Jalan Kebun Teh Lama sebelum bertembung dengan van tersebut.

“Akibat perlanggaran itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Kren tumbang JKKP keluarkan notis henti kerja



KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor mengeluarkan notis pemberhentian kerja serta-merta ke atas aktiviti pembinaan di sebuah tapak pembinaan dekat Seksyen 7, Shah Alam.

Ia susulan kemalangan melibatkan kren menara tumbang yang menyebabkan seorang pekerja maut manakala tiga orang lagi pekerja cedera parah.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Komunikasi Korporat JKKP, arahan pemberhentian kerja serta-merta itu dikeluarkan bagi membolehkan pihak JKKP menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian berlaku.

“Hasil siasatan awal mendapati terdapat kegagalan dalam struktur jentera dan pihak JKKP akan menjalankan siasatan lanjut.

“Menurut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994), kontraktor utama sebagai majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan penggunaan kren menara di tapak pembinaan,” memetik kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

Mengikut Akta Kilang dan Jentera (1967), setiap kren menara yang dipasang, diselenggara dan dirombak hendaklah dilakukan oleh syarikat kompetan yang berdaftar dengan JKKP.

Malah, syarikat kompetan ini hendaklah dilantik oleh kontraktor utama untuk menjalankan pemeriksaan dan penyelenggaraan secara berkala, mengikut spesifikasi syarikat pembuat kren menara bagi memastikan kren berada dalam keadaan selamat untuk digunakan.

JKKP menegaskan, pihaknya memandang serius terhadap setiap insiden yang berlaku dan akan mengambil tindakan perundangan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang oleh pihak yang bertanggungjawab.

Selain itu, JKKP juga akan sentiasa dari semasa ke semasa menyemak dan menambah baik prosedur kerja selamat sekiranya perlu bagi memastikan keselamatan pekerja dan orang awam terjamin.



Source link

read more

SPNB serah wang pampasan insurans hayat kepada balu kakitangan



KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) hari ini menyerahkan wang pampasan insurans hayat berkelompok berjumlah RM400,000 dan khairat kematian sebanyak RM2,000 kepada seorang kakitangannya yang meninggal dunia kerana kanser hati tahun lepas.

Cek pampasan tersebut diserahkan oleh Pengerusi Kumpulan SPNB Holdings, Datuk Abd Latiff Ahmad, kepada balu penerima, Rosmaidayu Ismail.

Pampasan itu juga sebagai memenuhi kewajipan dan keprihatinan untuk kakitangan SPNB dalam menunaikan tanggungjawab dengan membayar pampasan melalui skim perlindungan insurans hayat berkelompok kepada kakitangan yang ditimpa musibah kemalangan atau kematian.

“Kami Lembaga Pengarah merasakan wajar setiap kakitangan SPNB dibela. Kakitangan kita, Ahmad Azli Mohd meninggal dunia meninggalkan seorang balu dan sepasang anak, lelaki dan perempuan,” katanya ketika sidang media majlis penyerahan wang pampasan insurans kepada balu Allahyarham.

Allahyarham telah berkhidmat di SPNB selama 13 tahun sejak tahun 2004 dan meninggal dunia pada Ogos 2017.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali.



Source link

read more

Raja Perlis terima sembah mengadap SUK Perlis yang baharu – Nasional


ARAU 2 Jan. – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail hari ini berkenan menerima kunjungan sembah mengadap pengenalan oleh Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri yang baharu iaitu Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan di Bilik Mengadap Biru Istana Arau tengah hari ini.

Berangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Syed Omar yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Pengarah Kanan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) mengambil alih jawatan tersebut daripada Ahmad Zamri Khairuddin berkuat kuasa pada 1 Januari 2018.

Syed Omar mempunyai kelayakan dan pengalaman luas dalam pelbagai bidang, terutamanya pentadbiran awam dan pembangunan kepimpinan sektor awam pada peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri.

Di akhir majlis, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan mengurniakan watikah pelantikan beliau sebagai Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Baginda turut berkenan menyerahkan plaka Tujuh Amanat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis kepada Syed Omar untuk dihayati dan dipraktikkan oleh seluruh warga pentadbiran awam di negeri Perlis.

Tujuh amanat yang telah dizahirkan sempena Multaqa Tuanku Syed Sirajuddin antara lain menyentuh mengenai keperluan kepada semua rakyat di negeri ini terutamanya kepada kepimpinan tertinggi di Perlis agar memahami agama Islam selaras dengan Al-Quran dan Sunnah. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Bintang YouTube dikecam kerana bergurau sebelah mayat mangsa bunuh diri



KUALA LUMPUR: Seorang bintang YouTube dari Amerika Syarikat telah mencetus kemarahan netizen selepas menyiarkan video mayat mangsa bunuh diri di Jepun.

Logan Paul, 22, yang mempunyai 15 juta pengikut di YouTube, digelar “kurang sensitif“ dan “menjijikkan” selepas berkongsi video dia bergurau senda bersama rakannya sebelah mayat yang ditemui di hutan Aokigahara di dasar Gunung Fuji – tempat bunuh diri yang terkenal di Jepun.

Paul dan rakan-rakannya terjumpa mayat seorang lelaki yang baru sahaja bunuh diri ketika memasuki hutan tersebut untuk pengembaraan.

Video tersebut turut menunjukkan tubuh lelaki itu, yang identitinya tidak diketahui dari beberapa sudut tetapi mukanya dikaburkan.

Video yang dikongsi oleh pada hari Ahad itu menerima berjuta-juta tontonan sebelum ia dipadamkan oleh Paul.

Susulan itu, netizen mengecam tindakan bintang YouTube itu dengan menyifatkan ia sebagai ‘bodoh dan ’angkuh’.

Mereka menyoal kewarasan Paul dalam menyiarkan mayat mangsa bunuh diri tanpa menghiraukan perasaan ahli keluarga atau rakannya. 

Ada juga yang mendesak YouTube untuk mengambil tindakan terhadap Paul.

Paul kemudian memohon maaf menerusi akaun Twitter dan berkata dia tidak melakukan perkara itu untuk ‘likes’ malah hanya mahu menyebarkan kesedaran mengenai bunuh diri.



Source link

read more

Gajah maut terkena renjatan elektrik


GERIK: Penduduk Gerik digemparkan dengan penemuan bangkai gajah betina dewasa berhampiran sebuah kem tentera di Tasik Banding, awal pagi semalam.

Menurut penduduk, haiwan itu dikatakan mengamuk dengan memecahkan beberapa binaan di situ sebelum maut terkena renjatan elektrik.

Pemangku Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin mengesahkan kejadian itu.

“Pihak kami kemudiannya mengawal tempat kejadian bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku selain menjaga bangkai gajah itu.

“Pada waktu itu, TNB telah mematikan arus elektrik yang dikatakan punca kematian haiwan itu. Beratnya pula dianggarkan dua tan dengan saiz tapak kaki 14 inci,” katanya.

Pihak Perhilitan mengawal tempat kejadian sambil menjaga bangkai gajah itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa memaklumkan haiwan itu dikatakan merempuh pagar di Dataran Juang berhampiran kem itu.

Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan pagar itu runtuh manakala haiwan itu turut memusnahkan penempatan pekerja warga asing di situ.

“Kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.00 pagi di mana seekor gajah telah merempuh pagar di dataran itu.

“Selepas rempuh, gajah tersebut mati disebabkan terkena renjatan elektrik di kawasan kontena (penempatan warga asing) itu.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan terhadap anggota tentera atau orang awam dalam kes ini,” katanya.



Source link

read more

Tanah runtuh di Pejabat Jabatan Taman Laut, Pulau Aur – Johor


JOHOR BAHRU 2 Jan. – Struktur bangunan utama Pejabat Jabatan Taman Laut di Pulau Aur, Mersing retak selepas berlaku tanah runtuh pukul 9 pagi ini akibat hujan lebat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, turut mengalami kerosakan pagar, rumah genset, stor penguatkuasaan, sistem air tapisan bersih dan peralatan lain.

“Jumlah kerosakan masih belum ditafsirkan jumlahnya. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku. Tanah runtuh berlaku akibat hujan sejak malam tadi hingga pagi ini.

“Selain itu sekolah dan kuaters guru di pulau tersebut terjejas akibat banjir selepas dinaiki air malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Bangunan lain di pulau itu katanya seperti masjid, klinik dan pondok polis tiada mengalami sebarang kerosakan cuma balai raya perlu dibersihkan.

Beliau berkata, selain itu kawasan tebing Pulau Aur turut mengalami hakisan.

Pulau Aur merupakan satu daripada enam kumpulan gugusan pulau di bawah Taman Laut Sultan Iskandar (TLSI) yang terdapat di Mersing selain Pulau Rawa, Pulau Linggi, Pulau Sibu, Pulau Pemanggil dan Pulau Besar yang disifatkan sebagai ‘permata laut Johor’ kerana keunikannya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Tukang potong tangan sudah ada bagi kesalahan curi – Mohd Amar



KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan sudah mempunyai bayangan individu yang akan ‘ditugaskan’ untuk menjadi tukang potong bagi menjalankan hukuman melibatkan kes kecurian atau Sariqah mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11 Kelantan 1993 Pindaaan 2015.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata mereka adalah daripada kalangan doktor pakar memandangkan golongan itu mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan.

Bagaimanapun katanya kumpulan doktor pakar berkenaan masih belum dilantik memandangkan Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) Akta 355 masih dibahaskan di Parlimen

“Ada ulama berpandangan pada zaman moden ini kita boleh mengunakan khidmat pakar bedah supaya hukuman hanya melibatkan pergelangan tangan serta tidak mencederakan lengan.

“Pengunaan pakar bedah lebih praktikal kerana mereka tidak memerlukan kursus tetapi hanya memerlukan panduan dari segi agama,” katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini telah melawat Aceh, Indonesia bagi melihat pelaksanaan hukuman kisas di sana dan berhasrat mempelajari kaedah pelaksaan hukum hudud tersebut di Qatar dan Arab Saudi memandangkan negara berkenaan melaksanakan hukum hudud secara professional.

Tambah Mohd Amar, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta setiap tahun selepas Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac 2015, bagi menjalankan lawatan ke negara terbabit serta mengadakan seminar, bengkel dan kajian.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohamad, berkata walaupun undang-undang terbabit diluluskan, proses menjatuhkan hukuman tersebut perlu melalui pelbagai tapisan dan pengecualian menurut pandangan Islam.

“Contohnya, hendak sampai peringkat potong tangan ini bukan senang kerana satu kesalahan itu ada banyak pengecualian.

“Bukan semuanya dipotong tangan kerana mungkin pesalah dalam keadaan terdesak, kelaparan atau apa-apa masalah hingga menyebabkannya terpaksa mencuri,” katanya.



Source link

read more