KUALA LUMPUR 8 April – Tindakan segelintir rakyat yang bersikap agresif dengan mengoyakkan dan membuang bendera Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai perbuatan kurang bijak dan ketinggalan zaman apatah lagi Malaysia sedang berada dalam landasan terbaik menjadi sebuah negara maju.

Tokoh bahasa dan budaya, Dr. Lim Swee Tin berkata, masyarakat seharusnya lebih bijak dan matang dalam berpolitik serta tidak menggunakan emosi semata-mata.

Jelas beliau, perbuatan sedemikian sewajarnya dikeji oleh semua golongan tidak kira penyokong mana-mana parti sekali pun kerana tindakan tersebut jelas tidak melambangkan budaya masyarakat negara yang bersopan-santun.

“Masyarakat perlu bertindak dengan lebih matang kerana kita bukan pertama kali menghadapi pilihan raya umum. Ini merupakan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) negara sejak kita merdeka.

“Budaya perbalahan agresif seperti ini sudah ketinggalan zaman, kita harus bergerak ke hadapan dan bersikaplah seperti rakyat di negara maju. Sekiranya tindak-tanduk kita tak mencerminkan kita matang, maka kita akan berasa sangat kesal dengan perlakuan sedemikian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Media sosial hari ini digemparkan dengan sebuah video tular yang memaparkan tindakan seorang individu mencabut dan mengoyakkan bendera BN.

Kejadian yang dipercayai berlaku di Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr. Ismail pada pukul 4 petang semalam itu disifatkan sebagai provokasi awal bagi mencetuskan huru-hara menjelang PRU-14.

Video berdurasi 42 saat yang turut dikongsikan oleh sebuah akaun Facebook menerima hampir 20,000 tontonan, 649 perkongsian dan 229 komen setelah lapan jam dimuat naik.

Mengulas lanjut, Swee Tin berkata, perbuatan sedemikian sepatutnya dihentikan serta-merta memandangkan ia boleh memberi impak lebih buruk kepada masyarakat.

“Politik pada hari ini ialah tentang kebijaksanaan pemimpin dan sesebuah parti mentadbir negara untuk membawa Malaysia ke arah era yang lebih maju pada masa akan datang, bukannya politik kebencian seperti ini,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

%d bloggers like this: