KUWAIT CITY: Amerika Syarikat (AS) berjanji memberi dana sebanyak US$200 juta untuk membantu usaha Gabungan Global memerangi kumpulan militan Daish serta menghalang mereka kembali semula ke Syria dan Iraq.

Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson, berkata Daish akan sentiasa menjadi ancaman dan gangguan kepada seluruh dunia.

“Dunia perlu teruskan usaha memerangi Daish bagi memastikan kumpulan itu tidak muncul kembali di Syria dan Iraq, walaupun rantau itu telah diisytiharkan bebas sepenuhnya daripada penguasaan mereka.

“Dana ini sangat diperlukan untuk memastikan Daish tidak kembali semula ke Iraq dan Syria,” katanya ketika berucap di pembukaan Mesyuarat Peringkat Menteri Gabungan Global Menentang ISIS/Daish di Istana Bayan di sini pada Selasa.

Mesyuarat itu diadakan sempena Persidangan Antarabangsa Kuwait Untuk Pembangunan Semula Iraq (KICRI) yang berlangsung tiga hari mulai Isnin.

Mengulas lanjut, Tillerson berkata gabungan antarabangsa itu berjaya membebaskan 98 peratus wilayah Iraq daripada penguasaan Daish dan mengembalikan semula tempat perlindungan rakyat di negara tersebut.

“Keamanan berterusan amat perlu dititikberatkan bagi membolehkan masyarakat Iraq dan Syria kembali kepada kehidupan asal dan kita perlu membantu kedua-dua negara dalam pembangunan semula setelah dimusnahkan oleh Daish seperti pembinaan hospital, saluran air, elektrik dan sekolah,” katanya.

Beliau berkata Gabungan Global perlu terus berusaha bagi memastikan Daish tidak akan kembali ke Iraq dan Syria.

“AS sangat menghargai sumbangan oleh negara anggota Gabungan Global sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam memainkan peranan penting bagi memerangi Daish namun dana yang besar sangat diperlukan bagi memastikan keamanan berterusan,” katanya.

Katanya, AS akan terus menjadi penyumbang terbesar dalam memberikan bantuan kemanusiaan di Syria dan bekerjasama dengan Gabungan Global serta rakan kongsi tempatan bagi bantuan ketenteraan di negara itu.

— BERNAMA



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: