CHANGSHU, China 13 Jan. – Selepas berjaya membantu skuad bawah 23 (B-23) negara mengutip satu mata berharga dengan mengikat Jordan 1-1, Safawi Rasid menegaskan sudah tiba masanya untuk lawan dari negara Arab tidak memandang rendah terhadap kemampuan negara.

Penyerang skuad B-23 itu menyempurnakan sepakan penalti untuk memastikan satu mata berharga menjadi milik Malaysia dalam aksi kedua Kumpulan C Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (B-23) di Stadium Changshu hari ini.

Safawi yang sudah meledak dua gol dalam dua perlawanan peringkat kumpulan berkata dia berbangga apabila berjaya membantu pasukan untuk mencatat keputusan positif dan membuka mata lawan terhadap kemampuan Malaysia.

“Saya bersyukur kerana kami semua dapat memberikan yang terbaik untuk membantu Malaysia mencatat keputusan positif. Ini semua adalah hasil sokongan rakan sepasukan, peminat dan tunjuk ajar jurulatih dalam sesi latihan. Keputusan untuk mengambil penalti diambil oleh saya sendiri kerana saya berkeyakinan untuk mengambilnya.

“Mungkin dengan mencatat keputusan seri menentang Jordan saya percaya pasukan lawan terutamanya dari negara Arab tidak lagi memandang rendah terhadap kemampuan Malaysia kerana sebelum ini memang mereka memandang rendah.

“Apabila diletakkan dalam kumpulan sukar dengan ketiga-tiga lawan dari negara Arab saya berasa sangat berbangga kerana dapat membantu pasukan untuk mencatat keputusan positif,” katanya kepada pemberita di Stadium Changshu selepas perlawanan di sini hari ini.

Dalam aksi tersebut, skuad kendalian Iain Richard Brunskill terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Ward Helal Khalid pada minit ke-16 sebelum Safawi menyempurnakan penalti pada minit ke-43.

Bercakap mengenai pertemuan terakhir Malaysia di peringkat kumpulan menentang Arab Saudi di Stadium Kunshan pada 16 Januari ini, Safawi tanpa berselindung memberitahu dia memasang impian untuk ke peringkat suku akhir.

“Sama ada saya menjaringkan gol lagi untuk pertemuan Arab Saudi bukan menjadi soal utama kerana yang penting adalah kami perlu menang,” katanya. -UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: