Jangan tadbir badan sukan jika tiada program pembangunan


PERSATUAN Sukan Luncur Beroda Malaysia (MARS) merupakan sebuah badan sukan baharu yang sangat aktif dalam sukan luncur beroda dan juga ekstrem, di bawah pimpinan bekas pemain in-line, Idroose Tambarin.

Beliau berjaya mengatur pelbagai program pembangunan atlet dan kursus akreditasi kejurulatihan bagi sukan di bawah perlembagaannya selain menganjurkan festival sukan ekstrem antarabangsa, FISE di Langkawi pada 2014 dan 2015.

Setakat ini, tiada badan sukan lain yang aktif dalam pembangunan sukan ekstrem dan luncur beroda ini selain MARS, selepas berkuburnya ESAM, sebuah persatuan sukan ekstrem yang pernah menganjurkan Asian X Games di Kuala Lumpur sebanyak empat kali.

Bagi Idroose, yang kini memegang jawatan timbalan Presiden MARS, pendekatan untuk pembangunan sukan harus berubah selaras dengan generasi kini dan berpaksikan amalan yang sama yang diguna pakai badan sukan antarabangsa.

Persatuan sukan yang tiada struktur program pembangunan dari peringkat akar umbi sehingga profesional walaupun sudah wujud sekian lama tidak berhak menjadi pentadbir badan sukan di bawah perlembagaannya.

“Setiap persatuan perlu ada sistem kejurulatihan, melahirkan banyak instructor (pengajar) untuk membangunkan sebuah sukan selain mewujudkan struktur atau sistem pembangunan bermula dari peringkat akar umbi ataupun sekolah,” kata Idroose yang memegang jawatan presiden MARS sejak penubuhan persatuan itu pada 2010 sehingga 2017.

“Dengan terhasilnya jurulatih atau instructor di seluruh Malaysia, penggiat sukan itu mempunyai pelbagai sumber mencari makan dengan sukan yang mereka minati,” jelas Idroose lagi.

Idroose (paling hadapan) berswafoto bersama jurulatih-jurulatih in-line skating dibawah program NRSA MARS. Gambar - MARS.

Idroose melepaskan jawatan presiden tahun lepas bagi memberi laluan dan sokongan kepada muka baharu untuk MARS mencari pendekatan baharu.

Bagi Idroose, tugas persatuan sukan tempatan bukan setakat memantau perkembangan dari atas atau menganjurkan kejohanan sekadar untuk menghantar atlet bertanding di luar negara sahaja.

Selain itu, penubuhan persatuan di Malaysia juga harus mengikut amalan yang sama seperti struktur urus tadbir dan menggabungkan sukan yang sama mengikut badan sukan antarabangsa, terutama sekali yang diiktiraf Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Ia perlu juga mempunyai sistem ranking menerusi kejohanan-kejohanan yang dianjurkan dan tidak boleh mengharapkan dana daripada kerajaan sahaja untuk menggerakan persatuan itu.

Idroose bersama barisan pelapis sukan roller speed skate semasa kejohanan TTSK8 2015. Gambar - MARS.

Tanggungjawab persatuan sukan amat besar dan pihak yang terlibat perlu mengutamakan komuniti dan sentiasa aktif, bukan sekadar mendaftar nama untuk menubuhkan sesebuah persatuan sahaja.

Sebagai contoh, Idroose menyatakan, badan yang mentadbir sukan seperti papan selaju, bmx atau in-line skating yang sering dikaitkan dengan aktiviti vandalisme atau bermain di jalanan, perlu berbincang dengan pihak berkuasa tempatan untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut dengan baik.

Antaranya, dengan menukar polisi larangan dan cuba bekerjasama dengan pemain sukan itu yang menjalani aktiviti sihat di tempat awam.

“Walaupun ada banyak gelanggang sukan ekstrem di Malaysia, budaya mereka adalah bermain di jalanan.

“Kita tidak boleh ubah cara mereka yang suka bermain di tempat awam tetapi kita boleh wujud polisi baharu dan kerjasama seperti membenarkan mereka bermain pada waktu tertentu atau bincang bagaimana mereka boleh bermain dengan selamat tanpa membahayakan orang awam.

“Persatuan sukan juga boleh bantu membaiki harta awam yang rosak akibat aktiviti sukan terbabit,” kata Idroose.

MARS merupakan persatuan sukan yang mentadbir sukan seperti speed skating, freestyle in-line, in-line hockey dan aggressive roller di Malaysia.

Idroose (paling kanan) semasa kongres FIRS di Nanjing, Mac tahun lepas. Gambar - MARS.

Di peringkat antarabangsa, MARS merupakan ahli kepada badan antarabangsa yang diiktiraf IOC iaitu World Skate (dahulu dikenali sebagai Persekutuan Sukan Luncur Beroda Antarabangsa ataupun F.I.R.S.) dan Konfederasi Sukan Luncur Beroda Asia (CARS).

“Sebuah persatuan juga tidak boleh ditubuhkan hanya untuk kepentingan peribadi dan harus memberi balik kepada komuniti. Selepas dua atau tiga tahun, sepatutnya sesebuah persatuan sudah mempunyai struktur dan sistem pembangunan yang teratur,” jelas Idroose.

Dalam World Skate, MARS diiktiraf sebagai badan tadbir yang sah untuk sukan papan selaju (skateboarding).

Pada 2013-2014, MARS menganjurkan Kejohanan Sukan Lasak Kebangsaan yang turut melibatkan papan selaju dan BMX.

Pada 2015, MARS mewujudkan sistem akreditasi jurulatih untuk sukan in-line dan juga papan selaju (NRSA) bertujuan melahirkan jurulatih sukan yang berkredibiliti.

Pada 2011 MARS menghantar atlet untuk mewakili negara dalam sukan speed skating di Sukan SEA Palembang 2011, di mana pasukan wanita membawa pulang gangsa dalam acara 3 x 3000 inline skating relay.

Pasukan in-line speed skating relay negara dapat gangsa pada Sukan SEA Palembang 2011. Gambar - MARS.

Pencapaian ini membuktikan bahawa MARS adalah sebuah badan yang aktif dan pentingkan pembangunan sukan di bawah perlembagaannya.

Dianggotai bekas atlet dan mereka yang benar-benar meminati sukan yang terlibat adalah resepi kejayaan MARS.



Source link

read more

Allah kurniakan puteri setelah 10 kali keguguran – Syukur ucap Fazley Yaakob



PENYANYI dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob berkongsi video di sekitar majlis aqiqah anak perempuannya, Alayna Selma di laman Facebook.

Menerusi entri tersebut, Fazley meluahkan rasa gembira dan bersyukur kerana dikurniakan puteri sulung selepas isterinya mengalami keguguran hampir 10 kali.

“Salam semua. Selepas penantian bertahun-tahun, akhirnya Allah SWT kurniakan saya dan isteri tercinta Azrene Ahmad seorang puteri, setelah hampir 10 kali keguguran.

“Sebelum mendapat anak pertama, Payish, juga kami pernah keguguran dan kini kami ada tiga anak lelaki, Payish Piyash Piyush.

“Kesabaran dan kekuatan kasih sayang adalah tunggak di dalam setiap rumahtangga. Moga video sekitar majlis aqiqah ini menjadi tanda kecintaan kami berdua untuk Alayna Selma atau Baby Ellie.

“Kepada anakanda kesayangan Dida; semoga video ini diulang-ulang nanti bila membesar sebagai peringatan detik-detik pertama kami semua jatuh cinta kepada Ellie,” tulisnya.

Selain kehadiran keluarga dan teman rapat, majlis aqiqah puteri sulung Fazley yang diadakan pada penghujung tahun lalu turut diserikan dengan kehadiran Tunku Ampuan Negeri Sembilan, YMM Tuanku Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin.

Dilahirkan pada Oktober tahun lalu, Ellie merupakan anak keempat Fazley bersama isterinya, Datin Azrene Ahmad.

Berkahwin pada tahun 2007, Fazley dan Azrene turur mempunyai tiga orang cahaya mata lelaki iaitu Ahmad Fariedz Shah (Payish), 10, Ahmad Fieradz Shah (Piyash), 9, dan Ahmad Firudz Shah (Piyush), 7.

Selain laman Facebook, Fazley turut memuat naik video sekitar majlis aqiqah itu di laman Instagram dan YouTube miliknya, Fazley Yaakob.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Fazley

 



Source link

read more

Gempa bumi berukuran 5.1 magnitud melanda wilayah selatan Iran



TEHRAN: Gempa bumi berukuran 5.1 magnitud dilaporkan berlaku di selatan wilayah Kerman pada Khamis.

Laporan media Iran IRNA menyebut gempa tersebut telah menggegarkan kampung Hojedk yang terletak kira-kira 700 kilometer selatan Tehran.

Gempa dianggrakan berpusat pada kedalaman 10 kilometer.

Bagaimanapun, tiada kerosakan atau kematian dilaporkan setakat ini.

Pada November 2017, gempa bumi berukuran 7.2 magnitud melanda barat Iran dan mengorbankan lebih daripada 600 orang.

Iran adalah negara yang terletak di garisan berpotensi gempa dan terdedah kepada bahaya tersebut setiap hari.

Pada tahun 2003, gempa bumi berukuran 6.6 magnitud telah memusnahkan bandar bersejarah Bam dan mengorbankan 26,000 orang.



Source link

read more

Dua mekanik didakwa rogol pembantu kedai – Mahkamah


KUANTAN 11 Jan. – Dua mekanik dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang pembantu kedai pada 29 Disember lalu.

Tertuduh, Muhd. Azrul Nizam Azri dan Mohd. Kamaruzzaman Mohd. Kamarul Ariffin, kedua-duanya berusia 30 tahun dan berasal dari daerah ini didakwa merogol mangsa berusia 20 tahun selepas memperdayanya di sebuah rumah di Lorong Setali 89 di sini antara pukul 2 pagi hingga 3.30 pagi pada tarikh tersebut.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya, Norfatinah Abu Bakar di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 20 tahun dan sebat.

Kedua tertuduh bagaimanapun tidak mengaku salah dan minta dibicarakan.

Mahkamah membenarkan kedua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Tua tak sedar diri rindu berjudi


KUALA LANGAT: Sudah berusia tetapi masih tidak sedarkan diri.

Itu mungkin kata-kata yang sesuai ditujukan kepada golongan yang menghampiri usia warga emas ini, tetapi masih tegar dengan tabiat berjudinya.

Lebih malang lagi, penggemar judi yang berusia lebih 50 tahun itu ditahan dalam satu operasi ketika melayan judi atas talian di sebuah premis kedai makan, dalam keadaan dikawal ketat beberapa lelaki, dipercayai pengawal keselamatan.

Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor awal pagi ini.

Difahamkan, penganjur aktiviti ini akan memuat turun aplikasi judi di telefon bimbit pelanggan dan membeli ‘top up’ sebagai pertaruhan.

Aktiviti berjudi secara atas talian menggunakan aplikasi yang dimuat turun penganjur. Foto Astro AWANI

Lapan kaki judi bersama penganjur ditahan pasukan D7 IPK Selangor kira-kira 50 meter dari premis terbuka itu.

Turut dirampas, tablet, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.

Tangkapan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.



Source link

read more

Niat nak girl-girlkan Cik B cari baju dalam DS Vida teruk dikecam netizen


GARA-GARA memuat naik video ketika sedang mencari pakaian dalam untuk anak perempuannya, Cik B, usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida (DSV) dikecam pengguna laman sosial.

DSV memuat naik video tersebut di laman Instagram miliknya, @datoserivida bersama kapsyen: “Nak girl girl-kan Cik B. Haha.”

Netizen mula memenuhi ruangan komen laman Instagram DSV dengan kecaman.

Ada yang menuduh DSV menjatuhkan maruah anaknya dan berpendapat video tersebut tidak patut dimuat naik.

Netizen juga menyifatkan video tersebut kurang sopan untuk dimuat naik di laman Instagram DSV.

Namun begitu, ada juga yang melihat video tersebut sebagai salah satu gurauan DSV kepada Cik B.

Ada yang berpendapat DSV mahu Cik B yang terkenal dengan pakaian ala gadis lasak atau ‘tomboi’ memakai pakaian yang lebih bercirikan ‘girlish’. 

Netizen juga memuji DSV kerana masih mempunyai masa memikirkan mengenai perkembangan anak yang meningkat dewasa biarpun sibuk dengan urusan perniagaan.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto & Video: Instagram DSV

 



Source link

read more

Lebih 100 tahanan disiksa hingga mati oleh pemberontak Houthi



THE HAGUE: Sekurang-kurangnya 113 orang telah diseksa hingga mati di pusat tahanan di Yaman yang dikendalikan kumpulan pemberontak Houthi sejak usaha rampasan kuasa bermula pada 2014.

Menurut laporan yang dikeluarkan sebuah badan hak asasi manusia yang berpangkalan di Belanda Right Radar RR menyifatkan tindakan terbabit adalaah satu jenayah perang.

Penyiksaan terhadap tahanan terbabit didakwa dilakukan di pusat-pusat tahanan haram di Sanaa dan beberapa wilayah lain yang dikuasai pemberontak.

Memetik laporan media antarabangsa, Menteri Hak Asasi Manusia Yaman Mohammed Askar mendakwa angka tahanan dan mereka yang mati akibat disiksa jauh lebih tinggi.

Sehingga 2017 jumlah kes penculikan yang dilakukan pemberontak adalah seramai 1,930 dan 400 kes adakah berkenaan individu hilang.

“Sehingga hari ini terdapat lebih 18,000 kes penculikan dilakukan pemberontak Houthi sejak permulaan usaha rampasan kuasa,” jelasnya.

Askar berkata kerajaan Yaman telah mendokumenkan kes-kes penahanan terbabit yang turut melibatkan  anggota kongres negara itu.

Ia didakwa dilakukan selepas insiden pembunuhan bekas pemimpin Houthi, Ali Abdullah Saleh.

Menurut Askar lagi kes penyiksaan tahanan sehingga mati dilaporkan berlaku di Sanaa, Taiz, Hajjah dan pusat penahanan terbesar di Yaman iaitu Dhamar.

“Kerajaan Yaman telah menghantar surat berserta dokumen berkaitan kepada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu PBB,” tambahnya.

Sementara itu menurut laporan badan hak asasi manusia RR mengatakan bahawa sumber dari badan hak asasi manusia lain menganggarkan jumlah tahanan adalah tinggi dan mereka ditempatkan di lebih 643 pusat tahanan haram di seluruh Yaman.

“Kes pembunuhan terbabit adalah pelanggaran hak asasi manusia yang serius yang harus dilabel sebagai jenayah perang.

“Pesalah perlu dihukum di bawah undang-undang jenayah antarabangsa dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” jelas Pegawai Perhubungan Antarabangsa untuk RR, Gerard Van Der Kroon.



Source link

read more

Malaysiakini kena bayar ganti rugi RM200,000 – Mahkamah


PUTRAJAYA 11 Jan. – Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan portal berita propembangkang, Malaysiakini membayar ganti rugi RM200,000 kepada Raub Australian Gold Mine (RAGM) selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman syarikat itu.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abang Iskandar Abang Hashim yang bersidang bersama Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Suraya Othman.

Kuorum berkenaan turut memerintahkan penerbit portal berita dalam talian itu, Mkini Dotcom Sdn. Bhd. membayar kos RM150,000. – UTUSAN ONLINE.



