Jom Makan Ubi di Besut – Terengganu


BESUT 6 Jan. – Pelbagai jenis ubi dengan beraneka juadah tradisional yang dihasilkan daripada tanaman itu untuk dikecapi menarik tumpuan ramai dalam Program Jom Makan Ubi di sini.

Program yang dimeriahkan dengan pertandingan memakan ubi berlangsung di Dewan Terbuka Kampung Seri Medang dekat sini hari ini.

Program tahunan kali ketiga anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mukim Keluang dan Komuniti Malaysia Mukim Keluang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa dan isteri, Hasniza Yahya.

Mohd Mahdi dan isteri turut menyertai pertandingan makan ubi di samping menyertai demonstrasi menyediakan ‘tonyoh’ sejenis kuih tradisional daerah Besut yang diperbuat daripada ubi kayu.

Pengunjung termasuk dari kampung-kampung yang terkenal dengan tanaman ubi keledek, ubi kayu, kemili dan gadong pula berpeluang untuk merasai keenakan pelbagai jenis makanan dan kuih muih yang dihasilkan daripada ubi tersebut. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

MESA janji perubahan dalam masa terdekat


JOHOR BAHRU: Selepas menerima kecaman termasuk diboikot oleh beberapa pemain papan selaju tempatan, Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA) menjanjikan angin perubahan dalam persatuan itu.

Itu yang disuarakan Setiausaha Agung MESA, Manjit Singh Gill dalam satu perjumpaan dengan wakil Organisasi Papan Selaju Johor (OPSJ) baru-baru ini.

Perjumpaan tersebut dirakam secara live di Facebook OPSJ namun dipadam beberapa jam selepas itu bagi menghormati privasi perbincangan yang dibuat.

Dalam perbincangan itu, Manjit seakan menyifatkan pihak yang mengecam dan mengkritik MESA berbuat demikian atas kepentingan diri sendiri.

Gambar tawan skrin Manjit Singh (kiri) bersama seorang wakil MESA dalam video perjumpaan pertubuhan itu dengan wakil Organisasi Papan Selaju Johor.

Pada masa sama, MESA mengakui kelemahannya dan ahli gabungannya yang tidak mengerakkan aktiviti-aktiviti sukan papan selaju terutama sekali di Selangor setelah sekian lama.

MESA mempertahankan pertubuhan itu hanya bertindak sebagai badan pemantau peringkat kebangsaan dan bukan penganjur kejohanan di peringkat negeri.

Hadiah kemenangan yang kecil pada kejohanan pemilihan peringkat kebangsaan anjuran MESA juga dibuat dengan sukarela oleh pertubuhan itu.

Jelas MESA, kebiasaannya, kejohanan pemilihan atlet kebangsaan tidak menjanjikan sebarang hadiah wang tunai sebaliknya status sebagai wakil negara.

MESA juga menafikan bekas atlet kebangsaan, Johary Fitry Khairuddin tidak menyokong persatuan itu seperti yang ditulis dalam artikel pandangan peribadi penulis Astro AWANI sebelum ini.

Manjit juga percaya bukan semua pemain papan selaju yang menyertai acara yang dikenali sebagai #KLSkateriot itu turun kerana boikot MESA.

Beliau percaya ada yang hanya turun untuk mengambil kesempatan bermain di sekitar Kuala Lumpur secara beramai-ramai.

Manjit juga menjelaskan pemilihan bapanya, Tan Sri Darshan Singh sebagai salah seorang ahli dalam pertubuhan World Skate atas dasar pengalamannya sebagai seorang yang berpengalaman dalam pertubuhan sukan antarabangsa termasuk Olimpik.

Video berdurasi 48 minit itu menyaksikan pelbagai persoalan yang dibangkitkan pihak berkepentingan dalam sukan papan selaju di media sosial.

Sabtu lepas, beberapa pemain papan selaju tempatan membuat keputusan untuk tidak menyertai kejohanan pemilihan kontinjen negara anjuran MESA kerana berpendapat badan itu tidak menyumbang apa-apa terhadap sukan itu.

Pihak tersebut juga mempersoalkan pemilihan Darshan dalam World Skate kerana dia bukan seorang pemain papan selaju.

Astro AWANI ada menghantar email kepada Manjit tentang persoalan yang dibangkitkan namun sehingga kini tiada jawapan balas.



Source link

read more

Dua bekas menteri Zimbabwe didakwa terlibat rasuah – Luar Negara


HARARE 6 Jan. – Dua bekas menteri Kabinet yang pernah berkhidmat di bawah pemerintahan pemimpin terdahulu, Robert Mugabe didakwa terlibat dalam skandal rasuah, menurut peguam mereka hari ini.

Bekas Menteri Luar, Walter Mzembi dan Menteri Tenaga, Samuel Undenge didakwa atas kesalahan penyalahgunaan kuasa, bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah.

Undenge dituduh memberikan kontrak tender sebanyak AS$12,650 (RM50,568) kepada syarikat yang tidak melakukan kerja, menurut kertas pertuduhan yang dilihat oleh Reuters.

Kedua-dua mereka dibebaskan hari ini tetapi diminta menyerahkan pasport dan ditahan sehingga 22 Januari sehingga kes dibicarakan. – REUTERS



Source link

read more

CocoDamia bakal tembusi pasaran coklat halal di Jepun


KUALA LUMPUR: Pelangi Network Management Sdn Bhd, pengusaha produk coklat tempatan jenama CocoDamia, akan menembusi pasaran coklat halal di Jepun dalam tempoh kurang daripada empat tahun akan datang memandangkan terdapat permintaan dari negara matahari terbit itu.

Pengarah Urusan Zamzarina Zakaria berkata peluang itu timbul ketika pihaknya menyertai Forum Perniagaan Antarabangsa MARA-OISCA 2017, melalui kerajaan negeri Johor, di Kota Kinabalu, Sabah, November lepas.

“Di forum itu, pihak kami berpeluang bertemu dan berbincang bersama-sama syarikat berkenaan. Saya difahamkan Jepun sedang mencari produk halal untuk memenuhi kapasiti mereka yang akan menerima pelancong dan atlet dari seluruh dunia susulan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo pada 2020 nanti,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, dalam perbincangan awal tersebut, wakil syarikat Jepun berkenaan menyuarakan minat untuk memasarkan produk CocoDamia selepas melihat potensinya.

Wanita berusia 37 tahun itu berkata, forum tersebut telah memberi manfaat kepada usahawan seperti beliau terutama dalam usaha memperluaskan rangkaian perniagaan, khususnya dengan penyertaan bukan sahaja usahawan tempatan malah antarabangsa seperti dari Jepun, Korea Selatan, Brunei dan Azerbaijan.

Memulakan perniagaan coklat hanya dari rumah, Zamzarina bermodalkan RM10,000 sahaja dengan dibantu suami dan memasarkan produk mereka melalui media sosial selain menerima tempahan untuk pelbagai majlis keraian.

Bersandarkan perniagaannya yang dimulakan pada 2013, syarikat itu kini mampu meraih pendapatan bulanan melebihi RM30,000.

Selain mempunyai galeri jualan di Skudai, CocoDamia yang kini mempunyai tujuh kakitangan juga menawarkan program lawatan sambil belajar, ‘Edu Tour’ dan ‘Kid Fun Land’ khusus untuk orang awam dan pelajar mempelajari secara lebih dekat pembuatan coklat halal dan berkualiti tinggi.

Kilang berskala perusahaan kecil dan sederhana CocoDamia di Skudai mengeluarkan 4,000 kilogram coklat sebulan, terdiri daripada Coklat IQ, Coklat Bar dan Coklat Tenaga, dengan campuran makanan sunnah seperti lubanah atau dikenali juga sebagai kemenyan Arab (resin beraroma), kismis, kurma, madu dan air zamzam bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Produk coklat CocoDamia kini dipasarkan di rangkaian Halal Mart, Maslee, Pasaraya Kapitan selain mempunyai 45 ejen dan stokis pengedar hampir di seluruh Malaysia serta luar negara seperti Brunei, Singapura dan Vietnam.

CocoDamia merupakan pemenang Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) pada 2015 di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dengan kerjasama Technology Park Malaysia (TPM).

Menerusi kemenangan itu, Zamzarina memperolehi bantuan geran bernilai RM500,000 atas kejayaan projek inovasinya.

“TPM juga bertanggungjawab dalam menyediakan perkhidmatan inkubator maya atau “ADVISE”, yang sekali gus banyak membantu CocoDamia, selain melalui perkhidmatan sokongan komprehensif dan bersepadu, bimbingan mentor, latihan dan perundingan serta kawalan kewangan,” katanya.

Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, TPM juga memberi peluang kepadanya untuk menikmati semua program berkaitan bimbingan perniagaan dan keusahawanan tanpa perlu hadir secara fizikal di kampus TPM.

TPM juga turut berperanan penting dalam pembangunan teknologi usahawan yang membantu Zamzarina merealisasikan ideanya untuk mencipta sebuah mesin membuat kerepek berasaskan coklat CocoDamia yang kini 80 peratus siap.

“TPM tidak pernah menghalang kami untuk menyuarakan pendapat, selain menyokong segala idea kami mereka juga sentiasa memastikan segala objektif dan sasaran kami berjaya dicapai dalam mengembangkan perniagaan,” katanya. — Bernama



Source link

read more

Empat Polis India terbunuh dalam serangan bom di Sopore



SOPORE: Empat pegawai polis terbunuh pada Sabtu di Sopore, Kashmir apabila puak pemberontak bertindak meletupkan bom di jalanan ketika mereka sedang melakukan rondaan.

Keadaan jalan itu sepi memandangkan kedai-kedai dan perniagaan ditutup ketika kejadian tersebut berlaku.

Pekan tersebut yang terkenal dengan ladang epal menyaksikan tunjuk perasaan dan mogok berlangsung pada ulang tahun ke-25 memperingati pembunuhan beramai-ramai oleh tentera kerajaan.

Serangan terhadap polis itu dipercayai diarahkan oleh pemimpin puak antikerajaan yang mencabar kedaulatan India ke atas Kashmir.

Sopore dalam keadaan berwaspada apabila ratusan polis dan tentera melakukan rondaan di kawasan tersebut berikutan protes serta demonstrasi anti India oleh penduduk Kashmir.

Kumpulan militan Jaish-e-Mohammed mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu, menurut akhbar berbahasa Inggeris Greater Kashmir.

India dan Pakistan masing-masing mentadbir sebahagian Kashmir, tetapi kedua-duanya mendakwa wilayah Himalaya adalah milik mereka.

Kerajaan India sebelum ini juga didakwa melakukan kekerasan dan kezaliman terutamanya membabitkan penduduk muslim Kashmir.

Hampir 70,000 orang terbunuh dalam pemberontakan dan tindakan keras tentera India yang berlaku sejak tahun 1989.



Source link

read more

Saya genius – Trump – Luar Negara


WASHINGTON 6 Jan. – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggelarkan dirinya seorang yang tidak bijak tetapi genius, susulan penerbitan buku baharu berjudul Fire and Fury: Inside the Trump White House yang menimbulkan keraguan terhadap kesihatan mentalnya.

“Sepanjang hidup saya, dua aset terbesar saya ialah mental yang stabil dan benar-benar pintar.

“Saya dari seorang ahli perniagaan berjaya kepada bintang televisyen terkemuka dan menjadi Presiden AS pada percubaan pertama saya. Saya fikir adalah layak untuk melabelkan saya bukan bijak, tetapi genius,” ujar Trump dalam Twitternya.

Buku tulisan Michael Wolff itu terjual dengan laris di kedai-kedai sekitar Washington tetapi Trump menyifatkan kandungan buku tersebut adalah penuh kebohongan. – AFP



Source link

read more

Lelaki mati lemas sewaktu tangkap itik liar


NILAI: Seorang lelaki berusia 50 tahun ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam kolam tadahan air di Bandar Enstek, Nilai, sewaktu keluar menangkap itik liar, petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, mayat mangsa Shamsudin Mat Jinin ditemui pada jam 11.21 pagi tadi oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) jabatan itu, kira-kira 25 meter dari lokasi dia dipercayai hilang.

Beliau berkata, mayat lelaki berkenaan ditemui tersangkut pada beberapa kayu yang terdapat dalam kolam itu pada kedalaman lebih 5 meter.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan sejak semalam dengan kekuatan 12 anggota bomba termasuk pasukan PPDA, serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal menemui sebarang petunjuk.

Operasi berkenaan disambung seawal 7.30 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, mangsa dilaporkan pergi ke kolam tadahan air yang terletak di Lengkok Teknologi Techpark itu bersama seorang rakannya sekitar pukul 6.30 petang Jumaat.

Mangsa kemudian dikatakan masuk ke dalam air untuk mengambil itik yang termasuk pada jerat yang dipasang di situ.

Berdasarkan siasatan awal, rakan mangsa memberitahu mangsa cuba berenang untuk naik semula ke tebing, namun secara tiba-tiba tenggelam dan hilang.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.



Source link

read more

Bedilan udara korbankan 17 penduduk Syria – Luar Negara


BEIRUT 6 Jan. – Sekurang-kurangnya 17 penduduk tempatan terbunuh dalam bedilan udara dilancarkan oleh tentera Syria dan Rusia di Eastern Ghouta hari ini.

Eastern Ghouta merupakan salah satu kubu terakhir kumpulan pemberontak di negara itu dan sering menjadi sasaran serangan udara.

“Pesawat Rusia dan Syria hari ini meneruskan siri pengeboman di Eastern Ghouta, menyasarkan beberapa kawasan petempatan,” kata ketua Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman. – AFP



Source link

read more

Maut sesak nafas bakar arang dalam kereta


KOTA KINABALU: Akibat tindakan ‘kurang waras’ dengan membakar kayu arang di dalam kereta, seorang lelaki ditemui mati disyaki membunuh diri kerana lemas terhidu asap dalam kejadian berhampiran semak di pantai Tanjung Aru Dua, Kota Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian jam 5.27 petang, individu berkenaan, Liew Ka Ket, 42, ditemukan tidak sedarkan diri di kereta jenis Hyundai Ascent oleh sepasukan anggota polis yang menerima panggilan daripada orang awam berhubung kehadiran kenderaan terbabit yang mencurigakan di kawasan semak pantai itu.

Difahamkan ketika diperiksa, anggota bertugas mendapati kenderaan itu terkunci dari dalam sehingga memaksa mereka mendapatkan bantuan dari pihak bomba untuk memecahkan cermin sebelah kiri penumpang kereta itu bagi menjalankan pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP M. Chandra berkata, hasil pemeriksaan mendapati asap yang berada di dalam kereta itu berpunca daripada arang yang dibakar di dalam sebuah bekas memanggang.

Arang yang dipercayai dibakar oleh mangsa di dalam sebuah bekas pemanggang di dalam keretanya sendiri.
“Lelaki itu dipercayai meninggal dunia akibat lemas di dalam kereta miliknya sendiri akibat terhidu kepulan asap arang yang dibakarnya.

“Arang yang dibakar oleh mangsa masih lagi hidup waktu keretanya dibuka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Chandra berkata, sepasukan petugas perubatan mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi proses bedah siasat.

Tiada sebarang kesan luka atau lebam dijumpai di badan mangsa, kata polis.

“Pemeriksaan ke atas anggota badan mangsa juga tidak menjumpai sebarang kesan luka dan lebam.

“Setakat ini, kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut memandangkan tiada sebarang unsur jenayah ditemukan,” katanya.



Source link

read more

Frostbite hampir ragut misi Grand Slam Muqharabbin  – Terkini


SEPANG 6 Jan. – Biar pun hampir diminta untuk menarik diri kerana mengalami gejala frostbite atau gigitan fros, penjelajah Grand Slam pertama negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin tetap nekad untuk menamatkan misi penjelajahan sejauh 111 kilometer di Kutub Selatan.

Muhammad Muqharabbin, 36, ketika mengimbas semula detik berkenaan berkata, pada hari ketiga terakhir sebelum misi itu berjaya ditamatkan, jurupandu yang mengiringinya telah memintanya menghentikan misi tersebut jika dua jari kirinya bertukar warna hitam akibat frostbite.

Namun, katanya, beliau bernasib baik selepas membuat rawatan dengan memanaskan bahagian jari tersebut, tanda-tanda frostbite telah hilang.

“Jurupandu telah berpesan sekiranya kecederaan tersebut tidak pulih saya perlu menarik diri daripada misi ini.

“Bagaimanapun, saya telah meminta dia memberi ruang untuk saya menamatkan misi ini. Alhamdulillah selepas lima jam rawatan dilakukan keadaan jari dan kesihatan saya lebih baik dari hari sebelum itu sekali gus dia membenarkan saya meneruskan misi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki pesawat Emirates EK342 dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Penasihat Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) merangkap Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles dan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal.

Menurut Muhammad Muqharabbin, pendorong utamanya bagi menamatkan misi tersebut ialah demi mengharumkan nama negara di persada dunia di samping untuk memberi dorongan kepada rakyat Malaysia yang lain untuk turut sama mencipta nama di pentas antarabangsa.

Katanya, kejayaannya muncul sebagai rakyat Malaysia pertama menempa nama sebagai penjelajah Grand Slam selain diiktiraf sebagai individu kedua di Asia Tenggara serta umat Islam ketiga dan termuda di dunia meraih gelaran tersebut membuktikan tiada perkara yang mustahil untuk dilakukan.

Menurutnya, selain perlu menamatkan misi itu, syarat lain untuk diiktiraf sebagai penjelajah Grand Slam ialah dengan menamatkan pendakian tujuh puncak tertinggi di tujuh benua dunia, berski ke titik 0 darjah Kutub Utara dan berski ke titik 90 darjah Kutub Selatan.

Katanya, kesemua ekspedisi itu berjaya ditamatkan dalam tempoh 13 tahun dengan ekspedisi pertama mendaki puncak tertinggi dunia, Gunung Everest (benua Asia) pada 2004, Kosciuszko (Australasia, 2006), Kilimanjaro (Afrika, 2010), Aconcagua (Amerika Selatan, 2010), Vinson Massif (Antartika, 2011), McKinley (Amerika Utara, 2012) Elbrus (Eropah, 2012) dan Carstenzs Pyramid (Oceania, 2014).

Sementara itu, Akmar Hisham berkata, susulan kejayaan Muhammad Muqharabbin itu pihaknya berhasrat untuk membuat satu pameran khas dengan mengumpulkan semua kisah kejayaan peserta di bawah KE7B di Muzium Negara pada Ogos ini.



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons