GERIK 8 April – Mayat seorang lelaki yang maut semasa aktiviti ‘jungle trekking’ di Sungai Ketir, Hutan Royal Belum di sini selamat dikeluarkan dengan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Mangsa, Ahirazwin Abdul Ghani, 33, meninggal dunia setelah rebah semasa sedang berehat di sebatang pokok berhampiran lokasi perkhemahannya pada pukul 8.30 malam tadi.

Ahirazwin dari Semenyih itu berada di Hutan Royal Belum bersama 28 pemancing lain untuk menjalankan aktiviti memancing dari Kampung Sungai Kejar ke Sungai Karjang.

Dia yang berada dalam kumpulan kedua pemancing itu bagaimanapun terpaksa bermalam di Sungai Ketir memandangkan keadaan cuaca yang gelap dan hutan tebal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Asaris berkata, mayat Ahirazwin telah dibawa keluar dari hutan tebal tersebut dan tiba di Lapangan Terbang Gerik pada pukul 3.33 petang.

Katanya, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 9.30 pagi dan bantuan helikopter bomba diperlukan memandangkan bentuk fizikal mangsa yang besar selain laluan yang curam dan sempit.

Menurutnya, bagi memudahkan urusan membawa keluar mangsa, sebuah pesawat Agusta AW139 dari Unit Udara JBPM Pengkalan Bertam telah berlepas pada pukul 1.21 petang dan tiba di Kem Sri Banding kira-kira 30 minit kemudian.

“Kapten pesawat dengan dibantu tiga orang anak kapal telah memulakan operasi ke Sungai Ketir. Teknik ‘winching’ telah dilakukan kerana tiada lokasi sesuai untuk pendaratan.

“Mangsa yang berjaya dikeluarkan dari hutan tebal itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 3.45 petang,” katanya.-UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

%d bloggers like this: