imageMO, 6/2/2018, KUALA LUMPUR – Input daripada Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9) akan digunakan untuk membantu memperkasakan penggubalan Akta Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara, terutamanya bagi merancang semula perumahan awam berusia lebih 25 tahun.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar yang menyatakan perkara ini berkata, sebanyak lapan teras agenda perbandaran negara, termasuk peraturan perumahan akan dibawa ke forum antarabangsa berkenaan untuk dibincangkan.

“Peraturan-peraturan yang ada pada 25 tahun dahulu mungkin tidak lagi sesuai untuk dipakai pada zaman ini dan sudah sampai masanya untuk menubuhkan satu perbadanan dan undang-undang bagi membuat ‘redevelopment’ ke atas perumahan kos rendah dan PPR (Projek Perumahan Rakyat).

“Hasil perbincangan lapan teras perbandaran kementerian di forum tersebut akan diambil kira untuk pembentukan peraturan baharu untuk dimasukkan di bawah Akta Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara yang sedang digubal ataupun digubal sebagai akta baharu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Penajaan WUF9 semalam.

Noh berkata, di bawah peraturan itu, perancangan pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja akan menjamin hak pemilik asal rumah, malah menyediakan mereka kediaman yang lebih baik seperti ruangan  bilik dan kemudahan lain.

Katanya, beberapa kawasan telah dikenalpasti bagi melaksanakan peraturan baharu itu termasuk Residensi Kerinchi dan Razak Mansion, yang telah ditransformasikan menjadi kediaman moden bersepadu pada tahun lepas.

“Kedua-dua kawasan itu dahulunya merupakan perumahan kos rendah yang suatu masa dahulu adalah rumah murah dan kemudahannya mungkin sesuai 30 tahun lalu, kini perlu disusun semula,” katanya.

Sementara itu, Noh berkata penganjuran WUF9 telah mencapai jumlah penyertaan dalam talian sebanyak 27,000 peserta daripada 192 negara setakat hari ini.

“Seramai 69 menteri dan 20 timbalan menteri daripada 192 negara telah berdaftar untuk menyertai forum ini sekaligus memartabatkan industri pelancongan negara,” katanya.

Katanya forum itu turut menerima penajaan berjumlah RM1,420,000  daripada 19 syarikat korporat tempatan.

Program dwitahunan itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan tema ‘Bandar 2030, Bandar Untuk Semua’ pada 7 Februari hingga 13 Februari.

 

– Bernama



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: