Pemandu lori terbabit kemalangan maut lima kenderaan akan direman



PORT DICKSON: Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan lima kenderaan di simpang tiga Jalan Lukut-Sepang di sini pada Rabu akan direman pagi ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Zainudin Ahmad berkata pemandu berusia 54 tahun itu akan direman di Mahkamah Majistret Port Dickson.

“Lelaki berkenaan telah hadir menyerah diri di bahagian trafik IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Port Dickson,” katanya.

Dalam kejadian pada 2.30 petang semalam, empat warga Singapura maut dan lima cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta, sebuah lori dan sebuah motosikal.

Menurut Zainudin, empat yang maut ialah penumpang kereta jenis Honda Stream dikenal pasti sebagai Rosli Samad, 54, Maimunah Sapari, 51,  Dayana Sarah Rosli, 18 dan Nor Amalina Rosli, 21.

“Kesemua mangsa beralamat di Singapura. Bedah  siasat akan dilakukan esok,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati lori dari arah Sepang itu telah melanggar sebuah motosikal sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh tiga lagi kenderaan iaitu Honda Stream, Mercedes dan Perodua Myvi.

“Lima yang cedera ialah pemandu tiga kereta, penunggang motosikal dan pemandu lori berkenaan,” katanya.

Beliau berkata kesemua mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan rawatan.



Source link

read more

UMNO BENTANG “KARPET MERAH” BUAT NURUL IZZAH!!! ~ SEMUT HITAM


Itu pun “KALAU” Si Nurul Izzah tu betul – betul berani nak bertanding dikawasan yang dikuasai oleh pengaruh bapak dia selama ini. Kalau setakat cerita dengar khabar angin je, baik tak payah.

Tapi, jangan Si Nurul Izzah rasa teruja bila UMNO bentang karpet merah. Bukan sebab UMNO nak mengalu – alukan kedatangan dia. Sebaliknya, karpet merah tu untuk hantar dia balik.

UMNO Permatang Pauh mengakui tidak gentar dengan stratergi PKR yang didakwa akan meletakkan Si Nurul Izzah tu bertanding di kerusi berkenaan pada PRU Ke-14 yang akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh berkata, pihaknya sedia untuk berhadapan dengan siapa sahaja calon yang akan bertanding di kerusi berkenaan kerana ia adalah kerusi panas yang menjadi tumpuan.

“Justeru, kita sudah melaksanakan gerak kerja yang lebih komprehensif bagi membuktikan banyak perubahan dan pembangunan yang dibawa UMNO di Permatang Pauh berbanding peranan Ahli Parlimennya sendiri.

“Kita tidak pernah berhenti bekerja untuk rakyat. Malah, sebaik sahaja PRU-13 selesai persiapan untuk berdepan dengan PRU-14 sudah lama bermula dan kita berjaya menambahbaik kekurangan serta memperbaiki kesilapan lalu,” katanya ketika ditemui selepas Program Sumbangan Alat Tulis di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Baharu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, sepanjang tempoh lima tahun, pihaknya melihat banyak perubahan dibawa di Permatang Pauh dan ianya diterima rakyat kawasan itu.

Tapi, belum pasti lagi sama ada Nurul Izzah akan bertanding di Permatang Pauh atau tidak, namun petunjuk sudah mula nampak apabila kelibatnya sering dilihat dikawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa laluan untuk PKR mengekalkan kerusi Permatang Pauh tidak lagi mudah apatah lagi selepas berlaku kecelaruan selepas PAS mengundur diri dari pakatan pembangkang,” katanya.

Baru-baru ini laman sebuah portal berita melaporkan Nurul Izzah dikatakan bakal berhijrah dan akan bertanding di Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang dijangka tahun ini.

Menurut sumber dalaman PKR, parti itu menjangka Nurul Izzah tidak akan mempertahankan kerusinya di Lembah Pantai, yang diwakilinya sejak 2008 kerana mendakwa kononnya banyak berlaku manipulasi demografi pengundi yang agresif di situ.




Source link

read more

NEKMAT sedia 200 tan ikan sejuk beku QFish di Kuala Kedah



KUALA KEDAH: Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) memperuntukkan kira-kira 200 tan ikan sejuk beku Q’Fish dalam usaha membantu orang ramai mendapatkan ikan pada harga murah dan berpatutan yang dijual di Pasar Nelayan Kubang Rotan, Kuala Kedah di sini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah, Abdul Hamid Bahari berkata, sebanyak 1,000 kilogram (kg) ikan jenis tongkol, kembong dan selayang dijual pada hari pertama di pasar berkenaan pada petang Rabu.

Katanya, penjualan ikan Q’Fish adalah alternatif kepada orang ramai yang berdepan dengan peningkatan harga ikan kembong secara mendadak sehingga RM20 sekilogram ekoran bekalan yang berkurangan akibat perubahan angin monsun ketika ini.

“Sambutan begitu menggalakkan dan kami akan keluarkan kira-kira 200 tan stok simpanan untuk dijual sehingga keadaan ikan di pasaran pulih… ikan-ikan ini juga dijamin segar kerana kita menggunakan teknologi IQF (Individual Quick Freezing),” katanya kepada pemberita pada Program Penjualan Ikan Sejuk Beku Q’Fish di sini, pada Rabu.

Katanya, pada program itu, ikan tongkol dijual RM10 bagi sekilogram iaitu lebih murah daripada harga pasaran RM20 bagi sekilogram, ikan kembong RM10 kg (RM16) dan ikan selayang RM8 kg (RM15).

“Mulai esok (Khamis) kita juga akan jual hasil laut lain seperti ketam dan sotong pada harga lebih murah kerana sambutannya amat menggalakkan dan saya yakin kita dapat jual tiga hingga empat tan sehari bermula esok,” katanya.

IQF ialah teknologi pembekuan ikan menggunakan kaedah Mesin Pembekuan Cepat Individu di Pusat Pengumpulan dan Pengedaran (CCDC) di Kuala Kedah yang berupaya menyimpan 650 tan hasil laut untuk kegunaan ketika musim kekurangan ikan.

Pengguna, Izham Mat, 52 berkata, langkah yang diambil kerajaan itu sangat bertepatan kerana dapat meringankan kos hidup rakyat di sini yang rata-ratanya berpendapatan rendah.

“Kalau rasa mahal, belilah di sini kerana bukan sahaja murah tetapi ikan yang dijual juga masih segar dan sesuai untuk mereka yang mempunyai keluarga yang ramai,” katanya.

Nuur Shafifi Zamri, 27, berkata, alternatif yang diambil ini diharap diteruskan dan diperluaskan kerana setiap tahun fenomena perubahan angin ini menyebabkan bekalan ikan dan hasil laut akan berkurangan di pasaran.

— BERNAMA



Source link

read more

Seorang maut 15 cedera dalam kejadian ribut di Perancis



SAINT-MALO: Seorang dilaporkan maut manakala 15 yang lain cedera dalam kejadian ribut yang melanda Perancis pada Rabu.

Kementerian Dalam Negeri negara itu mengeluarkan kenyataan bahawa ribut dan ombak besar yang membadai negara itu kini berada dalam keadaan membimbangkan.

Pasukan Kecemasan negara itu turut memaklumkan setakat ini tidak kurang dari 4,300 kes kecemasan dilaporkan di seluruh Perancis.

Menerusi satu video amatur yang dikeluarkan oleh media tempatan, ombak besar yang melanda mampu mencapai jarak sehingga melimpahi jalan raya di beberapa bandar Perancis.

Ia disifatkan antara ribut yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh beberapa tahun di negara itu.



Source link

read more

Kanak-kanak dikhuatiri lemas – Kelantan


KOTA BHARU 3 Jan. – Seorang kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Kelantan, berhampiran Kampung Aur Duri, Salor di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 4.10 petang itu, mangsa, Alif Aiman Mohd. Adli, 12, dikatakan tergelincir ke dalam sungai tersebut ketika mahu membasuh kakinya.

Bagaimanapun, insiden tersebut dikatakan disedari oleh salah seorang rakan mangsa yang turut berada di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd. Rafain Mat Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.16 petang.

Menurutnya, seramai 19 anggota dari Balai Ketereh dan Pasir Mas berasama lima unit skuba telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja mencari serta menyelamat.

“Bagaimanapun kerja-kerja mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan buat sementara waktu kerana faktor cuaca.

“Kita akan sambung kerja-kerja mencari dan menyelamat esok seawal pukul 7 pagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Rafian memberitahu, gerakan mencari dan menyelamat mangsa turut di bantu pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Air pasang besar Penduduk panik paras air meningkat mendadak



KEMAMAN: Hujan lebat di Hulu Terengganu semalaman menyebabkan kawasan muara sungai di Kemaman, Terengganu mula dilanda banjir awal pagi Khamis.

Fenomena air pasang besar memburukkan lagi keadaan apabila banyak penempatan penduduk di muara sungai berkenaan mula ditenggelami air.

Setakat ini, kawasan yang terjejas adalah Kampung Pulau Tempurung, Kampung Tanjung Bukit Mentok, Kampung Pengkalan Pandan, Kampung Bakau Tinggi dan Kampung Paman.

Tinjauan di Kampung Pulau Tempurung mendapati kawasan berkenaan ditenggelami air sehingga satu meter.

Peningkatan paras air secara mendadak mengejutkan penduduk yang tidak menjangka kawasan itu akan dilanda banjir kerana cuaca di kawasan berkenaan baik pada sebelah petang.

Menurut seorang penduduk Mustafa Choya, ramai penduduk panik dengan paras air yang meningkat dengan pantas kerana tiada persiapan berpindah dibuat sebelum itu.

“Cuaca nampak baik petang tadi, tapi hujan mula lebat sejak 8 malam. Masa itu air naik mendadak. Kami tidak sempat buat persiapan kerana tidak menjangka akan banjir.

“Saya tidak tahu ke mana hendak pindah ini. Masih kelam kabut lagi hendak berkemas barang serta menyimpan di tempat yang lebih tinggi,” katanya di sini, malam tadi.

Nada sama disuarakan seorang lagi penduduk, Maryati Ermin kerana terkejut dengan peningkatan paras air yang begitu pantas sehingga tidak sempat memindahkan barangan rumah.

“Hujan rasanya tidaklah lebat sangat tapi yang terkejutnya airnya meningkat dengan mendadak dan parasnya dalam pulak itu.”

“Sambil berkemas barang pun, air telah melimpah masuk dalam rumah. Memang terkejut betul tengok keadaan banjir kali ini,” katanya.

Sehingga dua pagi khamis , seramai 192 mangsa dari 45 keluarga dipindahkan ke 10 pusat pemindahan.

Enam pusat pemindahan baru yang diaktifkan adalah Surau Pulau Kampung Tempurung, Dewan Orang Ramai Batu 14, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok, SK Chukai, Masjid Kampung Batu 16 dan Masjid Kampung Batu 14.



Source link

read more

Tak mengaku khianat Trump sebaliknya tuduh Bannon dah hilang akal



WASHINGTON: “Steve Bannon bukan sahaja kehilangan kerja, malah hilang akal selepas dipecat dari White House,” kata Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam satu kenyataan pada Rabu.

Trump membidas kenyataan bekas Ketua Strategi White House itu yang dinyata dalam sebuah buku baharu hasil penulisan Michael Wolff.

Dalam pendedahannya, Bannon menggambarkan pertemuan anak lelaki presiden itu dengan pegawai kerajaan Rusia di Trump Tower, New York sewaktu kempen pilihan raya 2016 adalah sebagai pengkhianatan dan tidak patriotik.

Dalam pertemuan pada Jun 2016 itu, Donald Trump Jr dilaporkan ditawarkan bantuan untuk merosakkan maklumat seorang lagi calon presiden, Hillary Clinton.

Selain Donald Trump Jr., pertemuan itu turut melibatkan menantunya Jared Kushner pengerusi kempen, Paul Manafort dan peguam Rusia, Natalia Veselnitskaya.

Antara lain, buku “Fire and Fury: Inside the Trump White House” juga mendedahkan, kisah disebalik White House termasuk Trump tidak pernah menjangka kemenangannya semasa Pilihan Raya Presiden 2016 yang lalu.

Pendedahan dalam buku itu ditulis bedasarkan dari 200 wawancara yang dilakukan Wolff sebelum ini.

Oktober lalu, Trump pernah memuji Bannon yang disifatkan sangat komited malah menganggapnya sebagai kawan.

“Steve (Steve Banon) sangat komited, dia kawan saya dan dia sangat komited dalam menguruskan perkara-perkara yang berlaku. Maksud saya, walaupun apa yang ditulis media tetapi  saya mempunyai hubungan yang hebat dengan ramai senator khususnya dari Republikan,” katanya dalam dalam satu temubual pada Oktober lalu.



Source link

read more

Doa hampir putus apabila Papa … – Perkongsian Norzizi dapat PhD buat netizen sebak



PELAKON dan pensyarah Norzizi Zulkifli akhirnya bergraduasi dan memperoleh Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Seni, Bahasa Inggeris dan Media dari Universiti Wollongong, Australia baru-baru ini.

Namun, perkara yang lebih menyentuh hati apabila Norzizi berkongsi perjalanannya menuntut ilmu dan ujian yang dilaluinya apabila bapanya, Zulkifli Zain diserang strok.

“Ooo hati remuk melihat ekspresi ini… Dua bulan sebelum hantar tesis, pada Jun 2016, saya sudah pulang ke tanah air, sudah kena lapor diri kembali bertugas dan Papa ketika itu baru tiga bulan kena strok.

“Siang saya bekerja, malam dalam pukul 11 atau 12 tengah malam saya akan mula menyiapkan tesis sampai ke pagi dan Papa di tingkat bawah akan memanggil anak-anak untuk melihat keperluannya.

“Dan sesekali kalau dia rasa saya tertidur di atas, dia akan memanggil-manggil saya untuk pastikan saya tak tertidur. 

“Kadang penat juga, saya menaip and kejap-kejap Papa panggil, saya turun dan saya naik lagi menyambung penulisan dan turun lagi. 

“Begitulah rutin antara 12 tengah malam ke 5 atau 6 pagi. Tapi begitulah… saya sentiasa punya doa dari beliau… Dia tak putus doa buat saya! 

Namun, Norzizi diuji apabila bapanya diserang sakit jantung dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi ketika dia masih di Australia.

“Doa itu hampir putus bila Januari 2016 papa diserang sakit jantung dan di ICU terus kritikal, saya ketika itu masih di Australia dan saya terbang pulang malam itu juga tatkala 2 bulan lagi saya nak hantar tesis.

“Tapi Allah makbulkan doa kami… aku tetap punya doa itu ke saat akhirnya perjalanan PhD ku… Alhamdulillah…. saya tahu, dia amat menantikan momen ini!” tulisnya.
 



Source link

read more

Warga Jepun maut ditikam dalam serangan rambang di Ireland



DUBLIN: Seorang lelaki Jepun maut selepas ditikam manakala dua yang lain cedera dalam serangan berasingan di beberapa batang jalan di bandar Dundalk, Republik Ireland, pada Rabu.

Polis yang menyiasat insiden tersebut tidak menolak kemungkinan terdapat unsur keganasan dalam insiden itu.

Setakat ini, pihak berkuasa berkata, seorang warga Mesir berusia 18 tahun telah ditangkap dan ditahan di Balai Polis Dundalk.

Suspek bagaimanapun belum dikenalpasti atau dituduh.

Polis tidak mendedahkan nama mangsa yang maut itu namun mengatakan mangsa seorang lelaki Jepun berusia 24 tahun yang tinggal di Ireland sejak setahun lalu.

Mangsa diserang dan ditikam di sebatang jalan di Dundalk dan mati di tempat kejadian.

Laporan media mengatakan beberapa lagi siri insiden yang sama turut berlaku di beberapa batang jalan berhampiran lokasi warga Jepun itu dibunuh.

Ketua Superintendan Christy Mangan berkata pihak polis menerima panggilan kecemasan dari tiga lokasi berasingan di kawasan Dundalk dan polis berjaya menangkap suspek sejurus selepas itu.

Beliau menambah bahawa serangan pertama dilaporkan pada pukul 9 pagi waktu tempatan dan serangan itu berlaku sekitar 40 minit.

Siasatan awal mendapati suspek memilih mangsa secara rawak dan motif sebenar masih disiasat.



Source link

read more

Pak Andam ditemukan mati – Kelantan


KUALA KRAI 3 Jan. – Seorang Pak Andam ditemukan mati dalam keadaan terbaring di atas katil di dalam sebuah rumah di sini, kira-kira pukul 11 pagi hari ini.

Mangsa, Rudy Alpian Zahari, 37, dikatakan dijumpai dengan kesan darah pada leher sebelah kiri dan kanan serta di bawah kepala mangsa.

Namun difahamkan sebelum kejadian berlaku, mangsa dipercayai mengambil pil pelangsing sebanyak tujuh botol dan hanya makan nasi seminggu sekali sejak beberapa minggu lalu.

Mangsa juga dikatakan sering mengadu penat dan sakit di bahagian dada sejak mengamalkan produk itu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Abdullah Roning berkata, siasatan awal polis mendapati bilik tersebut berada dalam keadan kemas tanpa sebarang kesan geledah serta beg tangan dan telefon bimbit berada pada mangsa.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya belum mengklasifikasikan kes ini sama ada jenayah atau pun berpunca daripada amalan diet mangsa sehingga bedah siasat serta siasatan selesai. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons