IPOH 9 April – Polis telah memanggil ahli keluarga seorang lelaki yang ditemukan mati dengan tiga kesan tembakan di Ladang Sungai Rui, Ban Pasir, Jalan Gerik-Kupang, Gerik kelmarin, untuk diambil keterangan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, rekod keterangan itu diambil bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis masih menyiasat daripada pelbagai sudut dan buat masa ini, ahli keluarga mangsa telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes ini.

“Selain terdapat tiga kesan tembakan pada tubuh lelaki itu, tiada sebarang kecederaan lain termasuk kesan pergelutan pada tubuh mangsa berusia 38 tahun yang berkerja sebagai pemandu bas itu,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, mangsa yang lengkap berpakaian ditemukan orang awam dengan tiga kesan tembakan di kepala, dada dan perut.

Selain mangsa, turut dijumpai berhampiran mayat lelaki itu adalah tiga butir kelongsong peluru dan sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

%d bloggers like this: