Stoke City pecat Pengurus Mark Hughes



LONDON: Stoke City bertindak memecat Pengurus, Mark Hughes selepas empat setengah tahun, kelab Liga Perdana mengumumkan pada Sabtu.

Keputusan itu dibuat beberapa jam selepas kekalahan 2-1 di pusingan ketiga Piala FA menentang Coventry City.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Mark di atas pencapaian beliau untuk kelab ini selama empat tahun setengah terutamanya dalam membimbing kelab di tempat kesembilan tiga kali berturut-turut pada Liga Perdana.

“Kami mendoakan beliau berjaya di masa depan,” jelas kelab itu dalam satu kenyataan.

Selain itu, kelab tersebut akan membuat penelitian sebelum melantik pengurus baharu dalam waktu terdekat selain tidak mahu memberikan sebarang komen pada masa ini.

Stoke telah jatuh ke tempat penyingkiran di Liga Perdana Inggeris selain kalah dalam enam daripada lapan perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan.



Source link

read more

Mengapa mesti main di China? – Bola Sepak


CHANGSHU, China 6 Jan. – Keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menganjurkan Kejuaraan AFC Bawah 23 (B-23) di China mengundang tanda tanya memandangkan keadaan cuaca di negara tersebut yang sejuk memberi kesukaran kepada pasukan bertanding.

Antara masalah yang dihadapi adalah apabila skuad Syria B-23 terpaksa menangguh perjalanan mereka dari Kushan ke Nanjing ekoran jalan raya dilitupi salji tebal dan akibatnya perlawanan persahabatan mereka menentang Malaysia B-23 yang dijadualkan semalam terpaksa dibatalkan.

Suhu sejuk serta cuaca berangin juga menambah kesukaran kepada pasukan bertanding kerana kejohanan itu berlangsung di empat venue berbeza iaitu Kunshan, Changzhou, Jiangyin dan Changshu.

Persatuan Bola Sepak China (CFA) sendiri tidak menganjurkan liga mereka dalam tempoh cuaca sejuk bermula Disember hingga Mac tetapi AFC memilih negara tersebut untuk mengadakan kejohanan itu.

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh berkata, keputusan AFC menganjurkan kejohanan dalam cuaca sejuk tidak membantu kerana pemain sukar mempamerkan aksi sebenar mereka.

“Cuaca sejuk seperti ini memberi kesukaran kepada pemain, terutama dari negara ASEAN untuk mempamerkan potensi sebenar mereka. AFC perlu mengambil kira semua faktor.

“Keadaan cuaca sejuk seperti ini pastinya memberi kelebihan kepada negara seperti tuan rumah (China), Jepun dan Korea Selatan yang sudah biasa.

“Negara Arab juga mempunyai cuaca sejuk tetapi tidaklah begitu sejuk dan berlainan dengan pemain seperti kita,” katanya.

Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan C akan memulakan kempen mereka dengan menentang Iraq pada Rabu depan, sebelum menentang Jordan (13 Januari) di Changshu dan Arab Saudi pada 16 Januari di Kunshan. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Tiada air rumah dibeli tidak boleh dihuni


GUA MUSANG: Hampir 70 pemilik rumah kos rendah di Bandar Utama, Gua Musang, Kelantan kecewa apabila rumah yang dibeli gagal didiami.

Semuanya gara-gara ketiadaan bekalan air.

Penduduk mendakwa kunci rumah mereka diserahkan sejak September tahun lalu, namun masalah bekalan air menyebabkan mereka berputih mata.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, kebanyakan penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri, untuk menangani masalah tersebut.

Ada dalam kalangan mereka mengambil bekalan air dari luar dan ada juga yang terpaksa menadah air hujan untuk kegunaan mereka.

Penduduk juga mendakwa sudah mengemukakan masalah berkenaan kepada pihak pemaju dan Syarikat  Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), namun sehingga kini tiada sebarang penyelesaian diberikan.

“Air Kelantan tidak dapat menyambung meter air kerana disebabkan perkara tidak masuk akal bagi saya, kerana dia memberi sebab penyambungan belum dibuat kerana masalah kecerunan air,

“Bagi saya masalah kecerunan air dalam taman ni tidak berlakulah kerana saya telah membuat bayaran kepada pihak pemaju. Deposit air telah dibuat tetapi tiada sebab air,” kata Mohd Zamri Kamarudeen yang merupakan salah seorang pemilik rumah.

Sementara itu seorang lagi pemilik rumah, Izma Ibrahim menyifatkan ketiadaan bekalan air menyukarkan penduduk menjalani kehidupan seharian.

“Susah nak tinggal di rumah ini, kami terpaksa memunggah air dari kediaman lama.

“Nak solat, payah, nak mandi, payah, nak masak pun payah,” katanya ketika ditemui Astro Awani.

Pembinaan sejumlah 138 unit rumah kos rendah ini dilaksanakan kerajaan negeri Kelantan bersama pihak pemaju Bandar Utama Gua Musang.



Source link

read more

Anak saudara Sultan Brunei dibeli kelab Leicester City



APABILA anda memikirkan pemain bola sepak terkaya di dunia, pemikiran anda akan segera terarah kepada bintang terkemuka seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Neymar .

Tetapi siapa sangka senarai pemain dalam kalangan puluhan kelab bolasepak terkemuka dunia itu terselit nama individu berasal dari keluarga Diraja Brunei.

Malah, rakyat Brunei kini boleh berbangga apabila anak saudara Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, Faiq Bolkiah, 19 tahun kini muncul selaku pemain di kelab Liga Perdana Inggeris, Leicester City.

Faiq, yang merupakan salah seorang pewaris kekayaan keluarga Diraja Brunei bernilai 15 bilion pound sterling.

Pemain sayap berbakat Foxes itu telah bermain di England selama beberapa musim, memulakan kariernya di AFC Newbury sebagai pemain muda.

Pada tahun 2009, Southampton memilih Faiq Bolkiah menyertai akademi mereka berikutan bakat yang dimiliki.

Walaupun tidak diberikan kontrak, Arsenal juga dikatakan pernah menawarkan beliau bermain bersama kelab itu pada 2013.

Faiq bersama The Gunners dalam saingan Piala Lion City 2013 dan juga menjaringkan gol dalam saingan itu.

Selepas itu Chelsea menawarkan pemain itu dengan kontrak dua tahun sebelum memutuskan untuk menyertai Leicester City dengan kontrak tiga tahun.

Walaupun dilahirkan di Los Angeles, Amerika Syarikat, Faiq memilih untuk bermain dengan pasukan kebangsaan Brunei selain telah mewakili negaranya sembilan kali dengan rekod jaringan satu gol.

Dalam satu temubual, Faiq menjelaskan beliau mula bermain bolasepak sejak kecil dan sentiasa gembira pergi ke padang selain bola berada di kaki.

“Saya bersyukur apabila memiliki keluarga yang sangat positif dan sentiasa menyokong impian saya menjadi seorang pemain bolasepak profesional,” katanya.



Source link

read more

PKR masih belum tentukan keputusan bersetuju atau tidak lantik Dr. Mahathir jadi PM – Perlis


KANGAR 6 Jan. – PKR dilihat terus berdolak-dalik dalam menentukan keputusan sama ada bersetuju atau sebaliknya untuk menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu menenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Diajukan soalan berhubung perkara itu ketika ditemui pemberita selepas Jelajah Keadilan Peduli Rakyat di sini hari ini,

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya telah memberi pandangan supaya isu tersebut ditentukan melalui keputusan secara konsensus semua parti dalam gabungan itu.

Selain itu katanya, keputusan mencalonkan Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan itu juga perlu mendapat maklum balas daripada semua rakyat.

“Ini kerana rakyat harus diberikan kuasa untuk menentukan masa depan negara bukannya ditentukan oleh mana-mana individu. Saya percaya Pakatan Harapan akan berlapang dada menerima mandat daripada rakyat,” katanya.

Mesyuarat Majlis Pakatan Harapan Khamis lalu gagal mencapai kata sepakat dalam soal siapa yang bakal dinamakan sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan tersebut memenangi PRU-14.

Bagaimanapun difahamkan tiga buah parti dalam Pakatan Harapan iaitu DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN bersetuju untuk memilih Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri namun dibantah oleh PKR.

Ia memandangkan PKR dikatakan masih berpegang kepada pendiriannya untuk melantik Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara manakala Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Perkara itu disahkan oleh Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, apa yang penting calon Perdana Menteri itu nanti adalah individu yang boleh melakukan reformasi dalam sistem kenegaraan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai cadangan sesetengah pihak supaya Mohamed Azmin dinamakan sebagai calon Perdana Menteri, beliau berkata;

“Saya pemimpin peringkat negeri sahaja dan biarlah saya bekerja di Selangor,” katanya.- UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Kebakaran hutan di Melbourne penduduk mula pindah


CORRUM DOWNS: Penduduk Carrum Downs di pinggir selatan Melbourne telah dipindahkan pada Sabtu apabila kebakaran hutan di kawasan berkenaan mula memasuki kawasan kediaman mereka.

Pihak bomba negara itu terpaksa melakukan kerja-kerja pemadaman dalam keadaan cuaca panas yang melampau berserta angin kencang.

Setakat ini beberapa bangunan dan kediaman penduduk musnah akibat kejadian itu.

Dua helikopter turut digunakan untuk melakukan kerja-kerja pemadaman.

Penduduk yang dipindahkan kini terpaksa menjadikan pasar raya berhampiran sebagai tempat berkumpul.

Kira-kira 50 kebakaran dilaporkan setakat ini.



Source link

read more

Theresa May dijangka rombak Kabinet pada Isnin



LONDON: Perdana Menteri Britain, Theresa May dijangka mengumumkan perubahan Kabinet menteri pada Isnin.

May bagaimanapun dijangka mengekalkan Menteri Luar Negeri, Kewangan, Dalam Negeri dan Brexit, lapor akhbar Sunday Times.

The Sunday Times berkata rombakan itu bertujuan mengangkat pembuat dasar dari kalangan wanita muda dan kumpulan minoriti ke dalam kabinet beliau selain usaha untuk ‘memujuk’ sekali gus mendapatkan sokongan selepas tamparan hebat pada pilihan raya tahun lalu.

May juga dijangka mengumumkan setiausaha pertama negara yang baharu, memegang jawatan selaku individu nombor duanya, selepas sekutu lama, Damian Green dipaksa meletak jawatan bulan lepas, kata akhbar itu.

May, yang menjadi Perdana Menteri tidak lama selepas undi Brexit pada pertengahan 2016, dijangka mengadakan rombakan dalam barisan menterinya selepas situasi ‘suram’ pada 2017 apabila beliau memutuskan mengadakan pilihan raya hingga kehilangan majoriti Parlimen.

Ketika ini, Kementerian Luar Negeri dipimpin oleh Boris Johnson; Kementerian Kewangan, Philip Hammond; Kementerian Dalam Negeri, Ambur Rudd dan Setiausaha Brexit, David Davis.

The Sunday Times berkata menteri yang dijangka digugurkan atau berpindah ke jawatan lain ialah termasuk Pengerusi Parti Konservatif Patrick McLoughlin, Menteri Pendidikan Justine Greening, ahli politik Greg Clark dan Andrea Leadsom.



Source link

read more

Bekas pelajar SMK Seri Nering kumpul RM30,000 untuk sekolah – Terengganu


BESUT 6 Jan. – Sebagai salah satu komitmen untuk kembali berbakti, Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nering menyumbangkan RM30,000 kepada bekas sekolah mereka.

Sumbangan bagi membaik pulih surau itu diserahkan oleh pengerusi penaja persatuan itu, Wan Rusdi Wan Ismail kepada pengetua sekolah, Muhd Nor Saad.

“Persatuan berjaya mengumpulkan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk pungutan berkala daripada bekas-bekas pelajar bagi tujuan itu.

“Kita sedang berusaha untuk mendaftarkan persatuan ini, dan dalam masa terdekat dan selepas ini akan diikuti dengan mesyuarat agung pertama supaya lebih banyak sumbangan dapat diberikan kepada sekolah dan pelajar dalam pelbai aspek,” ujarnya.

Penyerahan dilakukan dalam majlis di kediaman Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad di Kampung Alor Keladi di sini malam tadi.

Berucap dalam majlis tersebut, Nawi meminta anggota masyarakat agar melibatkan diri dalam badan- badan bukan kerajaan untuk bersama- sama menjayakan pelbagai aktviti kemasyarakatan terutama dalam aspek kebajikan.

Ini termasuklah berganding bahu dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar selain membantu meringankan beban pelajar dari keluarga miskin.

“Penglibatan itu akan menjadikan masa dan kehidupan mereka lebih berkualiti.

“Usaha itu bukan sahaja akan mendapat ganjaran besar malah dapat mengeratkan silaturahim dengan rakan-rakan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Matrade wujudkan semula geran pembangunan


KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mewujudkan semula Geran Pembangunan Pasaran (MDG) pada 1 Jan tahun ini selepas menggantungkannya tahun lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros, berkata langkah itu bertujuan memberi manfaat kepada lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengeksport produk masing-masing.

“Ia juga merupakan antara pengumuman Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober tahun lepas,” katanya.

Mohd Shahreen berkata sejak pelaksanaannya pada 2002, MDG memberi manfaat kepada 7,682 syarikat tempatan yang menembusi pasaran utama eksport Malaysia seperti China, Emiriah Arab Bersatu dan negara anggota ASEAN.

MDG ialah platform yang menyediakan peluang kepada PKS Malaysia untuk memohon geran yang boleh dikembalikan sehingga RM200,000 bagi penyertaan aktiviti promosi eksport iaitu pameran perdagangan antarabangsa, misi perdagangan dan pelaburan, misi pemecut eksport, persidangan antarabangsa selain yuran penyenaraian untuk barangan buatan Malaysia di pasar raya, pasar raya besar dan pusat runcit di luar negara.

Sementara itu, Matrade berkata susulan pewujudan semua geran itu, garis panduan baharu diperkenalkan, termasuk syarikat perlu mendaftar atau mengemas kini maklumat masing-masing dengan Matrade menerusi Pendaftar Eksport Malaysia.

“Syarikat juga mesti memiliki entiti perniagaan yang aktif (tidak terpakai kepada syarikat kurang dari setahun),” katanya. — Bernama



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons