PADANG BESAR 12 April – Luluh hati sepasang suami isteri apabila mengetahui anak lelaki mereka yang dipelihara penuh kasih sayang sejak daripada kecil mensia-siakan hidupnya dengan menagih dadah.

Lebih menyedihkan, lelaki berusia 20 tahun itu bersama rakan-rakan yang lain tergamak menjadikan rumah ibu dan bapanya di perumahan Santan di sini sebagai tempat melepaskan gian menghisap dadah sejak sekian lama.

Perbuatan itu dilakukan ketika kedua ibu bapa lelaki tersebut tiada di rumah.

Bagaimanapun perbuatan lelaki tersebut terbongkar apabila anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri yang menjalankan operasi telah menyerbu rumahnya semalam.

Jurucakap AADK ketika dihubungi berkata, pihaknya menahan pemuda tersebut yang ketika itu sedang berbual bersama rakannya di luar rumah.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki tersebut positif dadah.

Katanya, pihak AADK turut memaklum serta menerangkan kepada ibu bapa lelaki terbabit mengenai prosedur penahanan anak mereka itu.

“Pemuda terbabit bijak menyembunyikan aktivitinya itu daripada pengetahuan ibu bapanya. Kita difahamkan rumah pasangan terbabit turut dijadikan sarang penagihan dadah anak lelaki mereka bersama rakan-rakan lain,” katanya.

Sementara itu, jurucakap AADK itu memberitahu, operasi tersebut bermula dari pukul 8 sehingga 3 pagi semalam dengan pihaknya menyasarkan beberapa kawasan panas di daerah ini.

Katanya, seramai lapan orang berusia antara 17 hingga 50 tahun ditahan atas kesalahan dadah.

“Kesemua suspek ditahan atas pelbagai kesalahan dan disiasat dibawah Seksyen 6(2)(c) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Seksyen 6(2)(d) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

Leave a Comment

%d bloggers like this: