Pintu kapal terbang tertanggal ketika mendarat penumpang panik



PENERBANGAN Dana Air baru sahaja mendarat apabila satu bunyi letupan kedengaran yang menyebabkan pintu pesawat berkenaan tertanggal dari engselnya.

Menurut laporan BBC, penumpang boleh mendengar getaran pintu berkenaan bergesel di sepanjang landasan.

“Saya melihat pintu kecemasan pesawat menjadi longgar dan tergantung,

“Pramugari bertanya adakah ia dilakukan oleh salah seorang penumpang, selain mereka turut menghalang kami mengambil video atau gambar,” beritahu salah seorang penumpang.

Seorang lagi penumpang turut mengakui, sepanjang penerbangan itu, pintu kecemasan pesawat berbunyi.

“Saya fikir ia mungkin disebabkan skru longgar,  tetapi saya tidak fikir ia akan tertanggal,” katanya.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan menafikan sebarang masalah dengan pintu kecemasan semasa penerbangan.

Dalam satu kenyataan, Dana Air berkata: “Pintu keluar kecemasan pesawat kami adalah jenis plug yang disokong oleh tekanan, yang biasanya tidak boleh dibuka tanpa bantuan atau usaha oleh anggota krew atau penumpang.

“Apabila sebuah pesawat udara berlepas, ia berada dalam tekanan sepenuhnya dan tidak ada kerusi atau pintu yang boleh bergoyang seperti yang dilapor.”

Pihak penerbangan Dana Air juga memaklumkan bahawa pesawat itu telah diperiksa jurutera bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nigeria dan “tidak ada masalah dilaporkan”.



Source link

read more

Peruntukan baharu diperlukan, penggunaan bas elektrik di Kuching-Nancy – Nasional


KUCHING 11 Feb.- Peruntukan baharu diperlukan bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri menggunakan bas elektrik di sini menerusi projek perintis Skim Transformasi Bas Henti-Henti (SBST).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan tersebut perlu dipohon bagi pengoperasian bas elektrik disamping melibatkan perubahan spesifikasi saiz bas memandangkan terdapat laluan agak sempit.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri mengemukakan surat rasmi bagi dipanjangkan kepada Kerajaan Pusat.

“Perjanjian perkhidmatan pelaksanaan projek SBST ditandatangani November lalu perlu dipinda bagi membolehkan Kerajaan Pusat menyediakan kemudahan yang dapat menyokong penggunaan bas elektrik berkenaan.

“Sekiranya segalanya berjalan lancar, Sarawak bakal menjadi negeri pertama yang menggunakan myBas elektrik sepenuhnya dan dijangka beroperasi pada Januari tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa komitmen Kerajaan Pusat untuk memenuhi permintaan Sarawak dalam membina pelbagai projek pembangunan yang memastikan tiada jurang antara negeri lain. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Polis Thailand rampas 123 kilogram dadah



SONGKLA: Polis Thailand merampas tiga buah beg besar berisi 123 kilogram dadah jenis “Ice” (Crystal Methaphetamine) di Hatyai yang akan dihantar ke sebuah negara ketiga yang tidak dinamakan.

Ketua Polis Bahagian Ke-6 Kol Sompong Suwannawong berkata, seorang lelaki berusia 29 tahun dikenali sebagai “Paisarn” dan berasal daripada wilayah Satun ditangkap pada Jumaat yang membawa kepada penemuan dadah itu.

“Suspek mengakui beliau akan menerima upah sebanyak 100,000 Baht (RM12,600) jika berjaya menghantar dadah itu ke negara ketiga,” katanya pada sidang media, tanpa mendedahkan nama negara ketiga.

Beliau juga berkata, dadah itu dipercayai milik seorang pengedar dadah dikenali sebagai “Bae Wa” dengan jumlah keseluruhan dadah cuba dihantar ke beberapa lokasi di selatan Thailand melebihi 200 kilogram, yang diisi dalam enam buah beg.

Selasa lepas, polis Thailand menemui tiga buah besar berisi 95 kilogram dadah “Ice” di sebuah resort pelancongan di wilayah Satun yang bersempadan dengan negeri Perlis di utara Malaysia, tetapi tiada tangkapan dilakukan.

Mereka percaya dadah itu akan diseludup ke Malaysia, sebagaimana juga dengan rampasan-rampasan dadah “Ice” sebanyak 100 kilogram di Padang Besar pada 3 Feb lepas dan 300kg “Ice” dalam sebuah lori berisi tembikai baru-baru ini.

— BERNAMA



Source link

read more

Mingguan Amanz – Surface Book 2, Redmi 5, Laporan Piawaian SKMM 2017 – Amanz


Minggu ini menyaksikan pra-tempahan untuk Surface Book 2 mula diambil oleh para penjual tempatan, dan akan mula ditawarkan bermula Mac kelak. Selain Surface Book 2, Surface Laptop juga turut memasuki pasaran tempatan.

Selain Microsoft, Xiaomi turut telah mula menawarkan Redmi 5, Redmi 5 Plus dan Mi Mix 2 SE untuk pasaran tempatan.

Pada minggu ini, desas-desus baru turut hadir mengatakan Google akan hadir dengan sebuah konsol baru tidak lama lagi.

Minggu ini turut menyaksikan sejumlah emoji baru diumumkan akan hadir pada 2018, selain Qualcomm mengatakan telefon pintar 5G akan hadir daripada pelbagai pengeluar menjelang 2019 kelak.

SKMM kini telah pun mengeluarkan laporan tahunan untuk 2017 yang lepas, menyaksikan Maxis terus mengungguli arena rangkaian mudah-alih tempatan.



Source link

read more

Fiesta NBOS Mesra Rakyat di Sembrong hari ini – Nasional


KLUANG 11 Feb. – Dalam usaha berterusan kerajaan memperkenal sekali gus memaklumkan pelbagai idea dilaksanakan kerajaan, Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Mesra Rakyat diadakan di Parlimen Sembrong kali ini.

Program sehari itu dijalankan buat pertama kali di parlimen tersebut di Padang Awam Paloh, di sini hari ini selepas dianjurkan di Pekan, Pahang (23 September 2017) dan Bagan Datuk, Perak (19 November 2017).

Ahli Parlimen Sembrong yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, fiesta itu memberi peluang kepada rakyat kawasan tersebut dan penduduk sekitar berurusaan dengan pelbagai perkhidmatan ditawarkan kerajaan.

“Saya yakin dengan penganjuran program seumpama ini akan membuka lebih ruang dan peluang kepada masyarakat untuk memahami kaedah dan strategi kerajaan dalam usaha membangunkan negara serta menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Hishammuddin turut melancarkan lapan inisiatif baharu NBOS dengan sebahagian inisiatif itu turut melibatkan kerjasama antara kementerian dan agensi dengan Kementerian Pertahanan serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Inisiatif berkenaan adalah Inisiatif Kementerian Kewangan (Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile) CTC, Coding @ Schools dan Strategic Linkages); Program Bantuan Mesra Rakyat Sembrong, My Kampung My Future – Kampung Sri Lukut, Program Jimat Belanja Dapur FAMA, Kerjasama Biotechnology Community Development Program dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), pengukuhan kerjasama antara 1M4U dengan Briged Sukarelawan Khidmat Negara, Program Remaja Sukarelawan 2.0 serta kerjasama 1 Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network (1MBEON) – Ops Samudera.- UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Duterte bawa pulang warga Filipina di Kuwait elak jadi mangsa dera



MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengarahkan syarikat penerbangan Filipina dan Cebu Pacific menyediakan penerbangan untuk membawa pulang lebih 2,000 warganya yang kini berada di Kuwait.

Keputusan itu dibuat Duterte selepas Kementerian Pekerja Filipina mengesahkan ribuan pekerja terbabit bersetuju untuk pulang susulan kejadian penderaan di negara itu.

“Kami telah dimaklumkan oleh 2,200 pekerja terbabit bahawa mereka bersedia untuk pulang ke tanahair,” jelas Setiausaha Kementerian Pekerja, Silvestre Bello III yang turut memaklumkan terdapat antara pekerja terbabit telah tinggal lebih masa.

Katanya, kesemua penerbangan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Filipina dan hampir 500 pekerja dijangka tiba tidak lama lagi.

Tambahnya, kerajaan Filipina akan membantu kesemua pekerja terlibat untuk mendapatkan pekerjaan di negara itu.

Pada Januari, Filipina telah menggantung penghantaran pekerja ke Kuwait selepas beberapa laporan penderaan ke atas pekerja dilaporkan sehingga ada di antara pekerja yang membunuh diri.

Menurut Duterte, penggantungan penghantaran terbabit adalah muktamad dan akan dikekalkan sehingga diberitahu kelak.

Sementara itu pada Februari, Timbalan Menteri Luar Kuwait, Khaled al-Jarallah menzahirkan rasa terkejut dan sedih susulan kenyataan yang dibuat Duterte.

Jelasnya, proses perundangan telah diambil ke atas individu bertanggungjawab menyebabkan kematian empat pekerja warga Filipina di Kuwait.

Dianggarkan lebih 250,000 pekerja warga Filipina berada di Kuwait dalam pelbagai sektor pekerjaan.

Selain Kuwait, warga Filipina turut dilaporkan berada di Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Qatar.



Source link

read more

Pening kepala Peter Hugh Davis bila anak jadikan Audi putih kanvas seni



HUJUNG minggu merupakan waktu terbaik untuk diluangkan bersama keluarga dan anak-anak namun apa yang terjadi kepada petinju kacak Peter Hugh Davis ini boleh buat kepala pusing.

Mana tidaknya, baru tinggalkan 10 minit, hampir separuh daripada kereta mewah jenis Audi miliknya dijadikan kanvas lukisan anak-anaknya.

“Saya hanya tinggalkan 10 minit! Inilah hasil seni anak-anak saya,” tulisnya bersama tanda pagar (hashtag) #WhenYouLetKidsRunRiot, #HandPainting dan #Parenting101.

Foto Peter menepuk dahi sambil bercekak pinggang di sebelah kereta Audi putih yang dipenuhi lakaran pelbagai warna itu mengundang reaksi melucukan dalam kalangan netizen.

“Kita sepatutnya berbangga dengan bakat artistik mereka,” tulis @mohd_shazlan.

“Eh cool lah. Mereka sangat kreatif. Saya pun mahu juga,” tambah @uddzainuddin.

“Karya satu dalam sejuta,” tulis @aziph pula.

Peter yang bakal muncul dalam tiga buah filem tahun ini memiliki dua cahaya mata Preston, 8, dan Parker, 3.



Source link

read more

Perak Tengah hab pengeluaran durian – Nasional


PASIR SALAK 11 Feb. – Daerah Perak Tengah di sini berpotensi dijadikan hub pengeluaran durian di negara ini kerana merupakan salah satu kawasan pengeluaran durian terbanyak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata,

pengeluaran durian boleh menjadi sebagai satu industri baharu dan cabang ekonomi yang berpotensi besar kepada sumber pendapatan negara serta mereka yang mengusahakannya.

Kata Tajuddin, dijangka beberapa tahun akan datang, penanaman durian bakal muncul sebagai nadi pengerak industri yang mampu menjana ekonomi negara pada masa depan.

“ Durian boleh menguntungkan mereka yang mengusahakannya di sepanjang rantai nilai terutama di Kampung Gajah, Parit dan Bota yang memang terkenal dengan pengeluaran durian dan sudah ada branding.

“Kita tak ekploitasi lagi jenama tersebut. Namun kita akan lakukan kajian terperinci termasuk berapa banyak sebenarnya kawasan yang ditanam durian di sini serta sambutan masyarakat sebelum kita jadikan kawasan ini sebagai hub,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Pemulihan Dusun Durian Daerah Perak Tengah, Jabatan Pertanian Negeri Perak di Dewan Serbaguna Kampung Pulai Tiga Kiri di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali dan Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Norazmi Yahya. – UTUSAN ONLINE



Source link

read more

Terlelap ketika jaga anak Sheikh Muszaphar kongsi Never Do This momen



JANGAN tiru aksi ini! Pesan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang terlelap ketika gilirannya menjaga bayi kecilnya, Sheikh Adam.

Perkongsian itu dimuat naik sendiri di Instagramnya bersama pesan agar ibu bapa lebih prihatin dan sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak walaupun ketika berada di dalam rumah.

“Ada masanya kita terlalu penat. Ini adalah giliran saya untuk menjaga kedua-dua bayi kembar saya.

“Saya letakkan Adam di atas badan saya dan mungkin saya boleh melelapkan mata seketika dalam 5 minit.

“Ini peringatan kepada semua ibu bapa di luar sana termasuk saya sendiri agar tidak mengulangi perkara sebegini lagi.

“Ia contoh yang tidak elok. Mujurlah tiada apa yang terjadi,” tulisnya.

 



Source link

read more

Remy Ishak enggan gelojoh jadi suami – Hiburan


PETALING JAYA 11 Feb. – Kembali mencipta populariti mendadak menerusi siri Kekasih Paksa Rela yang disiarkan di slot Akasia, TV3, aktor Remy Ishak, 36, mahu perkahwinannya yang dirancangkan sempurna.

Dibesarkan dalam sebuah keluarga yang menyaksikan kedua-dua ibu bapanya bercerai, Remy memberitahu dia tidak mahu menempuhi ‘ketakutan’ tersebut yang sering menjadi igauan buruk hubungan suami isteri.

“Disebabkan itu, saya ambil masa yang agak lama untuk mendirikan rumah tangga. Banyak persediaan yang perlu dirapikan supaya bahtera yang dikemudi tidak terumbang-ambing.

“Lagipun, pertunangan saya baru sahaja diikat, belum sampai setahun. Kami bertunang pada pertengahan tahun lalu. Saya tak menjangka akan berkahwin tahun ini.

“Tempoh pertunangan itu boleh jadi setahun atau lebih. Bukan mudah nak pikul tanggungjawab sebagai suami. Banyak persiapan yang perlu dilakukan.

“Saya tengah kerja keras untuk kumpul duit. Bukan hanya untuk menyimpulkan erat silaturrahim, bahkan perlu memastikan masa depan berjalan lancar,” katanya kepada Utusan Online.

Remy berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran pakej percutian Kowamas Holidays bersama kelab peminatnya di D’Tunjong Banquet Hall, Kota Damansara, di sini.

Terdahulu, Remy telah mengikat tali pertunangan dengan seorang ahli perniagaan, Roszaliza Yusof pada Mei lalu dan belum membuat keputusan muktamad mengenai tarikh pernikahan mereka.

Pelakon itu juga tidak menafikan dia berhadapan cabaran sama dengan pasangan lain yang sudah bertunang.

“Seperti biasa, dalam sesebuah hubungan ada turun naiknya. Orang tua-tua asam garam. Tetapi itulah yang mematangkan kami berdua,” tambahnya.- UTUSAN ONLINE



Source link

read more
Show Buttons
Hide Buttons