Source link

read more

Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan sentimen lemah


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan sentimen lemah dan kurang minat belian, kata para peniaga.

Pada 9.20 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,821.74, turun 1.18 mata daripada 1,822.92 pada sesi penutup semalam dan selepas dibuka 0.9 mata lebih rendah pada 1,822.02.

Seorang peniaga berkata peserta pasaran tidak bersedia untuk membeli secara agresif berikutan risiko tinggi sekarang dan kurang ganjaran selepas mencatatkan 107 mata keuntungan dalam 13 hari pasaran, diukur daripada paras rendah 1,732 pada 19 Dis tahun lepas dan paras tinggi 1,840.35 pada 9 Jan tahun ini.

“Analisis keseluruhan tindakan pasaran semalam mendedahkan kuasa beli lebih lemah berbanding tekanan jualan dan justeru itu, FBM KLCI dijangka diniagakan di bawah paras 1,821.27 pada Khamis,” katanya.

Keseluruhan suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 226 berbanding 199, 286 kaunter tidak berubah, 1,092 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 515.14 juta saham bernilai RM186.33 juta.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank, Public Bank, Petronas Chemicals dan CIMB tidak berubah masing-masing pada RM9.48, RM20.84, RM8.11 dan RM6.74, manakala TNB susut dua sen kepada RM15.84.

Dalam kalangan kaunter cergas, MWAG dan Fintec menokok satu sen setiap satu masing-masing kepada 22 sen dan 17 sen, manakala Sapura Energy susut 1.5 sen kepada 89 sen.

UMW OG dan PUC tidak berubah masing-masing pada 41 sen dan 32 sen. 

Saham HLT Global akan digantung sepanjang hari dagangan hari ini bagi membolehkan syarikat itu membuat satu pengumuman penting.

Indeks FBM Emas turun 7.17 mata kepada 13,222.7, Indeks FBMT 100 susut 7.7 mata kepada 12,858.43 dan FBM 70 jatuh 7.859 mata kepada 16,629.64.

Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 9.65 mata kepada 13,723.5 dan FBM Ace turun 9.21 mata kepada 7,031.82.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 26.01 mata kepada 17,148.29 dan Indeks Perladangan naik 1.92 mata kepada 8,099.92, manakala Indeks Perusahaan turun 3.44 mata kepada 3,397.14.

— BERNAMA



Source link

read more

Bila Asyraf Sinclair hilang gigi satu demi satu …


PELAKON kelahiran Malaysia Asyraf Sinclair berdepan detik ngeri apabila hilang satu demi satu giginya ketika sedang menggosok gigi.

Bagi peminat Asyraf jangan panik kerana itu cuma sebahagian daripada babak filem seram lakonannya Bayi Gaib: Bayi Tumbal Bayi Mati.

Babak berkenaan membuka treler filem itu yang dikeluarkan mulai Isnin lalu.

Bayi Gaib: Bayi Tumbal Bayi Mati akan ditayangkan di Indonesia mulai 15 Februari 2018.- Gambar Jadwal Film

Dalam filem arahan Rizal Mantovani itu, Asyraf memegang watak sebagai Rafa, seorang kontraktor pembangunan hartanah.

Filem berkisar mengenai gangguan yang diterima Rafa dan isterinya Farah lakonan Rianti Cartwright selepas Rafa berjaya memperoleh satu projek besar.

Pasangan ini yang menanti kehadiran anak sulung selepas dua tahun mendirikan rumah tangga dibelenggu ganguan sejak Farah disahkan hamil.

Selain Asyraf dan Rianti, Bayi Gaib: Bayi Tumbal Bayi Mati turut dibintangi Fadika Royandi Piet Pagau, Rina Hasyim, Mario Lawalatta, dan Dorman Borisman.

Filem tebitan MD Pictures dengan usahasama DEE Company akan ditayangkan di Indonesia mulai  15 Februari 2018.



Source link

read more