KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Husam Musa berhubung tuduhan beliau terhadap penamatan kontrak sebuah syarikat bagi pembinaan Lebuhraya Rakyat sepanjang 10 kilometer dari Berangan Mek Nab ke Bukit Tiu di Machang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri Datuk Hanifa Ahmad berkata kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan peguam untuk meneliti kandungan ucapan Husam berhubung dakwaan yang dilemparkannya terhadap kerajaan negeri dalam satu majlis baru-baru ini.

“Sebenarnya kita tak tamatkan kontrak dengan syarikat terbabit (sebagaimana didakwa Husam), ia penamatan atas persetujuan bersama. Syarikat terbabit memaklumkan tak dapat nak teruskan kerja-kerja pembinaan kerana tekanan-tekanan tertentu.

“Maknanya syarikat terbabit menyerahkan kembali projek berkenaan kepada kerajaan negeri dan kita setuju dengan penyerahan itu dengan syarat-syarat tertentu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hanifa berkata antara syarat-syarat yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak termasuklah kerajaan negeri perlu membuat bayaran sebanyak RM50 juta kepada syarikat berkenaan berdasarkan kerja-kerja yang telah dibuat oleh syarikat itu sepanjang tempoh lapan bulan mereka melaksanakan kerja di tapak projek.

Beliau juga berkata syarikat berkenaan juga tidak akan membuat sebarang tuntutan tambahan terhadap kerajaan negeri dalam persetujuan berkenaan.

Hanifa berkata kerajaan negeri juga sedang menyiasat mengenai kebocoran dokumen sulit berkaitan projek berkenaan yang turut dikemukakan Husam pada majlis sama.

“Ini dokumen perjanjian penting dan kita sedang teliti kalau dokumen itu dilepaskan dengan apa (jua) cara oleh pihak syarikat atau pegawai-pegawai, maka kita akan ambil tindakan kerana membocorkan maklumat dokumen itu,” katanya.

— BERNAMA



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: