indexMO, 13/2/2018, PUTRAJAYA  – Kumpulan sindiket jenayah dan dadah dikesan menggunakan media sosial untuk merekrut ahli kongsi gelap, runner (penjual) dan keldai dadah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kemajuan teknologi juga menyebabkan pelajar sekolah antara pelanggan aktif dikesan membeli dadah secara dalam talian menggunakan aplikasi WhatsApp dan WeChat.

“Apa yang pasti penglibatan remaja dalam masalah sosial dan kegiatan jenayah memberi tamparan hebat kepada warga pendi­dik seterusnya pihak Kementerian Pendidikan yang diletakkan ama­nah untuk mendidik anak bangsa.

“Tempiasnya turut dirasai Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku agensi penguat kuasa utama di negara ini,” katanya ketika berucap dalam Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai dan Sahsiah Murid anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama PDRM, Perbadanan Putrajaya dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia semalam.

Seminar yang di­rasmikan oleh Menteri Pendidikan, Da­tuk Seri Mahdzir Khalid itu turut dihadiri Ketua Setia­usaha ke­menterian, Datuk Seri Alias Ahmad.

Menurutnya, sejumlah 1,506 kes jenayah indeks yang direkodkan sepanjang tahun lalu melibatkan pelajar sekolah dalam lingkungan umur tujuh hingga 18 tahun dan sejumlah 1,772 tangkapan dibuat sepanjang tempoh tersebut.

Selain itu, sejumlah 469 tangkapan ke atas pelajar berkaitan jenayah narkotik turut direkodkan sepanjang tempoh sama iaitu dua tangkapan melibatkan pelajar sekolah rendah.

Bagaimanapun, menerusi beberapa program kolaborasi di antara PDRM dan sekolah permasalahan sosial serta salah laku jenayah dalam kalangan pelajar dapat dibendung dan tidak membimbangkan.

“Menyedari jenis pelakuan jenayah adalah berubah-ubah mengikut persekitaran sosial sesebuah sekolah, PDRM melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) akan menyusun langkah yang lebih kreatif dalam menangani masalah disi­plin pelajar,” katanya.

Sementara itu, Mah­d­zir berkata, kes salah laku terus terjadi kerana terdapat faktor penarik yang menyumbang kepada sikap gangsterisme seterusnya menjadi kejadian buli yang boleh menarik pelajar berasa lebih seronok melakukannya.

Justeru, peradaban membina sebuah negara bangsa bukan mudah untuk dilakukan kerana ia melibatkan proses yang panjang dan holistik.

Mengulas kerjasama dengan PDRM melalui PPS beliau berkata, ia dilakukan bagi membantu memupuk kesedaran dan mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak.

“Melalui kaedah ini pelajar dan warga sekolah akan menerima maklumat berkaitan hukuman dan tindakan undang-undang sekiranya pelajar melakukan kesalahan jenayah di 10,200 buah sekolah, 435,000 guru dan lebih lima juta murid di seluruh negara,” katanya.



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: