[VIDEO] ‘Azab’ ketika awal persekolahan – Nasional


GUA MUSANG 7 Jan. – Melalui jalan balak sejauh 100 kilometer, berlumpur dan terpaksa merentasi beberapa batang sungai namun semua itu sama sekali tidak mematahkan semangat guru-guru yang mengajar di sekolah di pedalaman jajahan ini.

Sepanjang perjalan yang ekstrem disebabkan musim hujan pada ketika ini, mereka terpaksa berhenti rehat beberapa kali kerana motosikal yang ditunggang rosak serta tersangkut dalam lumpur.

Malah jika keadaan diluar jangkaan mereka terpaksa bermalam di dalam hutan.

Semua perkara itu terpaksa dilalui oleh pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, SK Bihai dan SK Tohoi setiap kali sesi persekolahan dibuka pada awal tahun.

Guru Besar SK Balar, Muhammad Napi Mohamed berkata, jika cuaca kering, perjalanan untuk ke sekolah tersebut hanya mengambil masa empat jam namun dalam keadaan sekarang perjalanan bertambah lebih dua kali ganda sehingga 10 jam.

Kecekalan guru

Jalan balak rosak akibat cuaca hujan di kawasan pedalaman tidak menghalang sekumpulan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, Pos Balar, Gua Musang untuk masuk bertugas mendidik anak Orang Asli. – UTUSAN ONLINE

Katanya, kesemua guru tersebut tinggal di kuarters di Pos Balar dan semangat mereka untuk mendidik seramai 260 anak-anak Orang Asli pada sesi persekolahan kali ini tidak pernah luntur.

“Setiap awal tahun sesi persekolahan kita berdepan lebih cabaran kerana jalan bukan sekadar berlumpur, malah lebih teruk lagi berlaku kejadian bukit dan jambatan runtuh kesan daripada cuaca hujan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, guru Bahasa Inggeris, Md. Faizul Abdullah @ Yunus, 41, bersama pasangannya Asmawati Ahmad, 38, yang baharu berpindah ke SK Balar pertama kali berdepan pengalaman yang mengujakan.

Beliau yang lebih lima tahun bertugas sebagai guru berkata, pada minggu lepas mereka bersama seorang anak perempuan berusia lapan tahun terpaksa bermalam di dalam hutan selepas kenderaan pacuan empat rodanya terkandas di dalam hutan.

“Kami sebelum ini bertugas di SK Ladang Dublin, Karangan, Kedah dan isteri juga secara sukarela mahu bertugas di kawasan pedalaman Pos Balar.

“Pengalaman terkandas di dalam hutan ketika mahu masuk mengajar Orang Asli akan menjadi pembakar semangat kami untuk mendidik murid Orang Asli yang jauh terpinggir dari bandar,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Polis tahan pengguna Facebook ugut petugas Jabatan Veterinar Sarawak


KUCHING: Polis menahan seorang pegawai bank berumur 34 tahun berhubung catatan Facebook yang mengugut seorang petugas Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata suspek ditahan pada 10.50 pagi ini di rumahnya di BDC Stampin, di sini, oleh pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Padawan.

Dev Kumar berkata suspek membuat catatan berbaur ugutan terhadap Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dalam sebuah halaman Facebook yang memperjuangkan nasib anjing liar.

Suspek didakwa menghasut pengikut halaman Facebook itu untuk membuat sekatan jalan raya dan melepaskan anjing liar yang ditangkap itu.

“Dia turut mencadangkan penggunaan langkah yang melampau untuk menghalang operasi jabatan itu untuk menangkap anjing liar,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dev Kumar berkata polis turut merampas telefon bimbit suspek, yang ketika ini ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata polis sedang mengesan seorang lagi pengguna Facebook yang mencadangkan supaya dibunuh anggota yang terlibat dalam operasi untuk menangkap anjing liar, dan menambah, identiti wanita itu telah pun dikenal pasti.

— BERNAMA



Source link

read more

Seorang maut, 8 cedera 2 kereta bertembung di Kulim – Nahas & Bencana


ALOR SETAR 7 Jan. – Seorang maut manakala lapan lagi cedera selepas dua kenderaan terlibat dalam kemalangan di simpang Batu Putih, Jalan Mahang di Kulim, petang tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.29 petang sebelum tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

“Setibanya di lokasi didapati sebuah kereta Honda Civic bertembung dengan sebuah kereta Naza Citra yang mana masing-masing mempunyai empat dan lima mangsa dalam kenderaan berkenaan.

“Pihak bomba kemudian bertindak mengeluarkan pemandu kedua-dua kenderaan yang tersepit pada bahagian tempat duduk dengan menggunakan peralatan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Mohamad Mustakim, pemandu kereta Honda Civic berkenaan dilaporkan meninggal dunia manakala pemandu kereta Naza Citra mengalami kecederaan parah setelah tersepit dalam kenderaan itu yang remuk teruk.

“Kesemua mereka termasuk tujuh lagi penumpang kedua-dua kenderaan yang cedera telah dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Malaysia Airlines sasar pulang modal tahun ini walau berdepan cabaran


KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd (MAB) menyasar untuk mencatatkan sekurang-kurangnya pulang modal pada 2018 meskipun berdepan cabaran ekonomi dan geopolitik dunia, persaingan, ketidaktentuan tukaran asing serta harga bahan api.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kapten Izham Ismail berkata operasi dan kewangan MAB ketika ini masih belum mencapai tahap berdaya maju, dengan keuntungan bulanan dan mingguan yang raih adalah tidak konsisten.

“Kami sudah menstrukturkan semula syarikat, memang kami lebih kecil tetapi kami akan kembali berkembang sebagai sebuah syarikat. Tugas pertama saya adalah memastikan syarikat kekal mampan, kami masih boleh ke seluruh pelusuk dunia menerusi kerjasama bersama-sama syarikat penerbangan lain.

“Kami memang telah terkebelakang sedikit, tetapi tiada sebab untuk kami tidak berkembang selepas ini,” katanya dalam temu bual eksklusif yang disiarkan TV3 baru-baru ini.

Jelas beliau, Malaysia Airlines kini sedang merangka strategi jangka sederhana, antaranya meningkatkan usaha sama bersama-sama syarikat penerbangan lain untuk menambah rangkaian laluannya.

Bukan itu sahaja, Malaysia Airlines turut menyedari ia tidak boleh terus bersaing dengan syarikat penerbangan tambang murah bagi beberapa laluan, selain perlu beralih ke laluan lain yang lebih sesuai dengan pesawat dan model perniagaannya.

Namun, buat masa ini, tumpuan utama adalah menjalin kerjasama bersama-sama syarikat penerbangan utama lain yang memberi akses kepada laluan penting di Eropah, selain di India.

MAB juga sedang merancang untuk mengembangkan operasinya ke beberapa laluan baru.

“Sementara menunggu Malaysia Airlines berkembang menjadi syarikat yang memiliki 120 pesawat, kami perlu ada strategi sementara, ini akan dilaksanakan melalui jalinan kerjasama, selagi 14,000 warga kami dan rakyat memberi sokongan, tiada sebab untuk kami gagal kali ini,” katanya.

Kapten Izham menggalas tugasan getir sebagai GCEO bermula 1 Dis, 2017.

Peranan sebagai peneraju Malaysia Airlines itu disifatkan tugasan korporat paling mencabar di Malaysia, atau mungkin di dunia, sehinggakan dua pakar asing bidang penerbangan menarik diri dan kini tanggungjawab itu kembali digalas anak jati tempatan.

Nama beliau sememangnya tidak asing lagi dalam syarikat penerbangan nasional itu setelah berkhidmat 38 tahun di MAB dengan 18 potfolio berasingan.

Berbeza dengan peneraju lain sebelum ini, Kapten Izham berkata, beliau akan mengambil masa bagi mengatur strategi.

Ditanya mengenai kemungkinan MAB dijenamakan semula seperti yang dicadangkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Christoph Mueller pada 2015, Kapten Izham berkata, nilai syarikat Malaysia Airlines masih kukuh.

“Ia adalah tradisi kita, kita ialah orang yang merendah diri, berbudi dan sentiasa senyum, tidak negatif kepada orang lain, saya tidak lihat ada masalah dengan jenama ini, mungkin ada isu pada 2014, tetapi jenama kita telah kembali kuat,” katanya.

Melangkah maju, MAB dijangka memperkenalkan tiga hingga empat laluan baharu setahun – yang menepati spesifikasi pesawat baharu yang akan diterima.

Malah, Kapten Izham turut mengambarkan lebih banyak destinasi berbeza selepas ini dan tidak lagi memberi tumpuan kepada pasaran tertentu sahaja.

“Malaysia Airlines perlu bergerak secara lebih bijak dengan mengatur laluan, tidak hanya di Australia dan Eropah. Kami perlu fokus kepada laluan China begitu juga Indonesia. Oleh itu, jika sebuah rantau atau pasaran tidak memberi pulangan nilai yang baik, kami ada laluan lain,” katanya.

Pelan penstrukturan Malaysia Aviation Group, yang turut merangkumi MAB juga akan diumumkan menjelang akhir Mac ini.

Satu kajian terperinci sedang dijalankan di peringkat operasi semua anak syarikat termasuk, Firefly, Maskargo dan AeroDarat Services bagi memastikan organisasi kembali kukuh.

Menurut Kapten Izham, Malaysia Airlines bukan sahaja memerlukan satu pelan, malh perlu bersedia dengan beberapa pelan lagi, untuk berdepan pelbagai kemungkinan.

Beliau menyedari, kecuali Maswings – mandat diberi kerajaan bagi menghubungkan bandar-bandar di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia – objektif anak syarikat lain dalam kumpulan perlu diteliti semula.

“Kami juga sedang mengkaji apakah objektif utama Firefly, apa objektif AeroDarat, adakah praktikal untuk MAB mempunyai bahagian kargo, saya akan meneliti semula semua ini, dan menjelang akhir suku pertama, kita akan dapat gambaran lebih jelas, bentuk struktur organisasi yang lebih kukuh,” jelasnya.

Sementara itu, jelas Kapten Izham, idea untuk mewujudkan syarikat dengan kod nama “Projek Amal” yang diperkenalkan penerajunya sebelum ini akan diteruskan.

“Kami jangka lesen operasi diperolehi menjelang suku ketiga atau suku keempat tahun depan, projek amal ini akan memulakan operasi dengan pesawatnya pada akhir tahun depan. Ketika ini aset atau pesawat A380 akan digunakan oleh MAB,” katanya.

Projek Amal dirancang menjadi syarikat penerbangan pertama khusus bagi haji dan umrah, dengan penggunaan pesawat Airbus 380.

Ia dilaporkan akan memulakan operasi terlebih dahulu, sebelum membuka potensi kerjasama dan pelaburan kepada pihak luar.

— BERNAMA



Source link

read more

Lelaki maut dalam letupan di Stockholm, polis tolak kaitan pengganas – Nasional


STOCKHOLM 7 Jan. – Seorang lelaki terbunuh manakala seorang lagi cedera dalam satu letupan di luar sebuah stesen kereta api bawah tanah di sini, hari ini dengan polis Sweden menolak insiden itu ada kaitan dengan serangan pengganas.

Menurut jurucakap polis, lelaki itu terbunuh akibat cedera parah selepas dia mengambil sebuah objek berhampiran Stesen Varby Gard ketika akhbar harian Aftonbladet mendakwa luka mangsa diakibatkan oleh bom tangan.

Bagaimanapun polis enggan mengesahkan laporan itu selepas akhbar berkenaan tidak menyatakan sebarang sumber dalam laporan mereka.

“Terdapat objek yang meletup dengan kuat namun kami masih menunggu keputusan siasatan teknikal,” katanya. – REUTERS



Source link

read more

Khabar tu tak benar Riyad Mahrez bukan sasaran Liverpool – Sumber


KUALA LUMPUR: Kelab bolasepak Inggeris, Liverpool tidak berminat untuk mendapatkan khidmat bintang Leicester City, Riyad Mahrez bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Philippe Coutinho di Anfield.

Perkara itu ditegaskan satu sumber dipercayai kelab itu, selepas wujud laporan mengatakan pemain sayap Algeria itu bakal ke Merseyside dengan yuran perpindahan sekitar 50 juta pound (RM270 juta).

Berita itu tersebar selepas hanya beberapa jam Coutinho mengucapkan selamat tinggal kepada The Reds dan sah sebagai pemain Barcelona dengan perpindahan bernilai 140 juta pound (RM770 juta).

Sumber itu turut menyatakan bahawa tiada sebarang komunikasi antara dua kelab tersebut berhubung perkara tersebut, walaupun ura-ura mengatakan Mahrez sedia untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di pusat latihan Liverpool di Melwood.

Kenyataan wartawan Liverpool FC, James Pearce menerusi Twitter

Pada masa sama. Leicester turut meletakkan harga lebih daripada 50 juta pound untuk Pemain Terbaik PFA tahun 2016 itu yang telah membantu The Foxes mengejutkan dunia bola sepak dengan menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim itu.

Liverpool setakat ini sudah berbelanja 75 juta pound (RM406 juta) untuk mengikat pertahanan Belanda, Virgil van Dijk dari Southampton.



Source link

read more

Iran haramkan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah rendah



DUBAI: Iran telah mengharamkan pengajaran bahasa Inggeris di semua sekolah rendah di negara itu.

Menurut Ketua Majlis Pendidikan Tinggi Iran, Mehdi Navid-Adham, keputusan dibuat susulan amaran dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi negara itu yang berkata pengajaran bahasa tersebut membuka ruang kepada ‘penaklukan budaya’ dari negara barat.

“Mengajar kurikulum bahasa Inggeris di sekolah rendah swasta mahupun kerajaan kini adalah bertentangan dengan undang-undang dan peraturan,” kata Mehdi kepada sebuah saluran televisyen negara itu.

Katanya, larangan itu dikenakan atas dasar pendidikan sekolah rendah adalah asas untuk memupuk kebudayaan Iran dalam kalangan murid,.

Pengajaran bahasa Inggeris di negara itu pada kebiasaannya bermula di peringkat menengah iaitu ketika murid berusia sekitar 12 hingga 14 tahun, namun ada sesetengah sekolah rendah dan pusat jagaan kanak-kanak menjalankan sesi pembelajaran bahasa itu.

Sebahagian daripada murid turut mengambil kelas tambahan bahasa Inggeris selepas sesi persekolahan.

Pemimpin tertinggi negara itu sebelum ini sering mengeluarkan amaran mengenai ‘penaklukan budaya’ dengan pemimpin agungnya Ayatollah Ali Khamenei pernah menyatakan kemarahan apabila bahasa Inggeris diajar di pusat-pusat asuhan.

Khamenei berkata kritikannya itu bukan bermaksud beliau menentang pembelajaran bahasa asing tetapi ia dilihat sebagai usaha mempromosi budaya luar terhadap kanak-kanak dan golongan belia di negara itu.



Source link

read more

Mayat bayi baru lahir ditemukan dalam tandas pesawat di Indonesia – Nasional


JAKARTA 7 Jan. – Polis Indonesia hari ini menahan seorang wanita dipercayai ibu kepada seorang bayi yang ditemukan mati di dalam tandas sebuah pesawat di lapangan terbang antarabangsa Jakarta.

Ketua polis lapangan terbang, Ahmed Yusef berkata, Hani, 37, dari Cianjur, Jawa Barat ditahan tidak lama selepas beliau tiba dari Bangkok di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta kira-kira pukul 1 pagi waktu tempatan.

“Dia kelihatan tidak sihat dan tidak akan disiasat sehingga dia pulih,” kata Ahmed.

Polis percaya Hani yang bekerja sebagai pembantu rumah di Abu Dhabi selama empat tahun bersalin secara rahsia semasa dalam penerbangan Etihad dari negara terbabit ke Jakarta, Sabtu lalu. – AFP



Source link

read more

Gereja kuil di Kota Bharu dibaling penapis air berapi


KOTA BHARU: Polis Kelantan akan melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian khianat terhadap dua pusat ibadat membabitkan sebuah gereja dan kuil Hindu di Jalan Hamzah di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian itu, Gereja Methodist Kota Bharu dan Kuil Arulmigu Subramaniyar Siva terbabit dilempar dengan dua objek dipercayai penapis air yang disumbat sumbu serta dibakar pada bahagian depan.

Menurut Pastor Gereja Methodist Kota Bharu, Goo Siew Lai, 42 tahun, dia dikejutkan dengan bunyi tingkap pecah di tingkat 3 dan 4 pukul 12 tengah malam tadi ketika sedang asyik membaca buku di tingkat 2.

“Saya melihat kelibat seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Nissan Grand Lavina dan membaling objek ke arah cermin gereja beberapa kali dari atas jejambat, kira-kira 7 meter dari tempat kejadian,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.

Kejadian itu merupakan kali kedua selepas kali pertama pada Januari lepas sehingga menyebabkan cermin tingkat tiga pecah.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan yang meninjau tempat kejadian berkata, pihaknya masih menyiasat motif kejadian perbuatan khianat terbabit.

Katanya, menerusi rakaman telefon didapati perbuatan itu dilakukan oleh seorang lelaki yang menaiki sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina berwarna putih.

Bagaimanapun, beliau berharap agar saksi kejadian tampil memberi kerjasama kepada polis agar pihaknya dapat menyiasat perkara itu secara terperinci.



Source link

read more

Pendaki ditemukan meninggal dunia – Nahas & Bencana


RANAU 7 Jan. – Seorang pendaki yang terpisah daripada kumpulannya ketika mendaki Gunung Kinabalu ditemukan maut kawasan berhampiran puncak gunung, petang tadi.

Menurut kenyataan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, mangsa dikenali sebagai Nazri Omar, 49, dari Selangor disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada pukul 5.40 petang.

“Bomba menerima laporan pada pukul 1.15 petang bahawa seorang pendaki dipercayai terpisah dan hilang daripada kumpulannya di Kilometer 8 semasa turun dari puncak Gunung Kinabalu.

“Bertindak atas maklumat tersebut pasukan bomba bantuan, kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) dan malim gunung telah pergi ke tempat kejadian,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Tambah jabatan itu lagi, mangsa dibawa turun dari puncak Gunung Kinabalu menggunakan kemudahan usungan oleh anggota penyelamat berkenaan yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I. Rashedee Engsoi.

Katanya, kumpulan operasi yang membawa mangsa tiba di Pintu Timpohon pada pukul 5.40 petang dan dibawa menaiki ambulans ke Hospital Ranau, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor perubatan.

Tambahnya, sebanyak 16 anggota bomba dan pasukan bomba bantuan, sembilan malim gunung dan lapan anggota pasukan mencari dan menyelamat (TTS) terlibat dalam operasi itu. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons