ALOR SETAR: Dua lelaki yang didakwa atas tuduhan berasingan mengugut bunuh serta menggunakan kekerasan jenayah terhadap ibu dan bapa mereka dijatuhi hukuman masing-masing penjara 12 bulan dan tiga bulan dalam prosiding berasingan oleh Mahkamah Majistret, Alor Setar pada Khamis.

Majistret Noor Farah Hazwani Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Saddam Ibrahim, 26 tahun, dari Kampung Pulau Bidin Mukim Telaga Emas dan Mohd Padzil Samsudin, 47 tahun, dari Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah, dekat sini, selepas mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Pada prosiding pertama, Mohd Saddam didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana sengaja menakutkan ibunya, Che Zainab Md Isa, 50 tahun dengan mengatakan aku akan tikam awak sekejap lagi (satgi aku tikam hang).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di nombor 32B Kampung Pulau Bidin, Pokok Sena, pada 15 September lalu, jam 4.30 petang dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Fakta kes menunjukkan pada tarikh dan masa kejadian, Mohd Saddam meminta RM2 daripada ibunya (pengadu) untuk membeli nasi lemak.

Pengadu kemudian meletakkan duit itu di atas meja selepas beberapa kali diminta oleh anaknya selain tidak melayan permintaannya untuk wang tambahan.

Ini menyebabkan tertuduh dalam keadaan marah mengatakan akan membunuh ibunya serta adik beradik yang lain.

Ibunya yang ketakutan melihat tertuduh dalam keadaan marah dan mata merah, kemudian membawa anak-anak yang lain masuk ke dalam bilik, sebelum membuat laporan di Balai Polis Langgar pada jam 8.10 malam.

Selain itu, pada prosiding berasingan, Mohd Padzil dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap bapanya, Samsudin Ahad, 77 tahun, di nombor 599 Taman Kota Nelayan, pada 12 November 2017, kira-kira jam 12 tengah malam.

Dia dituduh mengikut Seksyen 351 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 352 akta sama, jika disabitkan boleh dipenjara maksimum tiga bulan atau dengan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret Noor Farah Hazwani menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap Mohd Saddam dan tiga bulan terhadap Mohd Padzil bermula dari tarikh ditangkap.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin berhujah supaya kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman berat bagi memberi pengajaran atas kesalahan dilakukan masing-masing.

Katanya, dalam kes Mohd Saddam, dia mengambil kesempatan atas kelemahan ibu kandung dengan mengugut bunuh pengadu dan adik beradik lain manakala tertuduh, Mohd Padzil pula yang disahkan positif dadah morfin, berkali-kali mengugut bapanya.



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: