10 February, 2018


Hari Jumaat semalam saya mulakan di Pagoh, Johor, bersama para peneroka Felda Maokil. Setibanya saya di padang awam, sambutan saya terima cukup meriah dan mesra, maknanya orang Pagoh berdiri teguh menyokong kepimpinan Barisan Nasional, Insya-Allah.

Setiap kali saya ke penempatan Felda, saya akan teringat dua perkara. Pertama, bagaimana Allahyarham Ayahanda Tun Razak memperjuangkan Felda ini bagi mengubah nasib orang Melayu miskin di kampung, sehingga sanggup meniti titian jambatan dengan tongkat untuk memulakan tanah rancangan Felda pertama di Lurah Bilut.

Kedua, semasa saya di bangku sekolah dan tinggal di Kediaman Rasmi Allahyarham Ayahanda Tun Razak di Sri Taman, di tengah-tengah padang di Sri Taman itu ada model rumah peneroka Felda, sebagai tanda peringatan kepada Allahyarham Ayahanda akan asal usul dan perjuangan murni memartabatkan orang Melayu.

Itulah kenapa Felda ini dekat di hati saya, dan hari ini saya gembira dapat jejak kaki di Felda Maokil ini dan sampaikan sendiri geran hak milik tanah kepada para peneroka, seperti Haji Zainal, salah seorang peneroka terawal Felda Maokil.

Syukur hasil usaha berterusan Kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO ini, tiada siapa yang ketinggalan, penduduk luar bandar seperti di Felda Maokil ini turut sama menikmati pembangunan negara.

Namun begitu, saya turut ingatkan kepada semua bahawa kejayaan ini hanya dapat kita kecapi hasil daripada kestabilan politik dan sokongan tidak berbelah bahagi ahli-ahli parti UMNO dan Barisan Nasional kepada pemimpin.

Jika tiada sokongan dari akar umbi, daripada parti, tak mungkin seorang pemimpin itu mampu membawa perubahan walau memimpin lebih 20 tahun lamanya.

Insya-Allah, selagi ada UMNO dan Barisan Nasional, selagi itu pembelaan bagi orang Melayu dan bagi semua kaum akan diteruskan. Selagi itu juga Malaysia akan terus maju dan berjaya.

Selesai di Pagoh, saya singgah solat Jumaat di Masjid Jamek Sultan Ibrahim di Muar sebelum ke Bukit Mor untuk majlis bersama rakyat di sini dan juga merasmikan penyerahan lampu jalan kampung bagi Johor.

Alhamdulillah sambutan di sini juga meriah dan mesra, dari tempat saya sampai ke pentas walau dekat, ambil masa lama juga nak sampai sebab begitu ramai datang bersalam, ada yang tak nak lepas tangan saya!

Di majlis ini, sukacita saya umumkan peruntukan tambahan RM100 juta untuk lampu jalan kampung, Insya-Allah akan manfaatkan 2.5 juta penduduk kampung seluruh Malaysia.

Tambah kepada itu, saya juga umumkan RM1 juta untuk baik pulih 100 rumah di kawasan Parlimen Muar ini.

Pelbagai kejayaan telah kita capai bersama, di bawah pentadbiran Kerajaan yang terbukti mampu mentadbir dengan cemerlang, terbukti ada visi dan misi untuk Malaysia.

Jauh daripada sebuah negara gagal atau muflis, negara kita hari ini berada di landasan tepat mencapai cita menjadi antara 20 negara terbaik di dunia.

Akhir kata, saya pesan kepada semua, janganlah kita pilih jalan suram, jalan ketidaktentuan, jalan gelap penuh kepalsuan, yang bakal bawa kita kembali ke zaman silam.

Sebaliknya pilihlah jalan terang benderang yang jelas sinar masa depannya.

Bangkitlah Negaraku, berjuang dan berteguh setialah bersama UMNO dan Barisan Nasional, nescaya Johor akan kita perbentengkan, membawa kepada  kemenangan besar di Pilihanraya Umum ke-14 nanti, Insya-Allah!



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons