11tulangpauss.transformed_0MO, 10/1/2018, KUALA TERENGGANU – Setelah dua tahun ‘dikuburkan’ di pantai Beting Lintang dekat Besut, tulang seekor ikan paus Muncung Angsa yang mati di situ, akhirnya dikumpulkan pasukan anggota Spesies Marin Terancam, semalam.

Anggota pasukan khas dari Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Dungun itu mengambil masa dua hari bermula Ahad lalu untuk menggali, mencari, mengumpul dan menyusun dengan lengkap semua tulang mamalia itu.

Ketua pasukan, Mohd Tamimi Ali Ahmad, berkata pihaknya tidak mengambil tulang itu ketika mamalia berkenaan ditemui mati dua tahun lalu kerana terdapat risiko ancaman penyakit zoonotik.

“Ketika datang ke lokasi paus itu terdampar dulu, kami memutuskan untuk menguburkannya antara tempoh lapan bulan hingga dua tahun kerana selepas itu, risiko ancaman jangkitan penyakit zoonotik kepada manusia atau pengendali bangkai spesies marin terancam ini rendah.

“Setelah dua tahun, bangkai paus ini tertanam di sini, semua dagingnya mengalami proses pereputan sepenuhnya. Kami menggali kubur paus ini sedalam 1.5 meter dan menjumpai tulang bersama-sama lapisan lemak tebal yang masih lagi melekat padanya.

“Tulang paus telah dibawa balik ke FRI Rantau Abang untuk proses pengawetan selama enam bulan dan akan dipamerkan dalam Galeri Spesies Marin Terancam,” katanya.

Paus muncung Angsa atau nama saintifiknya Ziphius cavirostris itu pernah menggemparkan penduduk sekitar Besut, Terengganu apabila bangkainya ditemui seorang penduduk kampung di pantai itu.

Mengulas lanjut, Mohd Tamimi berkata, paus berasal dari keluarga setasian ini ialah spesies marin terancam yang tersenarai dalam jadual Akta Perikanan 1985 (Peraturan-peraturan Spesies Ikan Marin Terancam 1999 pindaan 2008).

“Orang awam juga tidak dibenarkan mengganggu, menangkap, membunuh, memburu, menjual atau memiliki haiwan atau bangkai berkenaan.

“Sekiranya ada orang perseorangan atau mana-mana organisasi yang sengaja melanggar Akta Perikanan 1985 maka jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000, atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, punca kematian paus itu dikenal pasti dua tahun lalu berikutan sakit semula jadi, akibat termakan sampah sarap seperti botol minuman dan plastik yang ditemui dalam usus mamalia berkenaan.

“FRI Rantau Abang menasihatkan orang awam yang menjumpai spesies marin terancam sama ada terdampar hidup atau mati agar melaporkan kepada Pejabat Perikanan Negeri dan daerah.

“Ia penting untuk menyelamatkan nyawa spesies itu atau bedah siasat punca kematian, malah tindakan pantas Pasukan Penyelamat Spesies Marin Terancam FRI Rantau Abang yang akan bertindak dalam tempoh 12 hingga 24 jam itu, mungkin boleh menyelamatkan nyawa haiwan laut terdampar yang masih hidup,” katanya.

 

– BERNAMA



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: